Makan malam penuh tradisi di Dondang Sayang Soirée

Penang Exchange 2022 diakhiri dengan makan malam Dondang Sayang Soirée di Pinang Peranakan Mansion

oleh DANIAL FUAD

Setelah tiga hari berkampung di Think City untuk acara Penang Exchange 2022, Malaysian Craft Council (MCC) menutup acara mereka dengan makan malam gala yang penuh gilang gemilang pada malam terakhir di sana. Diadakan di Pinang Peranakan Mansion, majlis makan malam yang bertemakan Dondang Sayang Soirée telah diadakan pada Ahad lepas, 2 Oktober.

Disertai oleh ramai orang berkepentingan dalam seni kraf antaranya seperti Pengarah Tourism Malaysia (Wilayah Utara), Shahrul Amal Sabil Ahmad dan Pengarah Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia, Puan Ramnah Ramli. Majlis turut dihadiri oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda mereka, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana.

Para tetamu disambut meriah ketika melangkah kaki ke Pinang Peranakan Mansion ini apabila disajikan dengan persembahan oleh pemain muzik tradisional sohor, Che Mat Jusoh. Halwa telinga yang sangat bersesuaian dengan tema pakaian tradisional seakan mengimbau kembali kenangan zaman lampau di kala tetamu menunggu majlis bermula. Selain dari persembahan muzik, majlis ini telah dibuka dengan persembahan tarian sapu tangan, sebuah persembahan tarian Baba dan Nyonya yang telah diterajui oleh Lilian Tong, keturunan kelima kaum tersebut. Persembahan tarian mereka memukau para penonton dek kerana lenggok dan gerakkan mereka walaupun melalukan persembahan memakai kasut tumit tinggi.

Bukan sahaja itu, malah persembahan nyanyian oleh Arja Lee dan Farhan Azizan juga turut menjadi tumpuan di mana mereka juga telah mempersembahkan sebuah muzikal yang jitu pada hari pembukaan Penang Exchange 2022 Jumaat lalu. Lagu-lagu masyhur lampau seperti Cindai, Seiring dan Sejalan dan Dia antaranya telah dipersembahkan kepada penonton berselang-selang antara hidangan makanan.

Turut memeriahkan majlis merupakan pelawak terkenal Dee sebagai hos kepada makan malam tersebut. Selain daripada itu, terdapat juga pertunjukkan fesyen baju hasil rekaan Sharifah Khatreena Nuraniah, Koleksi Khatreena yang telah diperagakan dalam Kuala Lumpur Fashion Week 2022 baru-baru ini.

Semestinya fokus MCC terhadap pengusaha kraf tidak dilupakan dan terdapat penyampaian anugerah MCC Creative Award di mana Presiden MCC, Nik Faiz menyatakan “Anugerah ini kami berikan sebagai tanda apresiasi dan galakan kepada para artisan untuk terus melebarkan sayap mereka walaupun menghadapi pelbagai rintangan.”

Penerima anugerah tersebut pada tahun ini merupakan pengusaha kraf songkok, Haja Mohidien Mohd Sharif, pembuat kasut manik, Tong Poh Keng @ Mdm Lilian Tong, Anuar Sha’ari yang menghasilkan replika feri, Dr. Shamsu Mohamad ahli seramik yang memumpukan kepada pasu hiasan dan bekas lilin, pembuat kebaya nyonya Khairiyah Ghazali, pengukir papan tanda tradisional Lee Tiek Chye dan Che Mat Jusoh yang merupakan pembuat dan pemain alat muzik tradisional.

Malam tersebut telah diakhiri dengan acara tarian dondang sayang yang telah disertai oleh para pengunjung. Sekali lagi permandangan ini telah mengamit kembali memori lampau ketika acara-acara seperti ini merupakan hiburan rakyat di masa lampau.

Dondang Sayang Soirée dan secara keseluruhan, acara Penang Exchange 2022 ini telah berjaya dalam memperkenalkan budaya-budaya yang kian dilupakan masyarakat dan usaha sebegini haruslah dipuji. MCC merupakan sebuah badan bukan keuntungan di mana Nik telah menyatakan “Semua yang kami lakukan ini adalah secara sukarela, didorong oleh kepercayaan murni, cinta dan semangat, dengan keinginan yang kuat untuk melihat para artisan dan seni kraf Malaysia dapat melangkah ke peringkat yang lebih jauh di persada antarabangsa.”

anda juga boleh membaca kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites