Keaslian dalam karya Ayie Ibrahim

Karya animasi Pillar Of Strength pulang membolot banyak anugerah di festival-festival filem luar negara termasuk Best Animated Short di Golden Femi Film Festival 2020 Bulgaria. Penulis BASKL bersembang secara santai dengan pencipta karya ini, Ayie Ibrahim.

Oleh AZUWAN AHMAD

Nama Ayie Ibrahim atau Khairi Ibrahim mungkin asing jika disebut pada umum, namun karya-karya nya seperti Usop Sontorian menjadi bualan sampai sekarang, apatah lagi dalam kalangan kanak-kanak yang membesar di era 90-an dan awal 2000 menjadikannya seorang pakar animasi yang prolifik dan disegani dalam lingkungannya. Terbaru, Ayie telah menghasilkan filem pendek animasi berjudul Pillar of Strength yang telah mengharumkan nama anak bangsa Malaysia dengan memenangi deretan anugerah di festival filem di luar negara.

Pillar Of Strength mengisahkan konflik kekeluargaan antara seorang pahlawan Iban di Sarawak dengan anaknya yang berumur 10 tahun yang dirasakan tidak menghormati dan mengerti budaya dan adat resam serta lebih banyak menghabiskan masa bermain. Cerita ini menemui plot konfliknya apabila mereka berdua keluar berburu dan ditimpa musibah.

Mengingati semula perjalanannya, selepas tamat zaman persekolahan pada waktu itu tidak ada istilah mengenai menyambung pengajian dalam bidang animasi. Dia menghabiskan waktu dengan bekerja di studio jamming di Skudai, Johor. Perjalanan rezeki nya dalam bidang animasi ini bermula ketika kartunis tersohor, Ujang mencari animator dari seluruh negara untuk siri kartun animasi terbaru ketika itu, Usop Sontorian yang merupakan kartun animasi pertama asli Malaysia.

Ceritanya, “Masa tu saya tak tahu pun animator itu apa. Kami semua tak tahu maksud animasi itu apa. Tapi masa itu kartunis Ujang memang tengah top, jadi mak saya pun kata pergilah. Kau pun suka benda ni. Jadi saya pun ikut pergi lah ke Kuala Lumpur pada tahun 1995.”

Ayie Ibrahim juga menjadi tenaga pengajar di UiTM

Ayie mengakui bahawa dia lebih cenderung dalam bidang kreatif. Hal tersebut memang diakui oleh keluarganya semenjak dari kecil kerana dia memang gemar menconteng. Keluar sahaja dari syarikat penerbitan Ujang, Ayie menyertai Hassan Mutalib, pengkritik filem ternama tanah air pada tahun 1996 untuk sebuah penerbitan filem animasi Silat Lagenda. Sepanjang 10 tahun bermula tahun 2000, Ayie banyak berkelana dalam bidang penggambaran komersial.

Itu yang memberi pengalaman atau ‘guru’ sebenar kepada Ayie untuk memahami serta bergulat dalam estetika filem dan penerbitan sehingga akhirnya dia menubuhkan syarikat penerbitan sendiri pada tahun 2010. Dia sangat berterima kasih kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) kerana membantu dalam perjuangannya mendapatkan geran-geran seprti IPCC (Intelectual Property Creators Challenge). MDEC juga membantu dalam pembikin animasi tempatan dengan membimbing mengenai perlindungan hak cipta.

Berbalik kepada filem pendek animasi terbarunya, Pillar Of Strength, Ayie memilih cerita daripada Borneo kerana dia mahu memberi peluang kepada cerita-cerita pahlawan yang lain dalam negara ini yang kebanyakan orang memilih karektor Hang Tuah. Tegasnya, “Kenapa saya memilih untuk membuat cerita berlatarbelakangkan Borneo adalah kerana saya sudah muak dengan cerita Hang Tuah (terlalu banyak), beri peluang kepada kepada cerita lain. Kita ada Si Bongkok Tanjung Puteri, kita ada Naga Tasik Chini dari Pahang, Puteri Santubong dan kita ada banyak. Cuma saya fikir, kenapa tidak saya tarik cerita Borneo? Borneo besar dan kaum iban adalah kaum yang besar di sana.”

Ayie menjelaskan sejak 2017, MDEC mula membuka geran untuk filem pendek. Antara yang pernah memenangi geran tersebut adalah Batik Girl yang menggunakan batik Terengganu sebagai latar belakang juga ketika itu berjaya merangkul beberapa anugerah. Cerita ini yang membuka fikiran saya sebagai inspirasi kepada Pillar of Strength. Dalam kisah ini, ditimbulkan konflik antara anak dan ayah serta ini adalah penghargaannya buat pahlawan asal Sarawak, Rentap dan Kanang anak Langkau, dimana dua watak utama dalam filem ini diambil nama.

Salah satu babak dalam Pillars Of Strength

Menurut Ayie, dia sudah mendapat tawaran untuk membuat siri animasi TV daripada sebuah stesyen TV di Sarawak tetapi dia harus menangguhkan hasrat itu untuk memikirkan semula plot cerita ini kerana perubahan medium akan memberi impak yang menyeluruh kepada jalan ceritanya.

“Biar saya habiskan dulu short film ini sebab niat saya memang nak menghantarnya ke festival. Kemudian baru mereka akan nampak arah tujuan saya. Memang saya tetapkan tahun 2022 untuk festival sahaja sebab ada beberapa festival tak benarkan kita untuk menayangkan di media sosial,” ujar Ayie.

Filem Batik Girl menjadi inspirasi untuk Ayie

Daripada awal penghasilan cerita ini, Ayie sudah tetapkan untuk menerapkan elemen kasih sayang ,keberadaban dan pengaruh budaya dalam kehidupan masyarakat. Hal ini dipelajarinya daripada kejayaan filem pendek tempatan seperti Framed Memories dan filem pendek antarabangsa yang lain. Jelasnya, “Elemen-elemen ini sangat membantu dalam pemilihan dan menarik minat juri dalam sesuatu pertandingan atau festival.” Pillar of Strength dijangka akan menemui penonton umum pada tahun 2023.

Harapan Ayie untuk filem ini adalah dia mahu menerbitkan filem ini sebagai feature film. Namun begitu, dia mengakui untuk menerbitkan sebuah filem yang lengkap memerlukan banyak dana. “Kalau kita mahu menghasilkan sesuatu yang berkualiti seperti siri anime Spirited Away yang boleh menarik minat penonton dari sudut penceritaan, ia menelan belanja lebih kurang RM 5 juta. Kita masih berusaha untuk mengumpul dana tersebut daripada badan kerajaan seperti Kerajaan Sarawak dan pihak-pihak lain.

Ayie sememangnya tulus dan ikhlas dalam memperkenalkan budaya yang asli dalam karya-karyanya. BASKL mengucapkan selamat maju jaya buat Ayie. Keghairahannya dalam berkarya pasti akan memberi inspirasi bukan sahaja kepada anak didiknya di universiti, malah kepada ramai orang terutama anak muda. Teaser kepada filem pendek Pillar Of Strength boleh ditonton di YouTube.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites