Suntikan seni di MRT Pasar Seni dalam Arts On The Move

Program Arts On The Move 2023 bakal menyajikan seni dan budaya kepada lebih kurang 15,000 pengguna MRT Pasar Seni

Oleh DANIAL FUAD

Selasa lalu (14 Feb), Think City dengan kerjasama MRT Corporation dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), disokong oleh Yayasan Sime Dardy dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) telah melancarkan program Arts On The Move (AOTM) pada 14 Feb. Program ini bertujuan untuk memberi hiburan dan pengetahuan kepada para pengguna MRT yang melalui Stesen Pasar Seni dengan sajian pelbagai aktiviti seni serta kebudayaan sehingga Jun 2023 ini.

Ditubuhkan pada 2016 dengan matlamat untuk menghubungkan budaya melalui aktiviti seni dan budaya; program pertama mereka telah berlangsung di Stesen LRT Masjid Jamek dengan kerjasama Prasarana dan disokong oleh Yayasan Hasanah selama dua tahun. “Suka kami nyatakan bahawa sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 83% orang telah merasakan persembahan yang dilakukan memberi impak positif kepada suasana stesen tersebut,” ujar Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City.

Majlis pelancaran AOTM telah dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Anthony Loke. Beliau telah menyatakan, “Program seperti ini boleh meningkatkan kesihatan mental pengguna komuter di mana sebuah kajian oleh University Westminster telah menunjukkan bagaimana hormon utama tekanan, kortisol peserta kajian menurun apabila melihat seni.”  

Dengan usaha untuk menyuntik tenaga baru kepada Pusat Bandar Kuala Lumpur, AOTM kini kembali dengan 12 buah persembahan langsung, tiga buah bengkel seni dan dua buah seni instalasi di Stesen MRT Pasar Seni. Tambah Hamdan lagi, “Terdapat banyak bandar di seluruh dunia seperti New York, Paris, Tokyo, Berlin, Sydney dan Singapura telah berjaya melaksanakan program seperti ini dan telah memberi manfaat kepada khalayak dan pengguna komuter.”

AOTM juga merupakan sebahagian daripada usaha Building Back Better di mana ia merupakan sebuah pendekatan untuk memulihkan perniagaan kreatif dan budaya, menyuntik nafas baharu untuk menghidupkan semula pusat bandar serta minat kembali ke pusat bandar. Datuk Zarif Hasmi, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation telah menyatakan, “MRT Corporation berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada AOTM dalam menyediakan platform untuk memberi manfaat kepada peminat seni tempatan dan juga masyarakat.”

Program ini juga sejajar dengan Pelan Induk Strategik Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur, di mana rancangan untuk membangunkan industri kebudayaan dan kreatif di Kuala Lumpur dengan matlamat mewujudkan sebuah daerah yang rancak dan mampan di pusat bandaraya yang akan menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa, dan memupuk pertumbuhan industri kreatif dan budaya di rantau ini.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan yang sehaluan, kami berbangga kerana dapat menyumbang kepada blok pembinaan daerah kreatif dan budaya yang kian maju di Kuala Lumpur,” ujar Dr. Hjh. Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby.

secara purata Stesen MRT Pasar Seni ini mempunyai lebih 15,000 pengguna setiap hari. YB Loke juga telah mengulas, “Dengan AOTM, rangkaian rel ini boleh menjadi lebih daripada sebuah tempat di mana anda menunggu untuk kereta api yang seterusnya.” Dr. Yatela juga menambah, “Kami berharap dengan inisiatif seni kolaboratif terbuka untuk semua ini, orang ramai akan berhenti dan berehat daripada jadual padat mereka untuk menghayati dan mendapat apresiasi baharu untuk seni.”

Hamdan berkata, “Usaha akan berterusan untuk meremajakan Kuala Lumpur untuk menjadi sebuah daerah kreatif dan budaya melalui jaringan aset warisan, tarikan budaya, stesen transit, taman hijau, dan perusahaan kreatif.”

Majlis tersebut turut menampilkan bengkel tenunan, persembahan oleh Kelab Kebudayaan Mah Meri dan Sunnyside Up, instalasi seni oleh artis visual Pamela Tan dari Poh Sin Studio. Instalasi seni Sunnyside Up akan dipamerkan selama tiga bulan di mana ia berharap dapat membayangkan semula laluan pejalan kaki setiap hari dan mengubahnya menjadi pengalaman yang unik dan menyeronokkan untuk semua.

AOTM akan berlangsung setiap dua minggu dari Feb hingga Jun 2023 antara 5:00 hingga 6:00 petang. Program ini akan menampilkan persembahan, instalasi seni dan bengkel seni yang dikurasikan untuk dinikmati dan disertai oleh komuter dan pelawat. Untuk maklumat lanjut tentang AOTM, layari laman sesawang Think City atau ikuti @mythinkcity di semua platform media sosial utama.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites