Menyingkap memori Nazura Rahime membesar di rumah kedai

“Sewaktu saya kecil, ibu bapa saya suka travel, bukan banyak duit sangat pun, stail kami tidak mewah, kadang-kadang backpack bila travel dan tidur dekat stesen kereta api atau mana-mana sahaja untuk jimat duit. Kami travel selama sebulan, tetapi memang tempat pertama ayah saya akan bawa adalah ke muzium seni. Jadi saya didedahkan tentang muzium seni di Eropah seawal usia 5 tahun."

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI | Gambar oleh Nazura Rahime dan Danial Fuad

Antara kenangan Nazura sewaktu Euro trip Ketika 5 tahun bersama bapanya.
 

Kata orang kalau nak mendidik anak untuk sukakan sesuatu, kita harus didik mereka di awal usia. Itulah yang diterapkan oleh keluarga Nazura Rahime yang merupakan Pesona BASKL yang pertama. Kami cukup bertuah kerana berkesempatan untuk menemu bual secara fizikal di rumah tinggalan kedua orang tuanya yang kini masih kekal teguh sebagai sebuah galeri dan ruang pejabat miliknya.

Mengenali individu di sebalik nama Nazura, beliau merupakan Pengasas Manggis Group dan juga merupakan Pengarah Urusan A.P Art Gallery. Seorang ibu, isteri dan juga usahawan yang kini hampir 19 tahun membina empayar dalam dunia kreatif dan bidang produksi video, sambil mengusahakan galeri. Pastinya menggamit pelbagai memori setiap kali melangkah masuk ke pejabat yang dahulunya juga merupakan tempat beliau membesar.

Kenangan sewaktu melawat muzium di Eropah.
Kekal menjadi memori indah, Allahyarhamah Zarina Ariffin menggendong Nazura sewaktu lawatan ke muzium.

Rumah kedai A.P Gallery, menggamit pelbagai memori

Nazura seronok berkongsi kisahnya bersama penulis BASKL.

Perasaan yang sukar dilupakan, pahit manis sesebuah memori yang terpahat di ingatan dan hati. Melihat koleksi lukisan yang cukup menarik pada rata-rata dinding di setiap pelosok tingkat atas galeri ini, memberi gambaran sebuah galeri atau ruang kolektor persendirian buat penulis BASKL. Namun setiap sudut adalah berbeza di mata Nazura yang pernah mendiami rumah kedai di Jalan Negara, Taman Melawati ini.

A.P Art Gallery di Central Market 1985.

“Pada asalnya rumah ni ada 3 bilik, sekarang secara keseluruhannya terdapat 8 bilik, 6 tandas and 2 dapur, dan juga penthouse di atas. Jadi rumah ini besar, yang kadang-kadang orang pelik. Anak seorang tetapi kenapa sampai 8 bilik?” Ceritanya sambil ketawa kecil dan menyambung kisahnya tadi.

 “Jadi ayah saya suka untuk mengajak tetamu bertandang, dan rumah ini dah macam pusat komuniti (beliau tertawa kecil). Pada ketika itu, kami ada galeri di Central Market (CM), jadi kadang-kadang ada pelancong atau gelandangan yang tiada tempat untuk tidur, ayah saya akan ajak mereka balik ke sini. Pakej macam bilik dan sarapan. Jadi saya lah yang kena buat semua tu, itu yang geram tu,” tambah Nazura bergurau sambil ketawa.

Dari dahulu sehingga kini, dinding rumah akan sentiasa dipenuhi lukisan – Allahyarham Rahime Harun, di rumah kedai.
Ruang tamu rumah kedai pada tahun 2006.
Lorong pintu masuk rumahnya yang masih kekal dalam bentuk asal.

Dengan membuka rumah untuk tetamu yang terdiri dari pelbagai latar belakang, membolehkan beliau untuk berjumpa dengan pelbagai jenis orang di usia yang muda. Ada pelukis, ada penulis, wartawan, pelajar dan juga pelbagai individu yang unik. Namun beliau amat bersyukur kerana bapanya memberikan pendedahan awal seperti itu.

Gambar Rahime Harun yang boleh anda lihat sebaik sahaja naik ke tingkat atas galeri ini.

“Bila saya sebut pendedahan bukan sahaja pendedahan terhadap muzium, tetapi saya juga turut diberi pendedahan awal terhadap seni lain seperti teater. Setiap hujung minggu kami akan pergi menonton teater melayu. Pada zaman 80-an dan 90-an, teater melayu sangat happening, sesuatu yang tidak dapat kita lihat pada zaman sekarang. Selain itu, kami juga selalu menonton filem. Dalam memori saya, REX cinema adalah untuk pergi menonton filem dan makan benjo (sambil tersenyum), dan bukan lah REXKL yang sekarang,” tambah beliau.

Satu jam sesi temu ramah kami seakan tidak terasa mendengar kisah yang menarik dari wanita yang hebat ini. Dalam gurauannya terselit pelbagai pengajaran. Nazura turut berkongsi seperti anak remaja yang lain, pelbagai persoalan bermain difikiran tentang haluan hidupnya yang dipenuhi dengan lukisan dan seni. Namun kini, beliau amat memahami akan segala yang cuba disampaikan oleh kedua ibu bapanya itu.

Kenapa seni itu penting?

Seni itu given kepada saya sejak kecil lagi, maksudnya kerana saya membesar dengan persekitaran yang dipenuhi dengan seni,” kata beliau yang turut berkongsi zaman remajanya sebagai seorang anak tunggal kepada pasangan penggiat seni, Rahime Harun dan Zarina Ariffin, yang pastinya cukup berbeza dengan rakan-rakan seusianya.

“Ibu bapa saya berbeza. Ibu bapa yang tipikal selalunya akan suruh anak belajar dan pastikan dapat A dalam matapelajaran seperti matematik, tetapi ibu bapa saya ‘kau kena skor A dalam seni’. Mereka sering menerapkan kata-kata hikmat seperti ‘Do what you love’ dan pastinya benda itu akan datang dengan sendirinya nanti,” jelasnya menerangkan kata-kata itu perlu disusuli dengan kerja keras untuk mencapai matlamat yang diingini.

Suasana di Anak Alam pada tahun 80-an.

“Sewaktu kecil saya selalu di Anak Alam dekat Padang Merbok, saya sering dihantar ke kelas seni pada hujung minggu dan banyak berkawan dengan uncle dan aunty yang terdiri dari pelukis serta penyair. Saya memang duduk dalam persekitaran yang macam tu.

Selain itu, saya juga banyak meluangkan masa di Central Market. Pada siapa yang pernah melalui zaman kegemilangan CM pada tahun 80-an, tempat ini yang paling happening lah dekat KL, dan tempat tu adalah Pasar Seni kan, jadi orang-orangnya banyak pelukis dan orang seni. Boleh saya katakan CM ni adalah taman permainan saya,” tambah beliau yang seakan tersenyum mengimbau kenangan yang lalu.

Sebagai seorang anak tunggal, menjadi tanggunggjawab untuk memikul legasi keluarga, dalam meneruskan galeri yang telah diusahakan oleh ibu bapanya (sejak lebih 20 tahun yang lalu, pada ketika itu) sehingga berjaya menempa nama dan berdiri teguh hingga ke hari ini. Namun bagi Nazura dia juga harus tepuk dada, dan tanya pada diri sendiri tentang apa matlamat yang ingin beliau kecapi.

“Pada saya, A.P Art Gallery ni akan sentiasa menjadi milik mereka (ibu bapanya), tetapi ini juga seiring dengan pemerhatian saya yang mereka betul-betul bekerja keras untuk mencapai ke tahap ini. Itu juga yang memberi saya satu motivasi untuk mencipta sesuatu yang akan menjadi milik saya,” kata beliau.

Dua karya yang saling berkait rapat yang dipamerkan di galeri ini.

Pada dasarnya, untuk menyambung legasi galeri ini merupakan jalan pintas untuk beliau melangsungkan kehidupan, namun baginya itu terlalu mudah dan tidak mencabar, disamping memberi sedikit sebanyak tekanan buatnya terhadap persepsi serta harapan orang ramai pada Nazura dalam menyambung legasi ini.

Kerana itu, pada hari ini Nazura bersyukur mempunyai pemikiran orang kreatif untuk “buat je lah dulu” atau dalam erti kata lain, berani untuk mencuba walaupun pada asalnya tidak mempunyai ilmu yang mendalam dalam sesuatu bidang. Walaupun pernah berada dalam dilema untuk meneruskan perusahaan keluarga atau memulakan sesuatu yang baharu (Manggis) pada ketika itu dianggap sukar, namun hari ini semuanya terbukti membuahkan hasil.

Seseorang itu mampu berjaya jika mereka mempunya motivasi yang tinggi, matlamat dan ingin terus maju kehadapan. Setelah beliau berjaya membangunkan Manggis pada tahun 2018, barulah A.P Art Gallery dihidupkan kembali setelah sekian lama operasinya dibekukan sejak bapanya meninggal dunia pada tahun 2008 dan ibunya dua tahun kemudian.

Memahami melalui memori

Lukisan pertama milik Nazura hasil pembelian dari titik peluhnya membina Manggis, lukisan portrait oleh Rafiee Ghani yang jarang dilakukannya – The Last Stand in Tanah Merah. Bagi dirinya, lukisan ini menggambarkan dirinya yang degil atau kata orang penang ‘ketegak’.

Untuk seseorang meminati dan memahami seni memerlukan masa, dan nilai seni itu terletak pada individu yang melihatnya. Walaupun lukisan itu hanya bernilai puluhan ringgit pada kiraan matawang, namun jika ia mempunyai sentimen terapan emosi dan memori, nilainya melonjak tinggi buat si pemilik.

Mengimbau kembali kisah yang lalu, Nazura berkongsi kebanyakan orang menghadiahkan gelang emas atau barangan kepada anak-anak mereka, namun berbeza dengan ibundanya yang pernah menghadiahkan sebuah lukisan. Beliau merasakan hadiah tersebut cukup bermakna dan kini lukisan tersebut dihadiahkan atau diturunkan kepada anak-anaknya pula. Bagi Nazura dengan pemberian seperti ini juga mereka dapat memahami akan pentingnya seni dalam sejarah hidup mereka.

Allahyarham Rahime Harun dan Allahyarhamah Zarina Ariffin, pasangan yang mempunyai minat yang mendalam untuk membangunkan seni di sekitar tahun 1980an hinggalah akhir hayat mereka.

Selepas beliau memilih kerjanya sendiri, Nazura dan suami dapat memenuhi impian mereka iaitu dapat melancong disamping bekerja. Jika dibandingkan cara beliau melancong sekarang, jauh berbeza dengan perjalanannya bersama ibu bapanya di usia muda dahulu.

Dengan adanya perbezaan itu, membuatkan beliau sering kembali ke asal usul dirinya, iaitu penerapan aktiviti melawat muzium-muzium dan tempat yang jarang dilawati oleh orang ramai sewaktu melancong. Dulunya beliau tidak suka akan lawatan ke muzium, namun kini tradisi bapanya itu kekal dalam dirinya sehingga diterapkan kepada anak-anak.

“Pernah sekali saya bawa anak-anak saya ke Guggenheim Museum New York. Saya mengamuk sebab mereka bangun lambat. Mereka cakap ‘mommy, ni muzium je lah, buka lama, kenapa kecoh sangat, relax lah mommy,” beliau sering tersenyum sendiri apabila berkongsi kisah-kisah lalu. “Saya cakap kamu semua tak faham, bukan mudah dan bukannya murah untuk pergi muzium seni sekarang. Tambahan pula dengan membawa tiga orang anak,” katanya.

Lokasi di museum yang sama, Guggenheim Museum, New York, pada tahun yang berbeza – atas 1994 dan bawah pada tahun 2017.
 
Nazura bersama anak-anak di Getty Museum, Los Angeles – 2022.
Di The Hakone Art Museum, Japan.
 
… dan pameran seni, galeri di Bali.

Sama seperti apa yang diajar oleh kedua orang tuanya, Nazura kini faham betapa pentingnya pendedahan dan didikan awal kanak-kanak terhadap seni. Memorinya berjalan dengan kedua ibu bapanya sentiasa tersemat di hati. Kita boleh melalui pelbagai pengalaman, tetapi akhirnya kita tetap akan kembali kepada akar kita, atau siapa diri kita yang sebenar. Semua ini penting bukan untuk diri kita sahaja, namun untuk anak-anak yang juga pewaris seni untuk generasi akan datang.

Tinggalan seni

Sewaktu sibuk membina Manggis, beliau tidak berkesempatan untuk mendengar satu per satu kisah dari bapanya tentang lukisan-lukisan yang terdapat dalam koleksi ini. Kata orang, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya, begitulah peluang yang diambil oleh Nazura sewaktu pandemik dan melalui Perintah Kawasan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Antara koleksi beliau, karya Sharifah Fatimah yang sentiasa bersamanya sejak tadika lagi.

“Saya membesar dengan salah satu karya Sharifah Fatimah, daripada tadika. Jadinya kadang-kadang seni ni, mungkin sebab ada bersama kita sejak kecil, jadi bila saya tengok, kita akan rasa, saya ok! Ini rumah saya,” tambahnya tentang impak yang sesebuah lukisan boleh berikan kepada kita. Bagi beliau yang juga seorang pencerita atau “story teller” kisah disebalik sebuah lukisan itu lebih bermakna berbanding nilai karya itu sendiri.

Lullaby at Perhentian Besar karya Zainal Abidin yang turut menjadi antara lukisan kegemaran beliau.

Begitu juga dengan karya Lullaby at Perhentian Besar oleh Zainal Abidin, yang beliau jumpa sewaktu PKP yang lalu. Karya ini sentiasa ada bersamanya, tetapi beliau tidak pernah mengetahui cerita disebaliknya sehingalah setahun yang lalu. Menurut pelukis, ayah beliau membeli karya tersebut kerana ia mengingatkan tentang ketenangan yang beliau rasai ketika di pulau. Dari situ terdetik sebuah memori mengingatkan beliau akan kisah lama.

Memang benar, keluarganya sering becuti ke pantai, pada hujung minggu. Sekurang-kurangnya sebulan sekali, mereka akan melakukan pelbagai aktiviti, dan buaian itu melambangkan mereka di Pulau Perhentian. Ingatannya seolah-olah dapat mengimbas kembali saat-saat indah bersama keluarga di pulau. Kewujudan buaian pada lakaran itu cukup simbolik dengan percutian hujung minggu mereka.

Ia juga sebenarnya melambangkan ketenangan dan beliau telah meletakkannya di ruang tv sebagai peringatan, kita perlu “take 5”. Apabila kita bekerja terlalu keras, ambil masa untuk diri sendiri dan berehat.

“Jadi bagi saya, itulah seni, ia boleh jadi semudah, seringkas itu. Kadang-kadang orang salah faham yang seni perlu ‘deep’, walhal falsafah itulah yang membuatkan orang takut dengan seni, takut untuk masuk ke galeri, fikiran perlu kritikal. Sebenarnya tak pun, itulah keindahan seni, kerana kita ada kebebasan untuk ekspreskan diri. Awak boleh rasa macam tu, dan saya boleh rasa macam ni,” jelasnya.

Lukisan ibu Nazura, Zarina Ariffin, yang masih dipamerkan di dinding galeri.
Nazura berkongsi mengapa dia suka untuk meletakkan kedua-dua lukisan ini diletakkan bersebelahan. Lukisan Lat di atas menunjukkan orang kampung yang akrab dan hidup harmoni bertukar santapan, manakala lukisan Kide Baharudin pula menggambarkan keadaan dunia sekarang.
Antara koleksi lain yang menambat hati penulis di galeri ini.

Benar, cara membesarkan anak membawa impak yang berbeza terhadap memori, kematangan anak-anak untuk berfikir secara kritial bukan sahaja untuk memahami seni tetapi juga tentang kehidupan. Bagi Nazura yang membesar di rumah kedai yang juga merupakan sebuah galeri, serta dikelilingi oleh insan seni yang hebat memberi banyak impak dalam menjiwai seni.

Kini koleksi yang terdapat di galeri beliau bukan sahaja miliknya, malah terbuka untuk orang ramai berkunjung ke A.P Art Gallery dan melihat sendiri karya-karya yang cukup menarik. Jika terdapat kesempatan Nazura juga seronok ingin membuka galeri mereka untuk anak-anak muda serta pelajar hadir dan membuat aktiviti bersama supaya mereka semua dapat mengenali karya-karya mereka yang terdahulu dan belajar mengenainya.

Sempat juga kami bertanyakan antara tips beliau dalam pengurusan masa dalam menjaga galeri dan kesemua syarikat dibawah naungan Manggis Group.

“Alhamdulillah, buat masa sekarang kita sudah bangunkan Manggis, bukan sahaja dari segi jenama, tetapi juga kumpulan. Di bawah Manggis Group kami ada enam syarikat secara keseluruhannya. Jadi macam saya cakap tadi kami bukan sahaja membina jenama dan syarikat, tetapi juga team, dan saya bersyukur mempunyai team yang bagus yang juga merupakan kekuatan kami,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkongsi untuk elakkan diri daripada melakukan pengurusan mikro dan percayakan pada setiap ahli kumpulan anda. Pembahagian hari untuk setiap syarikat dan kerja adalah amat penting, sebagai contoh pada hari Isnin beliau akan meluangkan masa di pejabat untuk melunaskan segala kerja-kerja pejabat, Jumaat adalah hari seni dimana beliau akan luangkan masa untuk aktiviti seni, begitu juga dengan pembahagian hari-hari lain.

Manggis dibangunkan bersama suami Fauzee Nasir sejak 2003.
Kumpulan Manggis Group: Antara tulang belakang kejayaan perusahaan beliau hingga ke hari ini.

Nasihatnya pada semua, terutamanya pada wanita di luar sana, kita harus percaya yang kita boleh lakukan apa sahaja; menjadi seorang ibu, isteri, dan kejar segala impian kita. Tiada formula khusus dalam pembahagian masa, semua tertakluk kepada diri sendiri. Selain itu, beliau juga berharap agar apresiasi seni di Malaysia dimulakan dari akar umbi iaitu dengan kanak-kanak.

Jelasnya, “di luar negara, kanak-kanak di bawa ke muzium seni dan guru mereka akan ambil masa untuk duduk di hadapan sebuah karya seni dan berbincang bersama-sama pelajarnya. Di Malaysia pendedahan dan pelajaran seni lebih tertumpu kepada teknik. Ramai yang berfikir jika tak pandai lukis, maka saya bukan orang seni. Sedangkan seni itu besar dan meliputi pelbagai perkara dalam kehidupan kita. Anda boleh jadi pekerja profesional yang bukan ada kaitan dengan seni dan masih meminati seni. Jadi dengan ini kita akan ada ekosistem yang lebih sihat, yang mana orang di luar industri seni dapat menyokong pemain seni dengan menjadi pengumpul seni ataupun peminat seni”.

Namun kesemua ini tidak akan dapat dicapai selagi kita tidak mendidik anak kita untuk menjiwai seni. Sama ada kita membesar dengan seni seperti Nazura, mahupun tidak, penerapan seni adalah penting untuk generasi akan datang. Tidak ramai individu yang bertuah seperti Nazura, yang mendapat pendedahan terhadap dunia seni dari awal, namun itulah tanggungjawab yang perlu beliau galas untuk mendidik anaknya, serta generasi akan datang untuk cintakan seni.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites