Yayasan Sime Darby Art Festival kembali setelah lima tahun menyepi
Oleh DANIAL FUAD
Yayasan Sime Darby Art Festival (YSDAF) merupakan salah satu festival seni percuma yang terbesar di Malaysia. Festival yang berlaku dua tahun sekali ini merupakan anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama Kuala Lumpur Performing Arts Center (klpac).
Setelah lima tahun menyepi dek COVID-19, kini YSDAF kembali tahun ini dengan tema Shout It Out: Yesterday, Today & Tomorrow. Pengerusi YSD, Y.A.M. Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah menyatakan, “Selain daripada meraikan seni, festival ini juga telah dan sentiasa menjadi perwakilan dan juga pentas bagi keterangkuman dan kepelbagaian dalam masyarakat kita.”
Keterangkuman dalam festival
Semestinya ini bukanlah cakap kosong kerana festival ini adalah satu-satunya di Malaysia di mana para pekerjanya perlu menjalani Latihan Persamaan Kelainan Upaya atau Disability Equality Training (DET) dan Latihan Perkhidmatan Berkaitan Kelainan Upaya atau Disability Related Services Training (DRST). Selain daripada itu, mereka juga telah menjemput ramai Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk menyertai festival ini sebagai seniman.
Antaranya adalah program jangkauan untuk OKU Penglihatan dengan kerjasama The Colours of Sound. Melalui program ini, sebuah kumpulan telah tercipta dengan nama Visually Impaired Persons (VIPS) Handbell Ensemble yang telah membuat persembahan pembukaan semasa acara akhir YSDAF23 pada 19 Ogos lalu.
Seorang seniman muda yang menghidap palsi serebrum, Krithin Pereira juga terlibat dalam festival ini dengan mempersembahkan hasil karya lukisannya dengan pameran yang berjudul Mobility. Selain daripada itu, terdapat juga persembahan oleh OKU Pendengaran yang memberi gambaran pengalaman mereka dalam kehidupan seharian melalui pementasan Deafhood by Kikazru.
Acara yang tersedia
Dengan jumlah aktiviti dan persembahan yang mencecah 402 jumlah kesemuanya, semestinya 48 jam tidak cukup! Antara aktiviti yang sempat penulis lalui adalah menikmati ketukan gendang oleh BatteryHeadz Percussion yang penuh dengan semangat. Mereka melalukan persembahan di The Deck, salah sebuah daripada 19 lokasi poket yang terdapat di sekitar festival ini.
Di samping itu, penulis juga berpeluang untuk mendengar gesekan biola dan bass besar oleh KLPAC String Orchestra yang telah membuat persembahan di Lobby klpac. Mereka mendendangkan lagu-lagu klasik Melayu dan ternyata telah berjaya menarik minat orang ramai yang melalui kawasan tersebut.
Semestinya salah satu acara yang sangat memberi kenangan indah YSDAF23 kepada penulis adalah apabila dapat menyertai Drum Circle yang berlangsung juga di The Deck. Orang ramai dijemput untuk mengetuk gendang, rebana, marakas dan bermacam lagi alat perkusi di dalam satu bulatan. Diketuai oleh The Colours of Sound, orang ramai akan bermain gendang mengikut rentak tangan yang di tengah. Dapat dilihat pelbagai lapisan masyarakat menyertai acara ini dan tentulah ia merupakan satu terapi yang sangat menarik.
Pentas utama
Antara yang mendapat tumpuan adalah persembahan yang berlangsung sepanjang hari di pentas utama. Penulis sempat menikmati persembahan gabungan AP Didgeridoo x Jay Jay Sea x Leo Picasso yang menggabungkan muzik daripada didgeridoo, beatboxing dan juga sajak.
Antara nama lain yang menjadi tarikan adalah Anak Borneo x Kent Lee, Leaism, Masdo, Late Night Frequency, Jemson dan juga Monoloque yang telah mengisi persembahan di pentas utama selama dua hari festival tersebut.
Aktiviti lain
Selain daripada aktiviti yang dilalui penulis, terdapat bermacam aktiviti yang tidak sempat dikunjungi seperti bengkel-bengkel menarik lain. Antaranya adalah Kompang 101 oleh Danniel Iskandar, Sound Healing oleh M Theory dan juga Gamelan For Children oleh Gangsapura.
Terdapat juga persembahan yang berlangsung sepanjang hari di setiap pentas di dalam klpac seperti persembahan True Love Waits: Tribute to Radiohead oleh Young KL Singers dan Kenny Shim Dance Collective, pertandingan tarian Dance the Scene dan juga pementasan Life Sdn Bhd: What It Means to be Malaysian oleh The Actors Studio Seni Teater Rakyat dan juga Yayasan Sime Darby.
Akhir kata
Dengan pengunjung yang mencecah 15,500 orang semasa acara penutup dua hari pada 19 dan 20 Ogos lalu, boleh dikatakan YSDAF23 ini kembali dengan penuh gilang gemilang. Semoga usaha murni seperti ini diteruskan untuk memberi pemahaman tentang penghayatan seni kepada semua lapisan masyarakat. Ini telah dilihat sendiri oleh penulis kerana para pengunjung tidak terhad kepada satu kumpulan masyarakat sahaja. Seluruh demografik umur daripada yang muda sehinggalah tua hadir ke YSDAF23 ini.
Acara ini juga telah memberi peluang kerja kepada seniman, pekerja budaya dan juga kru seramai 950 orang. Festival ini juga telah berjaya menjadikan lebih kurang 70 karya baru sebagai tayangan utama di sini. Syabas diucapkan kepada Yayasan Sime Darby dan juga Kuala Lumpur Performing Arts Center untuk kejayaan mereka dalam YSDAF23 ini.
Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah: