Rojer Kajol terus perjuangkan irama tradisional melayu asli

Oleh DANNY ADAM

”Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan perjuangkan lagu-lagu tradisional ini,” ujar Mohd Rozaidy Shukry, 34, atau lebih dikenali dengan panggilan Rojer Kajol yang tidak asing lagi dalam industri tanah air mendendangkan lagu-lagu berentak irama asli tradisional.

Menceritakan kepada BASKL baru-baru ini, Rojer Kajol mula meminati muzik tradisional ini sejak berusia 7 tahun lagi. Mengenali irama dan rentak lagu ini daripada arwah nenek dan datuknya sejak kecil lagi, tidak hairanlah Rojer Kajol berjaya menempa nama dalam nyanyian lagu-lagu asli dan tradisional sehingga ke peringkat antarabangsa.

”Latar belakang keluarga saya boleh dikatakan memang penggemar lagu-lagu tradisional. Arwah nenek saya iaitu Siti Mariam Saad merupakan penyanyi latar filem melayu klasik dan beliau juga sangat mendorong saya untuk belajar seni muzik Ghazal Melayu Johor dengan keluarga angkat saya iaitu S.A Aishah (kumpulan Ros Tebrau Ghazal) yang merupakan anak didik kepada pelopor Ghazal Melayu Johor iaitu Pak Lomak. Jadi semenjak kecil lagi memang saya sudah lahir dalam suasana muzik asli tradisional melayu.”

”Saya mula aktif dengan muzik irama ghazal ketika berusia 13 tahun bersama kumpulan Daya Tebrau Ghazal Remaja, Johor Bahru. Ketika itu saya mengadakan persembahan di kenduri kahwin dan rezeki saya tidak putus-putus selepas itu untuk mengadakan persembahan sebegini dengan jemputan daripada orang-orang kenamaan, majlis formal dan tidak formal. Dalam masa yang sama juga, saya sering diundang oleh kumpulan Seri Melati Ghazal, Johor Bahru pimpinan M.Karim untuk membuat persembahan seni budaya bersama Taman Seni Budaya Johor ke luar negara seperti India, Dubai, Singapura dan Indonesia,” katanya lagi.

Berbekalkan pengalaman itu, selepas sahaja tamat persekolahan di tingkatan 5 Rojer Kajol mencari peluang dan bekerja pula di Kuala Lumpur. Pada awalnya bekerja di Kuala Lumpur adalah untuk mencari pengalaman tetapi kerana terlalu cintakan dalam bidang muzik irama tradisional ini beliau menyertai badan kesenian dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

”Bagaimanapun, ketika saya berada di Kuala Lumpur, seorang demi seorang ahli kumpulan ghazal saya yang berada di Johor mula berhijrah ke Kuala Lumpur juga untuk bekerja. Pada suatu hari, saya terfikir alang-alang semua ahli kumpulan saya ini sudah berada di Kuala Lumpur, apa kata saya melebarkan sayap di Kuala Lumpur dengan membawa irama asli tradisional ini.”

”Apabila berbincang, kami bersetuju dan kami namakan kumpulan ‘Orkes Melayu Rojer’ yang mana kami akan ketengahkan muzik ghazal melayu johor, lagu zapin, inang, masri, samrah dan langgam. Jadi dari situ kumpulan kami bergerak untuk mencuba nasib di ibu kota. Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan kami tidak sangka menerima banyak undangan membuat persembahan ini bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga seperti Brunei, Singapura dan Indonesia,” ujarnya lagi.

Ditanya mengapa beliau tidak menyanyikan lagu-lagu genre berentak lain, Rojer Kajol berkata ”Sayang saya pada muzik ini sudah sebati ia tidak boleh dipisahkan. Saya tidak mahu apabila saya membawa lagu berentak genre lain tiada orang lain yang boleh meneruskan perjuangan lagu asli irama tradisional. Memang keturunan saya, baik keluarga sebelah isteri saya (Kumpulan Seri Melati Ghazal, Johor Bahru) mempunyai latar belakang muzik irama tradisional ini. Jadi tidak seharusnya saya perlu menukar genre lain semata-mata untuk mengikut minat masyarakat ketika ini,” katanya.

Namun, Rojer Kajol tidak menafikan muzik irama tradisional asli ini tidaklah mendapat sambutan seperti genre muzik-muzik yang lain tetapi baginya beliau perlu bijak mencari peluang dan minat masyarakat. Oleh itu, beliau cuba menggabungkan rentak irama tradisional dengan genra-genre muzik yang lain supaya masyarakat masih boleh mendengar dan menghayati muzik irama tradisional ini.

”Saya tidak akan ubah genre irama tradisional, walaupun saya ada gabungkan muzik lain dalam lagu saya tetapi saya tetap kekalkan irama asli. Saya perlu berbuat demikian dan perlu bijak serta kreatif dalam memastikan persembahan saya ini boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat. Sukar untuk lakukannya tetapi itu yang perlu kami lalui supaya muzik asli irama tradisional ini tidak diabaikan dan pupus dengan begitu sahaja,” jelasnya.

Tersentak dengan kecanggihan muzik dan teknologi masa kini, beliau tidak boleh kalah dengan arus kemodenan ini dan perlu mengikuti keadaan semasa. Lantaran itu, beliau menggunakan platform media sosial seperti Youtube, Facebook, Instagram, Twitter, Tik Tok dan Blog sebagai acuan baru untuk beliau terus memperjuangkan muzik asli irama tradisonal ini. Baginya, langkah ini perlu diambil supaya beliau dapat terus mempromosikan dan menyampaikan segala maklumat dan ilmu yang dimilikinya untuk dikongsi bersama masyarakat.

”Saya jadikan platform media sosial seperti Youtube, Facebook,  Instagram, Tik Tok, Spotify dan Twitter sebagai salah satu cara untuk saya tonjolkan bakat dan muzik yang saya bawa ini kepada masyarakat. Kalau saya tidak buat begini mereka tidak tahu, mereka mungkin tidak kenal. Jadi ini sahaja cara terbaik yang boleh saya lakukan. Apabila mereka melihatnya secara tidak langsung mereka juga akan tahu serba sedikit mengenai muzik yang kami dendangkan.”

”Selain itu, kami juga menubuhkan Persatuan Ghazal Johor Malaysia (GHAJMAS) pada tahun 2015 tetapi ia bukan untuk orang negeri Johor sahaja, semua lapisan masyarakat boleh sertainya kerana dalam persatuan ini kami akan melakukan pelbagai aktiviti untuk terus memartabatkan muzik tradisonal ini. Antara aktiviti-aktiviti yang kami lakukan adalah seperti pertandingan nyanyian lagu ghazal, bengkel dan kursus lagu-lagu irama tradisional serta banyak lagi.” katanya.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti nyanyian atau maklumat mengenai Rojer Kajol, boleh layari laman media sosial; Youtube Facebook Instagram Twitter TikTok Raja Kajol dan melalui laman blog Persatuan Ghazal Johor Malaysia

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites