teamLab: Resonating Microcosms memaparkan ovoid bercahaya yang berinteraksi dengan orang ramai

Bertempat di LaLaPort Bukit Bintang City Centre, instalasi ‘Resonating Microcosms’ oleh kolektif seni antarabangsa teamLab mempamerkan karya mereka buat pertama kali di Malaysia.

Oleh NABILA AZLAN

Resonating Microcosms (Mikrokosmos yang Bergema) merupakan instalasi luar pertama teamLab di Malaysia yang berlangsung giat sejak pelancarannya pada bulan Ogos tahun ini. Instalasi yang berlangsung selama tiga bulan ini adalah gabungan dua komponen, iaitu susunan cermat arca-arca berbentuk bujur telur atau ovoid (Resonating Microcosms – Liquified Light Color, Sunrise and Sunset) dan pokok-pokok yang bercahaya (Resonating Trees, atau Pokok-Pokok yang Bergema).

teamLab yang ditubuhkan pada tahun 2001 telah mengadakan pameran berupa arca dan instalasi di pusat-pusat bandar seperti New York, London, Paris, Beijing dan Melbourne. Anda boleh menghayati karya tetap berskala besar (large-scaled permanent collection) kumpulan ini di Shanghai, Macao dan Singapura, malah karya-karya baharu juga akan dapat dilihat di Abu Dhabi, Beijing, Jeddah dan Utrecht!

Apa istimewanya teamLab: Resonating Microcosms?

teamLab, Resonating Microcosms – Liquified Light Color, Sunrise and Sunset © teamLab

Sebagai kolektif seni yang telah mempamerkan karya di serata dunia, teamLab terkenal dengan karya-karya eksperimental yang meneroka hubungan manusia, dunia sekeliling, bentuk-bentuk seni baharu serta persepsi diri. teamLab: Resonating Microcosms adalah pameran terbuka yang ‘dipacakkan’ di taman aras teratas bangunan membeli-belah LaLaPort Bukit Bintang City Centre (BBCC) dari 4 Ogos hingga 30 November.

Berhasrat untuk menunjukkan hubungan interaktif antara pengunjung dengan persekitaran yang sedia ada, ovoid-ovoid yang dihamparkan di atas rumput akan bercahaya mengikut peredaran waktu. Jika persekitaran bertambah gelap, kilauan pelbagai warna setiap ovoid akan semakin jelas. Bukan itu sahaja, setiap kali sesebuah ovoid ditolak ke bawah, ia akan mengeluarkan bunyi-bunyian yang tersendiri. Interaksi dengan beberapa ovoid dalam masa yang sama akan membuatkan taman ini bergema dengan ‘nyanyian’ mereka! Pokok-pokok bersebelahan turut berubah warna mengikut gemaan ovoid.

Sewaktu lawatan kami di awal bulan September, bermacam-macam ragam pengunjung yang dapat kami saksikan – muda-mudi mengelilingi ovoid-ovoid ini untuk bergambar sama, anak-anak kecil mengikut langkah ibu bapa untuk berinteraksi dengan ovoid pilihan, tak kurang juga kumpulan-kumpulan kecil yang asyik melihat pokok berwarna-warni di sana!

Kami sempat berbual dengan pihak teamLab melalui LaLaPort BBCC dalam mengenali lebih lanjut tentang instalasi ini. Naratif yang dibawa disampaikan oleh Takashi Kudo merangkap direktor komunikasi untuk teamLab dan Masato Takeuchi (atau lebih dikenali sebagai Ghani), katalis pameran seni buat kolektif ini.

Proses lazim perangkaan instalasi teamLab:

“Karya-karya kami dibina oleh pakar-pakar melalui proses pemikiran dan pembinaan yang berterusan. Konsep-konsep yang besar akan dibentang di peringkat mula, supaya senang untuk setiap ahli yang terlibat untuk bukan sahaja melaksanakan tugas mereka, tetapi menyalurkan buah fikiran. Kebolehan teknikal dan matlamat kolektif sentiasa berjalan secara beriringan. Semakin lama masa yang dihabiskan, semakin jelas kelihatan bentuk karya yang dibina.”

Cara ovoid-ovoid dan pepohon bercahaya di dalam instalasi ini berinteraksi antara satu sama lain di dalam ruang seni sementara:

“Arca-arca ovoid yang dihamparkan di taman merangkap ruang seni kami ini berubah mengikut hubungannya dengan suasana sekeliling dan kehadiran orang ramai. Di bawah cahaya matahari, ovoid-ovoid akan memancarkan gambaran dunia di sekeliling mereka. Selepas matahari terbenam, mereka akan mengeluarkan cahaya mereka sendiri. Nyawa karya ini ditransformasikan oleh perangai pengunjung ke sana serta perubahan cuaca seperti angin dan hujan. Cahaya yang merentasi ruang Resonating Microcosms akan turut mengakibatkan perubahan warna pada pepohon yang sedia mengelilingi taman, seiring gema bunyi yang dihasilkan oleh ovoid-ovoid. Bilamana cahaya lampu dikeluarkan oleh pepohon, ia menandakan kehadiran orang ramai ke ruang seni.”

Antara bahan asas yang digunakan buat karya ini:

“Kami berkarya menggunakan teknologi digital ‘non-material’ seperti pengumpulan sistem rangkaian, deria, cahaya dan bunyi-bunyian. Ekspresi kreatif sedia ada mengguna pakai media statik dan bahantara fizikal seperti kanvas dan cat, tetapi kedatangan teknologi digital membolehkan ekspresi ini untuk tampil ke hadapan dengan bebas tanpa batas fizikal, juga hadir bersama perincian yang kompleks. Karya-karya dengan ini bebas untuk berinteraksi dengan para pengunjung.”

Masa terbaik untuk menghayati teamLab: Resonating Microcosms:

“Ruang seni ini sebenarnya dipengaruhi oleh kehadiran pengunjung pada satu-satu masa, jadi setiap pengalaman adalah berbeza. Namun, kami harap para pengunjung ‘tersentuh’ dengan karya yang dipamerkan. Bagi kami, hubungan kendiri dengan dunia sekeliling dan persepsi yang diolah melalui penghayatan seni merupakan sesuatu yang penting. Sama ada pengunjung berniat atau tidak untuk ‘berhubung’ dengan karya, kehadiran sesama manusia dalam satu ruang yang sama juga boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang positif.”

teamLab: Resonating Microcosms di LaLaPort Bukit Bintang City Centre terbuka kepada orang ramai sehingga 30 November. Waktu lawatan terbahagi kepada dua, iaitu waktu siang (Daytime), 10pg – 5ptg dan selepas matahari terbenam (Sundown), 7.30mlm – 10mlm. Masuk adalah percuma, namun pengunjung perlu mengumpul kad slot buat kemasukan selepas matahari terbenam. Selanjutnya di laman Instagram LaLaPort BBCC.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites