Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI
Menghanyutkan diri dalam sebuah pameran atau muzium untuk memahami naratif disebalik penghasilan sesuatu pameran merupakan sesuatu yang sering penulis posisikan dirinya sebelum memulakan sesuatu ‘pengembaraan’ atau menjejakkan kaki dalam sebuah pameran. Perkara pertama yang penulis mulakan adalah dengan bertanyakan beberapa persoalan dan ‘cuba’ untuk berfikiran kritis untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan yang berlenggu di minda.
Namun sebenarnya seni itu mudah dan indah. Sebagai pelawat anda perlu lihat, nikmati dan hayati setiap karya yang ada mengikut pemahaman anda sendiri. Itu yang berkali-kali ditegaskan Nazura Rahime pada lawatan kami ke pameran ‘I want to be a bridge’- Bagi anda yang ingin mengenali siapakah wanita disebalik nama Nazura Rahime, anda boleh baca di sini.
“I want to be a bridge diambil daripada sebuah lukisan (karya Allahyarham Rahime Harun). Saya percaya dalam melihat kembali koleksi ini dan apa yang Rahime dan Zarina (Isteri) buat sebelum ini, mereka telah membina sebuah jambatan dengan menghulurkan membantu dan berkongsi ilmu dengan orang-orang seni,” jelas Nazura dalam pemilihan nama bagi pameran kali ini.
Terbahagi kepada empat, pameran ini membawa anda ke bahagian koleksi kekal, studio cetakan pada tahun 1980-an, Apprentice Programme dalam seni cetakan dan pelancaran projek untuk menjadikan A.P Studio sebagai sebuah press house.
Nazura berkongsi sebenarnya pameran ini sangat berkait rapat dengan semua masyarakat. Setiap dari kita juga adalah sebuah jambatan buat orang sekeliling pada saat yang mereka perlukan. Tidak kira jambatan (bantuan) yang diberikan itu dalam bentuk tenaga, nasihat, wang ringgit dan sebagainya.
Dalam pameran ini anda dapat hayati lebih 80 karya hasil koleksi Allahyarham Rahime Harun dan Allahyarhamah Zarina Ariffin sejak tahun 1974 lagi dari lebih 52 artis daripada negara Malaysia, Indonesia mahupun Jepun,
Apa yang hendak diketengahkan juga adalah visi Rahime yang bukannya hanya sekadar mahu menggalakkan penghasilan karya seni, tetapi juga sebagai menggerak dalam praktis cetakan di negara ini suatu ketika dahulu.
Jika anda berkunjung ke galeri ini, anda bukan sahaja dapat lihat karya-karya catan yang tergantung di dinding galeri, tetapi terdapat mesin cetak yang pernah mereka gunakan dahulu diletakkan sebagai pameran. Penceritaan tentang bagaimana mereka menggerakkan dan memartabatkan seni cetak dengan menyediakan pelbagai kemudahan buat artis yang ingin mempelajari seni juga ada dikongsikan di sini. Usaha ini disusuli dengan usaha Allahyarham Rahime menerusi A.P Art Gallery yang pernah menyediakan studio cetak yang lengkap dan membuka ruang untuk mencari perintis disamping membina cita-citanya.
Sesungguhnya jambatan yang dibina bukan sahaja dibentuk untuk membantu golongan seni. Indahnya seni, ia mampu dipelajari dan dimanfaatkan oleh sesiapa sahaja yang meminatinya.
Tambah Nazura dalam pameran ini, “Terdapat artis yang tiada latar belakang seni, berhenti sekolah, yang datang ke Kuala Lumpur yang berminat dengan seni tetapi tiada peluang untuk mempelajarinya. Mereka datang ke sini dan diajar tentang seni cetakan”.
Dalam pameran kali ini, penulis berkesempatan untuk melihat sebuah ruang yang dipanggil ‘The Apprentice’ yang mana Nazura telah pamerkan karya-karya anak didik Rahime yang bermula dengan kosong, atau tiada latar belakang dalam seni langsung, tetapi mampu menghasilkan karya yang cukup menarik.
“Walaupun mereka bukannya seorang artis, tetapi mereka telah diberikan permulaan dan ajaran yang betul. Kebanyakan dari mereka, suatu ketika dahulu datang ke Kuala Lumpur, tiada saudara atau kenalan, inilah situasi A.P Art Gallery sewaktu lewat 80-an dahulu,” tambah Nazura.
Jika memberi sahaja tidak akan pernah mencukupi apabila pemberian itu tidak disambut sebaiknya. Sambil berjalan melihat karya-karya di tingkat atas rumah kedai A.P Art Gallery ini, Nazura terus berkongsi antara kisah-kisah menarik tentang anak seni.
“Ali Mabuha suatu ketika dahulu mempunyai rasa ingin tahu bagaimana keadaan di luar Malaysia. Beliau ingin melancong ke luar negara tetapi tidak mempunyai wang dan memberitahu hasrat itu kepada rakan-rakannya (termasuk Allahyarham Rahime). Dari situ rakan-rakannya telah sama-sama menghasilkan karya untuk dijual dengan harapan, hasil jualannya sedikit sebanyak dapat membantu kelancaran perjalanan beliau,” tambah Nazura, seronok kami mendengar sambil berjalan dan mendengar kisah-kisah menarik ini.
Kejayaan itu datang dengan usaha dan kegigihan individu. Kalau jambatan telah dibina tetapi tidak dilalui dan tidak digunakan untuk kegunaan yang bermanfaat, jangankan jambatan, Kalau bina apa sekali pun, belum tentu berbaloi. Tetapi menariknya kisah ini, semangat setia kawan ini telah menolak Ali Mabuha untuk terus berjaya dalam industri.
Antara lain yang dapat penulis lihat di pameran ini ialah hasil seni cetakan oleh Sharifah Fatimah, sesuatu yang jarang kita temui. Karya Sharifah Fatimah yang dapat kita lihat hari ini lebih moden, kontemporari, abstrak dan memiliki warna-warna ceria yang menangkap mata. Namun di sini anda dapat temui hasil seni cetakan oleh beliau yang penulis anggap ‘rare’.
Secara peribadi, Cetakan Suzana oleh Juhari Said dan Taman Alam oleh Mohd Azhar antara dua karya yang mana kehalusan seninya mencuri perhatian penulis. Kombinasi warna yang lembut dalam kedua karya ini pasti mengalami proses yang rumit dan lama untuk dihasilkan. Uniknya kesemua karya yang dipamerkan dalam ‘I want to be a bridge’ kelihatan sepertikan Teknik lukisan dan warna biasa, walhal ia dihasilkan melalui proses cetakan.
Visi allahyarham Rahime hanya satu dalam pameran ini, beliau ingin mengangkat dan membawa seni cetak Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi dengan merapatkan jurang agar seni ini lebih dihargai dalam industri.
“sejujurnya saya katakan, sekarang apa yang saya lihat dari semua ini, sebelum ini saya nampak sebagai sebuah koleksi karya seni, namun sekarang saya Nampak dari sudut koleksi yang penuh makna. Kerana saya dapat menemui banyak benda baru,” tambah Nazura.
Anda boleh ke A.P Art Gallery untuk menyaksikan pameran ini yang akan dipamerkan sehingga 31 Disember ini. Anda juga boleh layari laman media sosial mereka: Instagram. Penulis kongsikan beberapa karya buat tatapan pembaca BASKL, tapi jika anda berminat jangan lepaskan peluang untuk melihat karya-karya hebat ini sebelum ia disimpan semula.
. . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . . .
Anda juga boleh membaca kisah lain di sini: