‘Measure of Seeds’ menyemai gambaran sejarah alam dengan masyarakat

Syarifah Nadhirah merungkai hubung kait manusia dengan tumbuh-tumbuhan sekeliling serta sejarah disebaliknya melalui pameran seni terbaharu, ‘Measure of Seeds’ yang disusun di Taman Botani Rimba Ilmu, Universiti Malaya.

Oleh NABILA AZLAN

BASKL bersua kembali dengan artis visual dan pereka cetakan tekstil, Syarifah Nadhirah Syed Abdul Rahman untuk mencerakinkan makna di sebalik Measure of Seeds, sebuah pameran solo hasil kurasi artis dan ahli kaji kreatif, Zikri Rahman.

Tahun lalu, kami di BASKL sempat bersembang dengan Nadhirah tentang bukunya, Recalling Forgotten Tastes yang mengimbau kehidupan komuniti Orang Asli di Selangor dan Negeri Sembilan melalui koleksi tanaman setempat. Seorang yang mengagumi impak tumbuh-tumbuhan terhadap susun atur masyarakat, Nadhirah kerap menggunakan elemen botani dan ekologi dalam penceritaan seninya, kali ini melalui tiga buah karya campuran yang dipamerkan menerusi Measure of Seeds (Takah Benih) dari 26 November hingga 25 Disember 2022.

Artikel ini adalah buat anda yang sama tertarik dengan cara bagaimana unsur-unsur alam sekitar kian melakar sejarah kehidupan manusia. Nadhirah menerangkan secara kasarnya idea, bentuk dan struktur kerja di sebalik pameran tersebut.

Semaian ilham karya

Measure of Seeds atau Takah Benih adalah cungkilan ‘Wunderkammer’ (kajian dari perasaan ingin tahu atau cabinet of curiosities) sejarah semula jadi di Kepulauan Melayu, terutamanya bagaimana pengaruh kolonial berkait rapat dengan salasilah kehadiran pokok bukan asli. Menurut kajian sains, kolonialisme menerapkan warisan pemikiran dan budaya Eropah yang tidak seimbang dalam pendidikan, kemudiannya menggalakkan pendudukan tumbuh-tumbuhan invasif kepada persekitaran baharu oleh peneroka, pengumpul tumbuhan dan naturalis. Inilah inspirasi saya untuk mengkaji memori dan intipati tumbuhan yang merentasi lautan dan daratan – bersama kita, ia turut wujud bersama landskap asli.

Apabila sejenis tumbuhan atau benih dilihat membawa untung, ia bertukar menjadi tanaman tunai (cash crop). Tiada tanaman yang tumbuh sendiri; mereka memerlukan benih dan buruh manusia. Sesebuah negara ‘dibina’ di atas tangan rakyat. Disebabkan benih amat penting terhadap pembinaan budaya dan sistem makanan manusia, pengawalan benih mampu mengawal kehidupan manusia secara keseluruhan.

Syarifah Nadhirah dan kurator, Zikri Rahman di tapak pameran. Kata Nadhirah, “Saya datang dengan idea untuk meneroka hubungan invasif dan kolonialisme, Zikri pula memperhalusi idea-idea ini dan membimbing saya dari segi pengolahan karya.”

Dalam usaha saya untuk memahami kefanaan (ephemerality) dan transformasi landskap kita yang rapuh, projek ini mengingati kembali sejarah dan geografi perladangan di Tanah Melayu sambil meneroka idea migrasi tumbuhan merentasi benua atas sebab ekonomi. Projek ini berpunca daripada rangkaian pemerhatian dan pertanyaan botani dalam memetakan pelayaran pokok dan tumbuhan terkemuka yang diperkenalkan; kemudiannya berkembang maju dan hilang di puncak globalisasi”.

“Keluarga sebelah ibu saya amat serasi dengan makanan. Cerita-cerita saya semasa membesar, menceritakan kebijaksanaan generasi terdahulu yang memahami peranan makanan dari konteks ekologi dan cara kelangsungan hidup. Merekalah yang membawa saya untuk memahami cara perladangan di Tanah Melayu ketika itu – tanaman seperti ubi kayu, nanas, tebu dan kopi mengajar saya tentang bagaimana spesies bukan asli mampu menjadi simbol penting dalam konteks ekonomi, sosial dan budaya di rantau ini sehingga hari ini”.

Antara proses yang terlibat

“Setiap hari, saya bekerja di sebuah studio cetakan bernama Chetak.17 di bawah bimbingan artis, Samsudin Wahab. Saya belajar cara-cara menggores sebagai teknik utama yang digunakan siri pertama karya seni ini. Selain itu, kami sempat berkenalan dengan warga dari SRI-Mas, sebuah NGO yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan agroekologi dalam komuniti petani tempatan. Kami didedahkan dengan kisah nasib petani dan saling bertukar fikiran tentang isu beras di Malaysia. Melalui simpanan Arkib Negara, kami dapatkan gambar ladang dan pekerja buruh di Tanah Melayu”.

Garis masa dan cabaran

“Idea ini bukanlah sesuatu yang disimpan lama; kami pun baru sahaja berkesempatan untuk betul-betul menyelaminya. Kami mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menjadikan idea ini satu kenyataan. Kami telah mengenali Rimba Ilmu selama beberapa tahun dan kami rasa, ini satu peluang yang baik untuk mewujudkan pameran karya yang bukan dalam suasana galeri ‘kotak putih’. Rimba Ilmu memenuhi keperluan ramai, terutamanya mereka yang ada latar belakang akademik dan berfokuskan alam sekitar. Menyedari keperluan ini, kami bersyukur kerana ia dapat ‘menangkap’ kumpulan yang pelbagai, seperti ahli fizik, ahli sejarah, pelajar dan ramai lagi.

Setiap karya yang dipamerkan merupakan hasil percubaan awal saya dalam seni cetak dan instalasi. Masing-masing ada cabaran yang tersendiri tetapi saya percaya, semuanya sebahagian daripada proses yang lebih menyeluruh.”

Intipati karya

Before Rubber Came “…Menghubungkan pendebunga, tumbuhan dan perosak yang mungkin jarang dibualkan dalam landskap tanaman di Tanah Melayu. Kedua-dua pendebunga dan perosak memainkan peranan yang penting, selain mampu menjadi alat pemusnahan ekologi secara besar-besaran. Siri goresan lima bahagian ini meneroka lima jenis ladang cash crop yang berbeza dan ‘dilucutkan’ kepada benih tunggal atau keratan, bersama-sama ‘rakan’ dan ‘musuh’ masing-masing. Sama seperti proses berulang dalam pembuatan cetakan, tumbuh-tumbuhan ini mengalami proses kebangkitan dan kejatuhan dalam landskap Tanah Melayu kerana manusia terus menghakis tanah dengan ladang monokultur sehingga hari ini. Siri ini berakhir dengan imej terbiar lalang yang merosakkan (Imperata cylindrica).”

A Grain of Rice “…Adalah arkib varieti padi hasil tanaman petani tempatan yang semakin berkembang sebagai tindak balas terhadap monopoli rantai makanan. Pengetahuan kita tentang makanan mungkin dihadkan oleh informasi sedia ada, selalunya tanpa asal usul makanan itu sendiri, cara ia dibuat dan lebih-lebih lagi variasinya. Syarikat-syarikat besar menghasilkan variasi padi yang sangat menguntungkan, menggunakan teknik pembajaan dan menjanjikan peningkatan produktiviti. Ia berkait rapat dengan ratifikasi CPTPPA (Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik) yang ditandatangani secara tergesa-gesa, membolehkan peningkatan import produk pertanian, kemudian memusnahkan mata pencarian petani tempatan kita. Ia melarang petani tempatan berkongsi benih dan terpaksa bergantung kepada perolehan daripada konglomerat agro besar. Jenis padi tempatan yang diusahakan dari Sik, Kedah hingga Tambatuon, Sabah telah dikumpul dan diarkibkan sebagai solidariti kedaulatan dan keselamatan makanan kita”.

22 Seedlings “…Menunjukkan ladang-ladang yang hilang setelah ‘dihancurkan’ oleh getah. Dalam sebuah temu bual dengan botanis H.N. Ridley, How Rubber Started in Malaya, beliau menekankan ledakan tanaman getah dan seperti kebiasaannya, cara British menyumbang kepada kesejahteraan dunia secara besar-besaran. Di belakang tabir, buruh dan tenaga kerja yang agresif secara senyap-senyap telah menukar struktur perladangan. Berikutan Depresi Ekonomi pada tahun 1930, peningkatan yang ketara dalam bekalan buruh membawa kepada eksploitasi oleh majikan ladang. Ladang-ladang getah di Malaya adalah sumber kekayaan yang besar dan produk yang strategik semasa perang bagi syarikat British dan pihak berkepentingan. Walau bagaimanapun, permasalahan seperti gaji yang rendah dan tidak tetap mencetuskan mogok pekerja. Undang-undang buruh telah digubal, namun pemilik ladang pula yang diutamakan. Lakaran botani yang diiringi arkib foto kuli dan pekerja di ladang yang berbeza, seakan-akan piring petri yang disusun dengan ayat daripada teks Ridley. Foto-foto ini sengaja dicetak sebagai setem olok-olok sebagai cara memahami penghijrahan benih dan manusia dalam landskap sosial yang sentiasa berubah. Tanaman seperti kopi, buah pala, tebu, lada dan ubi kayu dilucutkan kepada biji dan pucuknya sebagai bayangan pengganti ladang-ladang yang sebelumnya”.

Antara topik yang dibualkan oleh pengunjung

“Perubahan landskap yang tidak dapat dielakkan, kebimbangan terhadap iklim (climate anxiety) dan bagaimana semuanya berpunca dari trauma pascakolonial dan penyembuhan dalam struktur ekonomi, budaya dan masyarakat kita sendiri.”

Pelan masa hadapan

“Semestinya saya berhasrat untuk mengembangkan lagi pameran ini. Pendapat saya, masih banyak yang perlu ditangani dan saya mengharapkan lebih banyak peluang untuk menerokainya pada skala yang lebih besar.”

Ikuti Syarifah Nadhirah di Instagram atau lawati laman webnya untuk mengetahui karya-karya yang akan datang dah terdahulu.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites