Anyaman kolaborasi dan komposisi dalam seni Yee I-Lann

Sambil meneliti karya visual terbaru Yee I-Lann, ‘At The Roof Of The Mouth’ yang baru sahaja tamat pamerannya di New York, BASKL berbual dengan artis ini dalam mengenal struktur kerja dan apresiasi seni di sebalik kerjayanya.

Oleh NABILA AZLAN

“Naik kapal terbang sekarang dah serupa naik bas!” seloroh Yee I-Lann yang sedang sibuk ke sana sini memenuhi senarai jemputan dan mengadakan pameran seninya, memperlihatkan karya terbarunya yang dinamakan At The Roof Of The Mouth

Yee, 51, merupakan seniwati dan ahli acara yang telah berkarya secara rasminya sejak tahun 2018. Air tangan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini banyak meliputi arus komuniti di tanah lahirnya, terutamanya suku Bajau Sama DiLaut di Semporna, Dusun dan Murut. “Ramai antara mereka bekerja sebagai tukang anyam dan kolaborasi saya dengan mereka membuahkan tikar sebagai bentuk seni utama,” ceritanya. 

“Setiap yang saya hasilkan berserta niat (intent), selalunya sebagai cara saya meneroka sesebuah idea. Hasrat saya adalah untuk merentasi penghasilan sejenis karya seni itu sendiri, melalui penerokaan elemen-elemen yang membentuk diri kita, terutamanya sebagai orang Malaysia dan Asia Tenggara. Sempadan (antara negara) kita boleh dikatakan sebagai baru, lagipun Malaysia baru menyambut hari kebangsaannya yang ke-59 tahun,” kata Yee.

Mengambil contoh karya visual yang turut mengguna pakai teknik batik canting, Orang Besar Series: Kain Panjang with Petulant Kepala (2010) yang dipamerkan di pameran maya dan fizikal Galeri Khazanah, dia mengolah, “Inilah cara saya memahami sesebuah struktur politik, iaitu susun kuasa pemerintahan melalui kaca mata lelaki. Pemilihan batik jatuh kepada dua sebab utama, ia bahantara (medium) yang hibrid, juga menerusi titipan sejarah kain ini selalunya dikaitkan dengan wanita. Saya mahu melihat ‘politik lelaki’ menerusi ‘medium wanita.” Kain batik juga amat sinonim dengan Malaysia; dia yang gemar meletakkan seni sebagai bahan bina masyarakat bangga dengan percaturannya.

Untuk siapa anda berkarya? Jawab Yee I-Lann, “Bangsa saya. Juga untuk diri saya sebagai seorang peneroka, pembaca dan pemikir.”

“Skil mereka (seniwati komuniti) inovatif dan sangat mengagumkan. Mereka terus mencabar saya untuk bersama dalam menaik taraf seni masing-masing.” Katanya, seni komuniti ini telah banyak mendapat perhatian masyarakat luar tetapi ia masih belum memenangi hati orang tempatan.

Yee juga tekad mengetengahkan isu identiti kenegaraan dalam jiwa karyanya. Ulasnya lagi, “Saya menggabungkan yang harfiah (literal) dan estetik.” Bapanya merupakan seorang pekerja kerajaan berbangsa Sino-Kadazan, manakala ibunya seorang guru yang berasal dari Malaysia dan New Zealand. Namun begitu, Yee tidak pernah menetap di New Zealand. Katanya, “Ibu saya yang kini berusia 78 tahun banyak menghabiskan masanya di Sabah. Dia telah meninggalkan New Zealand ketika umurnya 20-an. Bapa saya pula seorang pelajar sebahagian daripada Rancangan Colombo (The Colombo Plan) yang juga generasi pertama yang hidup dalam pembentukan kerajaan Sabah. Menghalusi penyatuan mereka, saya belajar tentang dekolonisasi”. Mengikut jejak langkah kedua orang tuanya, Yee membesar sebagai pemikir kritis yang berjiwa komuniti.

Artis yang mempunyai latar belakang pendidikan fotografi dan sinematografi filem ini sejak awal lagi mengagumi proses bilik gelap (dark room). “Ia lebih mengujakan saya berbanding proses mengendalikan kamera sendiri,” katanya lagi. “Minat saya terhadap fotografi berfokuskan arkib dan manipulasi imej serta ‘beban’ yang setiap satunya dibawakan merentasi ruang masa mula bercambah. Saya berkemahiran dalam penerokaan bilik gelap, namun menghadapi pelbagai perubahan sejurus datangnya era digital.”

At The Roof Of The Mouth, menurut Yee, “Mengembalikan kolaj lampau yang disusun untuk membina sebuah arkib digital persendirian.” Tambahnya, “Ia juga menggunakan skala penerokaan idea yang lebih kecil. Ia menampilkan corak anyaman kaum Keningau, Bajau Sama DiLaut, komuniti Omadal (kepulauan di Sabah) dan hasil kerja fotografi saya. Melalui garis kerja ini, kami menggali tanggapan konsensual dan falsafah tempatan.”

At The Roof Of The Mouth pertama kali menemui mata khalayak di Sabah pada 2021. “Saya sedang menanti jemputan seterusnya untuk mempamerkan kerja saya kepada peminat dan pengunjung seni di Semenanjung Malaysia pula,” kata Yee I-Lann.

“Sukar untuk saya tandakan permulaan dan pengakhiran sesuatu karya kerana prosesnya sentiasa berjalan. Boleh saya katakan, hasil-hasil kerja ini berpaksikan idea yang saya teroka pada tahun 2018 — selepas saya pulang ke tanah air pada tahun 2016. TIKAR/MEJA (dimulakan) pada tahun 2018, seni anyaman buluh yang digelar Tukad Kad pula berterusan sehingga tahun 2021 dan 2022. Kami sentiasa berinovasi, dan melaluinya kami temui corak anyaman yang mengagumkan,” ulasnya. “Tiada karya yang bergerak secara sendirinya, kerana apa yang kami pelajari dalam karya sebelumnya akan ditunjukkan pula dalam karya seterusnya.”

Bercakap mengenai kolaborasinya dengan komuniti di Sabah, Yee akui, “Saya tidak pandai menganyam, walaupun nenek saya seorang penganyam. Bekerja dengan tenaga mahir ini mengajar saya bahawa kemahiran ini mesti dihormati. Samalah juga dengan ilmu dan gagasan warisan bersimpang-siur yang mereka terima dari nenek moyang mereka. Ia bukan lagi sekadar penerokaan idea saya tetapi mengalihkan perhatian khalayak kepada lanskap yang lebih besar.”

“Satukan orang tanah, darat, air dan laut. Untuk saya, bila kita ada unsur tanah dan air — tanah air, barulah kita akan dapat melihat ‘punca’ dunia.”

Yee percaya, tiada idea besar yang datang dari isolasi atau pengasingan diri. “Saya tidak pernah berfikir pun untuk mengasingkan diri dalam apa-apa proses, saya harap orang lain akan terinspirasi untuk menyambung karya yang saya bawakan ke hadapan. Mari berdebat dengan saya! Tentunya saya akan membela diri sendiri dan pemikiran saya, tetapi saya sentiasa mengimpikan hujahan yang berisi.”

Mengagumi Dokumenta Fifteen, sebuah pameran dan perkongsian seni yang baru-baru ini menutup tirainya di Kassel, Jerman, artis ini menyatakan elemen-elemen yang dibentangkan di dalam edisi ke-15 beberapa bulan lalu. “Tindakbalas pengunjung kepada aspek komuniti, perbezaan generasi, hubungan dan nepotisme yang dibawa dari Asia ke mata Eropah amat mengujakan saya. Saya banyak terkesan dengan isu seperti krisis iklim, dan saya percaya, melalui pemahaman lokal akan kita temui solusi sejagat yang sesuai,” kata Yee.

“Saya berasa bahawa setiap jenis kerja yang saya lakukan berteraskan elemen yang berlainan. Harapan saya adalah untuk sentiasa bervariasi, supaya peminat seni lain sentiasa berteka-teki!”

Membahagikan masanya bagi merangka pelbagai pelan seni, Yee kini bekerjasama dengan Rogue Art untuk membawa buku barunya ke khalayak yang akan sedia untuk dibeli pada bulan Februari 2023. Buku ini membentangkan proses kerja seninya yang merangkumi proses-proses terlibat sejak tahun 2010. “Saya berharap untuk mempamerkan kerja saya melalui pameran-pameran pendek sempena pelancaran buku saya,” terangnya. “Saya juga sedang sibuk dengan pembinaan semula Balai Bikin, sebuah kem khas berteraskan nilai-nilai komuniti di mana saya dan rakan studio saya di Kota Kinabalu — Filzah JamJam dari firma Arkitrek sedang menyediakan proses reka bentuk buat projek kami pada bulan April 2023. Pembinaan ini bukan sekadar melihat kepada reka bentuk bangunan, tetapi sistem di sebalik bangunan, lebih-lebih lagi buat binaan di atas air (lautan). Yang terbaik buat alam dan mudah untuk orang lain mengikut jejak langkah yang sama.”

Ikuti gerak seni Yee I-Lann menerusi galeri Silverlens. Dia juga kerap berkongsi buah fikirannya di Instagram.

Gambar dari Silverlens, Yee I-Lann dan Andy Chia

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites