Leny Maknoh, daripada guru sains kepada pelukis sepenuh masa

Berbekalkan minat yang tinggi, tiada apa yang dapat menjadi penghalang antara kita dan cita-cita.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Bermula dengan berkhidmat sebagai seorang guru kemudian menjadi penggiat seni sepenuh masa, Leny Maknoh nekad mempertaruhkan masa depannya 11 tahun lalu demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang pelukis.

Selepas tamat pengajian di peringkat sekolah menengah, Leny mengikut kata keluarga untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan.  Namun hatinya sentiasa tertanya-tanya adakah dia membuat keputusan yang tepat? Genap lapan tahun dalam bidang perguruan, Leny nekad untuk bertukar profesion daripada seorang guru sains kepada pelukis sepenuh masa.

Lebih mengagumkan lagi, menurut Leny lukisan pertamanya yang sempurna hanya dilukis setelah dia berhenti kerja sebagai seorang guru. Pada mulanya Leny juga seakan tidak percaya dengan keputusannya untuk berhenti dek kerana kestabilan kewangan yang ditawarkan dengan kerjayanya sebagai seorang guru. Namun dia nekad membuat keputusan, walaupun tiada ilmu yang secukupnya dalam dunia seni diawal kerjayanya.

Anak seni berdarah orang asli ini mula memuat naik lukisannya di media sosial. Dari situ bermulalah perjalanan hidupnya sebagai anak seni. Ikuti temuabual BASKL bersama Leny di klip berikut untuk anda mendapat inspirasi bagaimana dia mengubah hidupnya daripada seorang guru sehingga menjadi penggiat seni.

Temu bual bersama Leny

Mengenali asal usulnya sebagai seorang anak jati Orang Asli dari suku kaum Temuan yang menetap di Kampung Guntur, Negri Sembilan, Leny kini memperluaskan lagi bakat seninya dengan penghasilan barang perhiasan menggunakan buah jelai.

“Yang buat barang perhiasan ini kebanyakkannya memang orang asli yang buat, dan kebanyakkannya dari Orang Asli suku kaum Temia yang menggunakan biji jelai ni“ jelasnya kepada kami.

“Macam kita Orang Temuan pula, ada juga guna tapi tak guna selalu lah, lagi-lagi kita sekarang dah ada banyak barang perhiasan yang dekat luar kan, jadi orang pun dah macam anggap manik ni untuk mainan budak-budak je.”

“Jadi bila saya nampak biji manik ni, dekat kampung banyak tumbuh meliar dekat tepi kolam rumah mak cik, jadi bila saya lalu saya nampak banyak sangat jadi saya terfikir, ruginya kalau kita tak gunakan benda ni untuk kongsikan dengan orang untuk jadikan sesuatu yang berguna,” tambahnya lagi.

Menurut Leny, selain daripada bahan yang tumbuh meliar di kawasan kampungnya, Leny juga merasakan bahawa terdapat banyak permintaan untuk barang perhiasan yang berasal dari tradisi nenek moyangnya ini. Sewaktu menyertai pertandingan pakaian tradisional yang dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Orang Asli, Negeri Perak, pada bulan Februari, rata-rata memberikan komen yang positif terhadap barang perhiasannya seperti cincin, rantai dan gelang kaki.

Leny kini memperluaskan lagi bakat seninya dengan penghasilan barang perhiasan menggunakan buah jelai.

Menurutnya mungkin terdapat ramai yang membuat barang perhiasan ini, namun tidak semua mengetahui cara untuk memasarkannya dan tidak mempunyai kemahiran untuk membuat barang perhiasan ini dengan kemas. Menurutnya juga, bagi menarik golongan muda untuk menyukai barangan tradisi seperti ini, dia perlu memodenkan sedikit reka bentuknya agar sesuai untuk dipakai semua.

Sedikit info mengenai buah jelai, kalau anda semua nak tahu, buah jelai ini sebelum masak ia bewarna hijau, dan apabila cukup matang buahnya, ia akan bertukar menjadi warna kelabu. Pasti ramai anak muda yang tidak tahu akan wujudnya buah yang boleh dijadikan manik ini.

Pembuatan barang perhiasan ini tidaklah rumit, namun perlu diberikan perhatian dan penelitian terhadap proses pembuatannya agar dapat menghasilkan produk yang kemas. Hal ini kerana, buah jelai datang dengan pelbagai bentuk dan saiz. Ditengah buah ini terdapat dahan yang menghasilkan lubang untuk dijadikan manik. Menurut Leny, masanya banyak dihabiskan untuk membuat persiapan bahan, seperti membersihkan dahan di tengah-tengah biji jelai ini. (Lihat cara membuat gelang tangan di sini).

Ciri-ciri buah jelai ini sebenarnya tahan lasak, kerana itu ia sesuai untuk dijadikan sebagai bahan perhiasan kerasa teksturnya yang keras dan boleh tahan lama.

Antara tips mudah yang Leny kongsikan kepada kami, untuk melancarkan lagi proses pembuatan barang perhiasan ini, pemilihan saiz dan bentuk buah jelai yang sama adalah penting agar hasil produknya kelihatan lebih kemas dan cantik.

Sebagai perancangan untuk masa hadapan, Leny berharap agar dia dapat menarik lebih ramai orang, terutamanya di kawasan kampungnya untuk turut sama dalam mengetengahkan tradisi dari nenek moyang mereka ini agar tradisi ini tidak lapuk ditelan zaman. Beliau berharap agar generasi muda dapat memiliki barang perhiasan seperti ini dan dapat membina sebuah empayer penghasilan barang perhiasan menggunakan bahan-bahan natural seperti buah jelai ini bersama Orang Asli di kawasannya.

Lazimnya untuk membuat gelang tangan memerlukan masa selama 15 minit ke 30 minit bergantung kepada tahap kesukaran untuk membuatnya. Manakala perhiasan yang memerlukan manik yang banyak seperti rantai, akan mengambil masa lebih kurang satu jam atau lebih, juga bergantung kepada tahap kesukaran reka bentuknya. Semua ini dapat dipercepatkan jika mempunyai tenaga pekerja yang ramai, kerana banyak masa dihabiskan untuk membersihkan buah jelai.

“Buat masa sekarang saya masih buat benda ni sendiri lagi, tapi  ada plan untuk ajak orang kampung untuk tolong buat sekali, sebab yang saya perlukan bantuan sekarang ni, untuk buang  dia punya dahan dalam ni sebab ini agak memakan masa. Dalam menghasilkan gelang atau sesuatu barang tu tak berapa sukar, cuma untuk menyediakan bahan ni lah, bagi dia bersih, buang dahan bukan macam manik biasa, so dia ada proses tambahan,” terang Leny.

Leny bersyukur kerana mendengar kata hatinya untuk terjun dalam bidang seni kerana baginya dia bahagia dengan pilihan kerjayanya ini.

Bagi sesiapa yang berminat, barang perhiasan Leny bermula daripada RM6 sehingga RM50 bergantung pada reka bentuknya. Manakala untuk lukisan pula bermula daripada RM500 sehingga RM3000 bergantung pada saiz dan warna.

Walau apa bidang sekali pun yang anda ingin ceburi, bagi Leny tiada apa yang dapat menjadi penghalang antara anda untuk mencapai cita-cita, kita hanya perlu berusaha dan perlu mempunyai minat yang tinggi sebagai pendorong untuk diri sendiri.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai lukisan dan barang perhiasan Leny Maknoh anda boleh hubungi terus di media sosialnya (instagram: @lenyhandmadejewellery atau @lenypencildrawing) atau laman Facebook. Anda juga boleh terus hubungi Leny di talian 019 208 3414.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites