Semangat kolaborasi yang membuak dalam ‘Jemson The Album’

'JEMSON the Album' menampilkan 12 buah lagu yang telah menghasilkan kolaborasi bersama 11 pemuzik tanah air daripada latar belakang yang berbeza.

Oleh DANIAL FUAD

“Inspirasi bagi JEMSON the Album datang daripada pemuzik dan peminat seni yang sedang bergelut dengan pandemik, di mana kami ingin menyampaikan kepada semua supaya jangan mudah berputus asa. Menampilkan 11 pemuzik jemputan dan 12 buah lagu yang bakal memberi anda pelbagai emosi apabila mendengarnya. Setiap lagu berada dalam liga mereka sendiri dan sukar bagi saya untuk memilih yang mana yang paling saya gemar – Muzik tidak menipu dan ia tidak akan mati.” – Myo JEMSON

Sedar ataupun tidak, sudah hampir dua tahun sejak dunia dilanda pandemik COVID-19. Pelbagai industri terjejas tidak kira sama ada peniaga kecil, pekerja harian, mahupun para seniman.

Keadaan yang tidak menentu ini membuatkan perancangan seperti konsert dan proses rakaman tergendala. Sememangnya ini membuatkan kita berasa sedikit kecewa kerana sekatan yang terpaksa dilalui. Namun begitu, ini tidak menjatuhkan semangat kumpulan JEMSON untuk melancarkan album baharu mereka pada awal Mei tahun lalu. 

Album self-titled yang menampilkan 12 buah lagu ini menghasilkan kolaborasi bersama 11 pemuzik tanah air daripada latar belakang yang berbeza. 

Seperti kumpulan The White Stripes atau Simon & Garfunkel, JEMSON juga mempunyai dua orang ahli yang terdiri daripada Mior Luqman, atau mesra dengan panggilan Myo, dan juga Najmi. Myo sebelum ini terkenal sebagai vokalis dan juga pemain gitar untuk kumpulan rock alternatif Oh Chentaku, manakala Najmi pula merupakan pemain gitar dan juga ketua kumpulan metal dari Kedah, Incarnation.

Pada mulanya

Semenjak pembubaran Incarnation pada tahun 2015, Najmi memulakan The Jameson Project bagi mengeksperimen gaya penulisan lagu baharu. Eksperimen ini telah membawa kepada kerjasamanya bersama Myo melalui lagu Rock N’ Roll Sampai Mati, dimana lagu ini telah digunakan untuk rancangan pengembaraan Myo, Ride Hensem. Bermula daripada kerjasama itu, maka terhasillah JEMSON pada tahun 2019.

“Najmi merupakan penulis lagu yang underrated dan saya amat senang hati apabila beliau telah menghubungi saya untuk projek ini,” ujar Myo mengenai perasaan beliau tentang permulaan JEMSON.

JEMSON

Semenjak tertubuhnya JEMSON, mereka lebih aktif dalam dunia muzik. Maka terhasil EP pertama mereka, Balada Cinta Kosmos, yang mengandungi lima buah lagu. Antara lagu yang terkandung dalam album itu ialah, Lagu Paling Kecewa Dalam Dunia, di mana ia telah mendapat pengiktirafan dalam Anugerah Lagu Indie Platinum dalam Carta Indie Kita, Rakita FM.

Selain daripada itu, kumpulan ini juga telah mendapat peluang membuka acara di konsert kumpulan “metal” Jepun, Loudness, ketika mereka membuat persembahan di The Bee, Publika di Kuala Lumpur, pada tahun 2019. 

JEMSON juga merupakan salah satu daripada tujuh kumpulan muzik dari Malaysia yang telah terpilih untuk membuat persembahan di Music Lane Festival Okinawa 2021 secara maya.

Kerjasama antara orang berkulit putih dan berkulit hitam pada tahun 1950an telah melahirkan muzik rock n’ roll, maka tidak hairanlah bagi JEMSON untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk menghasilkan album ini walaupun semua artis dan pemuzik datang daripada latar belakang yang berbeza.

Dalam usaha untuk menyiapkan album ini juga, JEMSON telah berjaya memperoleh geran daripada badan kerajaan, CENDANA. Bantuan ini telah berjaya membantu pelbagai lapisan komuniti muzik tempatan. Myo turut mengulas, “Dengan bantuan CENDANA, kami berjaya membantu komuniti muzik tempatan melalui pembayaran sewa studio bagi kelangsungan hidup mereka dan bekerjasama dengan pemuzik profesional bagi proses ‘mixing’ dan ‘mastering’ album dan karya kami ini. 

“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan sebagai usaha untuk membantu pemuzik, terutamanya bagi mereka yang berada di pedalaman di mana jangkauan telekomunikasi dan kemudahan terhad.” 

Myo juga berasa kewangan adalah masalah utama bagi pemuzik, terutamanya ketika pandemik yang telah membataskan aktiviti seni selama hampir dua tahun ini. Dengan adanya dana sebegini, JEMSON dapat peluang untuk bekerjasama dengan pemuzik dari pelbagai latar belakang.

JEMSON

“Mereka merupakan pemuzik terbaik Malaysia, berkarisma tinggi dan sangat berbakat. Sebahagian daripada mereka tidak mendapat peluang untuk mengetengahkan kehebatan sebenar mereka,” ulas Myo apabila ditanya mengenai artis dan pemuzik yang turut berkolaborasi dengannya.

Antara kolaborasi yang dapat kita lihat dalam lagu yang berjudul, Mula Semula, menampilkan penyanyi pop Naim Daniel, dan juga Izo daripada kumpulan rock lagenda XPDC turut bekerjasama dalam lagu yang berjudul XPDC. Antara nama lain yang turut sama dalam kolaborasi ini adalah Noh Salleh, Vinesh daripada kumpulan Trophy Knives, Rudye Lyon, Areef Iskandar, Raz Azraai, AG Coco, Raja Nazrin Shah (Sekumpulan Orang Gila), Sam Bunkface dan Rudeen. 

Selain daripada pemuzik, JEMSON juga telah memberi kelainan dalam albumnya kali ini dengan bekerjasama dengan seniman visual Diana Idris untuk menghasilkan buku liriknya serta Uze Osbourne bagi penghasilan muka depan album mereka.

Sebagai gimik pelancaran album mereka April lalu, JEMSON telah mengeluarkan muzik video bagi salah sebuah lagu dalam album mereka, Lu Power, bersama Noh Salleh (Hujan). Sejak April 2 lalu hingga ke hari ini muzik video itu telah meraih 40 ribu tontonan. 

Menariknya lagu ini, peminat juga dapat melihat sisi lain Noh dengan mempamerkan kemahirannya untuk rap. Pasti ramai yang tidak tahu akan bakat Noh ini. Sebelum menganggotai kumpulan Hujan, Noh pernah membawa nama Noh Phrofile bersama kumpulan hip-hop Mc’s In X-Tion atau lebih dikenali sebagai M.I.X. pada awal 2000.

Daripada muzik video tersebut, hala tuju JEMSON sebagai sebuah kumpulan rock kelihatan lebih jelas. Petikan gitar daripada Najmi dalam muzik video ini juga mengingatkan kita pada lagu era Rock Kapak 1990an seperti Pawana daripada Search ataupun Pentas Opera daripada Wings. 

Lu Power sememangnya memberi kelainan. Judul lagu yang diambil daripada slanga tempatan bagi menunjukkan komen sinis tentang kekaguman terhadap seseorang ini membawa semua mengimbau nostalgia rock n’ rock dalam hasil karya mereka yang menggabungkan jaket kulit dan lukisan serta animasi sekaligus membawa suntikan elemen muzik pop dalam video klip mereka.

Muzik rock n’roll merupakan muzik bagi meluahkan rasa tidak puas hati dan sekarang merupakan masa yang sesuai kerana ramai orang yang terbuku perasaan tersebut akibat daripada keadaan semasa.  

“Kami amat bersyukur dan merasa sangat bertuah. Kami berharap muzik JEMSON dapat memberi inspirasi kepada semua dan menyentuh hati yang luka. Kami tidak sabar untuk tour dan kembali membuat apa yang kami suka.” 

Album terbaru JEMSON boleh didapati di Teenage Head Records

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites