Adiguru CENDANA: Karim Ab. Rahman

oleh DANIAL FUAD

Ghazal merupakan sebuah jenis muzik yang telah lama bertapak di Malaysia ini dan sejarahnya boleh ditelusuri sehingga hujung abad ke-19 ketika kerajaan Johor ketika itu menjalinkan hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Berasal daripada Tanah Arab, dahulunya muzik ini sering dimainkan kepada golongan bangsawan Johor yang pergi ke Riau atas pelbagai urusan.

Dato’ Bentara Luar Johor pada ketika itu, Dato’ Mohd. Salleh bin Perang yang cukup meminati muzik telah ditugaskan untuk membuka Batu Pahat pada tahun 1893. Telah dikatakan pada ketika itulah juga Dato’ Mohd. Salleh bin Perang ini turut memperkenalkan muzik ghazal kepada rakyat Johor.

Ghazal Melayu Johor ini telah diperkukuhkan kedudukkannya dalam Alam Melayu apabila cucu kepada Dato’ Mohd Salleh, Haji Musa bin Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Lomak telah mempopularkan muzik ini di antara tahun 1920an hingga 1940an. Beliau juga merupakan pengarang bagi Panduan Muzik Ghazal yang masih digunakan sehingga kini. Selepas Pak Lomak terdapat ramai pemuzik ghazal yang terkenal muncul seperti Ahmad Jusuh, Mokhtar Zam Zam, Kassim Taib dan S. Baharom.

Mohd Karim Abdul Rahman, atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Karim merupakan antara pemuzik yang masih lagi mempraktikan seni ghazal sehingga kini. “Ghazal ini memang asal daripada Johor seperti Melaka mempunyai dondang sayang dan di sini ia dipanggil ghazal asli berbeza dengan ghazal pati,” ujar Pak Karim. Terdapat dua jenis ghazal yang terdapat di Malaysia, di mana Ghazal Melayu Johor yang mempunyai pengaruh Hindustan manakala Ghazal Pati Kedah yang lebih cenderung kepada Arab. Menurutnya terdapat ramai komposer ghazal terkenal daripada Timur Tengah dan juga India, antaranya ialah Amer Khusrou, Nusrat Fateh Ali Khan, Mehdi Hassan, Jagjit Singh dan Ghulam Ali.

“Kalau mengikut tradisinya, alat muzik ghazal terdiri daripada peti harmonium, tabla, violin dan gambus di samping marakas dan tamborin sebagai alat pengiring,” ujar Pak Karim tentang alat muzik yang dimainkan dalam seni ghazal. Pak Karim menambah lagi “tapi sekarang ini terdapat juga campuran alat muzik moden seperti bass gitar dan juga gitar eletrik di mana tiada salahnya namun keaslian ghazal haruslah diterapkan”.

Pak Karim telah menerima dedahan dalam muzik ghazal ini seawal usia beliau 12 tahun lagi, di mana beliau mengimbau kembali, “Masa kecil-kecil lagi saya dah berminat untuk berkecimpung dalam  ghazal ini, di mana saya mengikut arwah bapa dan juga pak cik saya, di mana bapa saya memang seorang yang berdarah seni, di mana dia boleh bermain violin dan peti harmonium di samping boleh menyanyi.” Di situlah bermulanya perjalanan ghazal Pak Karim di mana beliau telah berhijrah daripada Parit Patah ke Felda Bukit Batu sebelum ke Johor Bahru pula selepas itu.

“Pada ketika itu, saya mengikut kumpulan Ghazal Setia Jaya dan di situlah bermulanya kerjaya saya dalam bermain ghazal yang pada ketika itu saya mengikuti bapa angkat saya pada umur 12 tahun untuk mencari ilmu. Dulu bayaran tak macam sekarang, satu persembahan mungkin saya dibayar dalam RM5 sahaja,” ujar Pak Karim tentang pengalaman beliau. Ketika itulah beliau menimba pelbagai ilmu ghazal seperti bermain peti harmonium dan juga menyanyi.

Setelah berhijrah ke Johor Bahru, Pak Karim telah menyertai Kumpulan Ghazal Seri Melati, di mana beliau merupakan ahli yang terawal menyertai pada tahun 1969 di bawah pimpinan Md Noah dan A Wahid Aziz. “Orang dulu semuanya by heart (ikut hati) bila bermain jadi saya disuruh untuk ikut cara Pak Noah bermain dan begitulah saya belajar. Mula-mula susah juga nak tangkap tapi lama-kelamaan sudah menjadi kebiasaan apabila kita tahu mana tempatnya yang perlu ditekan,” ujar Pak Karim tentang pengalaman pembelajaran beliau bersama Seri Melati. “Kalau orang dulu mana ada nota muzik macam orang zaman sekarang,” tambahnya lagi.

Selain daripada itu, Pak Karim juga pernah menjadi Ketua Bahagian Muzik Ghazal di Taman Seni Budaya Johor. Melalui badan tersebut, beliau telah membawa muzik ghazal untuk mengiring penari-penari tradisional ke persada antarabangsa. Semenjak tahun 1980-an lagi, beliau telah membuat persembahan ke serata dunia termasuk negara-negara seperti Turki, Belanda, Switzerland, India, Dubai dan Paris. “Orang Paris ini pada tahun 80-an dulu tak tahu Malaysia di mana, tapi Kuala Lumpur atau Penang mereka tahu. Jadi ketika ke Paris itu kami membawa peta untuk menunjukkan lokasi Malaysia kepada mereka,” kongsi Pak Karim tentang pengalaman beliau ke luar negara.

Untuk tidak tenggelam di arus modenisasi ini, Pak Karim sering menambah nafas baharu kepada muzik ghazalnya. Beliau juga menyatakan, “Jika kita membuat persembahan sekarang, selain daripada bermain muzik ghazal asli, kita juga memainkan lagu terkini seperti slow rock atau pun dangdut,” di mana Kumpulan Ghazal Seri Melati masih lagi wujud dan kini diusahakan oleh beliau dan juga isterinya. “Orang muda ni sukar sedikit untuk menghayati lagu ghazal jadi kita main lagu yang kena dengan jiwa mereka,” tambah Pak Karim lagi. Beliau bersama Kumpulan Ghazal Seri Melati juga merupakan kumpulan ghazal yang pertama telah merakam album ghazal dengan irama dangdut pada tahun 1980-an.

Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan Pak Karim sepanjang kerjayanya bermain ghazal adalah semasa Seri Melati telah dipanggil untuk membuat persembahan di Mersing, “Semasa kami dijemput untuk membuat persembahan di Pulau Pemanggil, saya amat terkesima dengan sambutan yang diberikan kepada kami semasa tiba. Kami dilayan ibarat sultan, cukup lengkap dengan payung semuanya dan sambutan yang kami terima semasa persembahan sangatlah meriah walaupun kami bermain daripada habis Isyak sehinggalah Subuh,” kongsi beliau.

Kini Pak Karim yang sudah mencecah usia 73 tahun masih lagi aktif dalam bermain ghazal di mana rakaman beliau boleh ditonton di laman Facebook Seri Melati Ghazal Johor Bahru. “Kini darah seni yang mengalir daripada ayah saya telah disambung oleh anak dan juga cucu saya,” ujarnya yang ingin cucu cicitnnya mewarisi kemahiran beliau. “Saya juga pernah mengajar di Sekolah Seni Johor tetapi disebabkan kurangnya peruntukan, ia sudah tidak disambung lagi,” tambahnya.

Pak Karim merupakan penerima Dana Adiguru oleh Cultural Economy Development Agency di mana beliau memulakan kelas berkenaan ghazal menggunakan dana tersebut. “Ramai pengamal muzik ghazal ini sudah tiada dan ilmunya tidak disambung. Mudah-mudahan saya dipanjangkan umur dan boleh turunkan ilmu saya ini kepada khalayak ramai,” ujar Pak Karim. Kini terdapat juga Yayasan Warisan Johor yang memberi tumpuan untuk mengangkat seni-seni Johor termasuk ghazal dengan menghasilkan program-program berkaitan.

Mohd Karim Abdul Rahman merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni ghazal. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik lain di BASKL dengan melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites