Adiguru CENDANA: Ruhani Mohd Zin

Mesra dengan panggilan Mami, beliau mula berkecimpung dalam seni persembahan Mak Yong seawal usia 15 tahun lagi. Kata Mami banyak perbezaan antara cara pembelajaran dahulu dan sekarang, ikuti siri Adiguru CENDANA bersama BASKL.

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

“Saya bernama Ruhani Mohd Zin, dah 68 tahun (usianya pada tahun lalu, 2022) dan saya tenaga pengajar Mak Yong,” pengenalan diberi, pembuka bicara oleh Adiguru CENDANA yang aktif menurunkan ilmu beliau dalam persembahan Mak Yong.

Ruhani atau mesra disapa Mami mula memupuk minat dalam Mak Yong sewaktu di usia remaja. Kumpulan Seri Temenggong, bukan sahaja kumpulan pertama yang mengajar beliau tentang persembahan ini, namun uniknya ia merupakan kumpulan yang mana ahli mereka rata-ratanya terdiri daripada keluarga beliau. Di usia 15 tahun, minat beliau terhadap seni ini mekar dalam jiwanya untuk terus bermain Mak Yong sehingga ke hari ini.

Walaupun sudah berada dalam dunia seni persembahan Mak Yong sejak 1970-an lagi, namun Kumpulan Seri Temenggong masih kekal aktif dalam memperkasa serta memartabatkan seni Mak Yong dalam akedemik mahupun persembahan.

Sedikit pengenalan pengenai Mak Yong, pada asalnya ia merupakan sebuah teater rakyat yang melibatkan ritual bagi pendamaian serta penyembuhan. Seni persembahan ini merupakan antara yang tertua di negeri Kelantan dan diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan (UNESCO) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Kebiasaannya, Mak Yong dimainkan oleh wanita, kecuali watak pelawak, namun kini watak Mak Yong juga digelar Pok Yong kerana banyak dimainkan oleh kaum adam. Ia dimulakan dengan memberi penghormatan kepada roh-roh yang telah pergi dan diikuti dengan nyanyian, lakonan, komedi, dialog serta improvasi. Antara alat muzik yang mengiring persembahan ini ialah rebab, serunai, gendang kesi dan canang.

Mami kusyuk bercerita.

Apabila bercakap tentang seni, rata-rata dari kita sering memberi jawapan ‘kita perlu mendidik seni dari peringkat sekolah atau kanak-kanak’. Tetapi berapa ramai daripada kita yang turun meluangkan masa dan menjadi tenaga pengajar, mendidik anak-anak kecil untuk cintakan seni?

Perkongsian Mami dalam persembahan Mak Yong boleh dikatakan hampir sama dengan seni persembahan tradisi yang lain. Walaupun menarik, namun tidak ramai anak muda yang mendalami seni persembahan kerana kurangnya pendedahan dan pendekatan terhadap seni tersebut.

Namun dalam program Adiguru CENDANA berbeza pula pendapat Mami. “Ilmu saya telah beri pada kanak-kanak dari usia 9 tahun hingga umur 20 tahun. Sekurang-kurangnya mereka dapat ilmu dan tahu serta kenal apa itu Mak Yong,” kata Mami yang juga merupakan bekas tenaga pengajar di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara, Kelantan (2011-2017).

Cara seni ini dipersembahkan berbeza menurut Mami, lenggok percakapannya, tarian dan nyanyian semua berbeza. Disebabkan itulah ilmu ini perlu diturunkan kepada anak muda agar mereka tahu.

Menurut Mami, banyak perbezaan antara pembelajaran dahulu dan Sekarang. “Kalau nak kira daripada betul-betul tradisi, mengadap rebab ke apa, dia banyak lagu, tapi sekarang ni kita permudahkan benda ni, jadi sekarang orang-orang muda akan faham Mak Yong.”

“Jadi Mami kurangkan sedikit, contoh dari 3 (lagu) Mami buat satu sahaja, dua sahaja ke. Begitulah seterusnya, tarian ke apa, kalau betul-betul tarian yang original memang tiga hari, tiga malam memang tak habis, dia tu mengadap rebab sehingga panggil Awang tu, dekat-dekat 45 minit pun tak habis lagi cerita,” kongsi beliau.

Bagi Mami, dengan memadatkan kandungan kisah Mak Yong dalam persembahan, ini dapat menarik lebih perhatian untuk penonton dan juga pemain. Berbeza dengan zaman dahulu, di mana penduduk sekeliling kurang aktiviti untuk dilakukan, jadi masa bukan masalah utama. Antara lain yang menjadi penghalang, pemain terdahulu sudah terbiasa dengan cara Mak Yong asal dimainkan.

“Mak Yong dulu tak boleh nak pendekkan, dia macam tak reti, nak suruh pendekkan Mak Yong tu nak buat cerita dalam satu jam setengah, di tak boleh buat. Dia akan cakap ‘tak boleh lahh’ sebab dia tak tahu, dia kena betul-betul original, ni baru dia boleh buat,” kongsi Mami.

Beliau juga merasakan bahawa anak muda sekarang cukup beruntung, “Mami belajar dulu, Mami ikut kumpulan dia lah, kita belajar, tengok macam mana dia main, semua kita belajar, macam mana dia cakap, tidak kata terus pandai. Nak boleh pegang watak tu ambil masa lama.”

Bagi Beliau dengan adanya institusi pengajian seperti ASWARA, ilmu dalam bidang seni lebih mudah untuk dituntut. Namun apa persamaan yang ada ialah kesungguhan dalam menuntut ilmu itu penting jika hendak mempelajari bidang ini. “Kalau zaman dulu, kiranya dia mudahlah nak ajar kita, dengan syarat kita kena bersungguh, bersungguh nakkan ilmu tu, kalau kita main-main memang dia tak ajar.

Suasana pembelajaran Mak Yong dalam kelas Mami.

Walaubagaimanapun Mami akur, ada sesetengah bahagian dalam Mak Yong yang sedikit sulit dan perlukan lebih masa untuk mempelajarinya. “Macam kita nak menyanyi macam mana, kalau salah mesti kena marah, cara kita menyanyi macam mana Skil yang perlu kita kena ada, lenggok dia tu lah jangan bagi kita sumbang.”

“Mami belajar nyanyian dulu, baru lah mommy start buat Pak Yong, jadi step-by-step, kalau kita ambil semua selalu, kita tak sempat nak memikir,” tambah Mami sambil bercerita dalam dialek Kelantan.

Apa yang cuba disampaikan oleh Mami ialah petua mudah untuk menjadi mahir dalam bidang ini:

  1. Menghadap guru.
  2. Dengan semua lagu dan muzik dalam Mak Yong.
  3. Belajar untuk menyanyi.
  4. Yang terakhir adalah tarian dan persembahan

Petua mudah ini adalah penting agar kita tidak berasa terbeban dan dapat mempelajari Mak Yong secara sepenuhnya. Namun menurut Mami ia memang memerlukan masa dan minat yang tinggi.

Tambah Mami, “Tapi banyak orang sekarang tak boleh nyanyi dah, sebabnya orang sekarang muzik tu tidak boleh nak gesek, macam rebab tu, tak berapa pandai macam orang lama sebab mereka tak sempat nak belajar sebab tu lagu kabanyakkan sama. Dulu banyak lagu berpuluh- puluh lagu, lagu Rima Soyok lah, kita pun jarang dengar zaman dulu”.

Walaupun banyak lagu yang tidak dapat menjadi halwa telinga penonton pada masa kini, namun menurut Mami jalan penceritaan bagi persembahan ini tetap sama.

Selain itu ingatan pemain juga perlu kuat untuk mengingati jalan cerita Mak Yong kerana durasi permainannya yang lama. “Kena kuat mental untuk ingat satu-satu cerita; satu cerita, satu negeri, tempat dimana kita nak tunjuk sampai habis, nama tuan puteri, raja tu duduk negeri mana. Kita kena kuat mental kita,” kata Mami.

Watak lain seperti Inang juga memainkan peranan. Menurut Mami untuk memahirkan watak Inang, pembelajaran atau latihannya memerlukan watak ini berdamping dengan Pak Yong/ Mak Yong. Bagi watak Peran pula, dia bukanlah pelawak semata-mata, tugas Peran adalah jauh lebih besar daripada itu. Wataknya ini memerlukan ingatan yang kuat untuk mengingati jalan cerita, kerana selain pelawak tugasnya adalah untuk membantu karakter lain seperti Pok Yong atau raja untuk mengingati rangkap mereka. Perkataan lain yang digunakan Mami adalah “pengasuh” raja.

 Seusai ditemubual, Mami turut berkongsi rasa bersyukur beliau dalam penglibatan beliau dalam Program Adiguru CENDANA. “Alhamdulillah, pelajar-pelajar tu dia minat, kalau boleh Mami buat lagilah, memang kita akan buat walaupun dah habis tamat tempot, sebab sayang budak-budak dah mula minat, lepas tu kita nak berhenti, sayang sebab susah nak cari budak-budak.”

“Sebaklah rasanya sebab kita tak sangka kita akan dapat, sebab benda ni macam anugerah kira jarang kita dapat, walaupun kita nak suruh budak berlatih ke apa, tapi kita rasa bangga,” kata Mami dengan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan untuk melatih anak muda untuk cintakan seni tradisi kita.

Selain Adiguru CENDANA Ruhani, ikuti kisah Wan Midin Majid, yang juga antara adiguru yang masih kekal memartabatkan seni persembahan Mak Yong.

Ruhaini Mohd Zin merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni Persembahan Mak Yong. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah Adiguru lain yang menarik di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites