Adiguru CENDANA: Sara Frederica Santa Maria

Kenali Adiguru CENDANA yang berasal dari perkampungan Portugis di Melaka ini – Sara Frederica Santa Maria dan kumpulan tarinya yang dianggotai oleh kanak-kanak merupakan elemen penting dalam pemanjangan budaya Gente Kristang!

Oleh NABILA AZLAN

Bersemangat dalam bercerita mengenai lagu dan lenggok tarian turun-temurun Portugis-Eurasia Melaka, Sara Frederica Santa Maria berkata, “Saya membesar sebagai seorang warga tari, seawal umur 13 tahun lagi saya sudahpun membiasakan diri dengan tarian.”

Sara, 52, merupakan tenaga pengajar tarian dan muzik tradisional Portugis melalui kumpulannya yang dinamakan Tropa de Santa Maria. Bapa Sara sewaktu hayatnya pernah berusaha mendokumentasikan tradisi, budaya dan bahasa masyarakat Gente Kristang (percampuran keturunan berdarah Eropah dan Asia). Selepas bapanya meninggal dunia, dia terfikir sejenak akan kerja keras bapanya dan tidak sanggup untuk melupuskan semuanya begitu sahaja – lantas bercadang untuk meneruskan legasi itu melalui caranya sendiri.

Ditubuhkan pada tahun 2012, kumpulannya Tropa de Santa Maria mengajar dan menyusun persembahan budaya yang melibatkan anak-anak muda yang berusia seawal tujuh tahun. Ceria dan lincah, tarian Portugis biasanya mengguna pakai alatan muzik seperti gitar, rebana dan akordion. Pakaiannya pula pakaian rakyat Portugal yang beraneka warna; lelaki akan mengenakan jaket bolero hitam, manakala perempuan akan mengenakan skirt bersulam. Lagu dan tarian Portugis dari Gente Kristang yang dikenali ramai termasuk Branyo, Tianika, Maliao dan Farapeira, serta melodi yang sering diputarkan merangkap lambang Portugis-Eurasia Melaka adalah Jingkli Nona.

Buat pengetahuan anda, gaya utama muzik Portugis adalah Branyo dan Mata-Kantiga. Branyo merupakan tarian meriah yang berasal daripada tarian rakyat Portugis iaitu Corrindinho yang sebati dengan wilayah Algarve di Portugal. Ia dipersembahkan di Melaka sejak awal abad ke-16 lagi sebagai sebahagian daripada perayaan Introdu warga itu atau Shrove Sunday, iaitu hari sebelum bulan suci puasa. Branyo pada hari ini masih lagi dipertontonkan sewaktu majlis perkahwinan dan perayaan seperti Festa Senjuan (Pesta Saint John) dan Festa San Pedro (Pesta Saint Peter).

Sara yang dibesarkan di perkampungan Portugis di Melaka itu mengenang kisah awal penerapan budaya Portugis di tanah kelahirannya itu melalui paderi Joaquim Pintado dari Portugal.

“Pada awal kehadiran orang Portugis ke Melaka pada tahun 1511, mereka hanya mengasimilasikan joget Branyo dan Jingkli Nona. Tarian yang selebihnya pula dibawa oleh seorang paderi, iaitu mendiang Father Pintado sekitar 1950-an,” katanya. Seingatnya, paderi yang selesa digelar Papa Joe itu pernah berkata, “Orang (Portugis) di perkampungan ini sedia dengan budaya dan tradisi, tetapi saya tidak nampak keseluruhan jenis-jenis tarian.” Mengikut Sara, tarian yang diajar oleh Papa Joe kepadanya sebagai anak murid pada waktu itu dipersembahkan sambil mereka memakai sarong kebaya. Pembantu paderi itu pula merupakan seorang warga Singapura bernama Christine Kanagarajah (atau Christine Rodrigues) yang mempelajari tarian-tarian budaya di Portugal seterusnya pulang ke Melaka untuk mengajar semula tarian-tarian tersebut kepada warga tempatan.

“Tarian tradisional Portugis ada banyak – mungkin puluhan jenis dan kesemuanya ada ciri-cirinya yang tersendiri. Saya ingat lagi, kami selalu menari Maliao sewaktu awal berguru dengan Papa Joe. Katanya, Maliao digubah dari gerak gaya menampi padi.” kata Sara lagi. “Di Portugal, warganya ramai yang bekerja sebagai petani. Lihat sahaja gerak tari Maliao yang serupa ‘bertumbuk-tumbuk’ seakan-akan kita menguruskan padi.”

Tenaga pengajar ini bangga dengan pengaliran ilmu budayanya. Katanya, “Saya mahu menunjukkan budaya saya kepada orang luar. Budaya ini bukan jatuh semata-mata pada bahasanya, tetapi tariannya juga. Melalui tarian, saya berkesempatan untuk berjumpa dengan lebih ramai orang dari setiap pelosok, luar dari perkampungan Portugis di sini.”

Tambah Sara, “Saya selalu mengajar corak persembahan tarian dan muzik ini di rumah saya sendiri. Sebab saya sudah biasa menari, lambat laun saya mesti mahu mengetuai kumpulan saya sendiri. Di penempatan Portugis di Melaka ini sebenarnya ada tiga kumpulan tari yang besar – salah satunya kepunyaan saya (iaitu Tropa de Santa Maria), kemudian kami ada kumpulan Dommarina yang ahlinya terdiri daripada golongan remaja, para penggiat di pertengahan 30-an dan juga ibu muda. Tidak dilupakan, kumpulan tarian O Maliao Maliao yang mempunyai ahli veteran dalam lingkungan usia 70 tahun.”

Ramuan untuk mempelajari tarian-tarian Portugis ada dua, iaitu minat dan disiplin. Dia sukakan setiap elemen persembahan yang terlibat, dari bentuk tari sampailah kepada nyanyian dan pengajaran alatan muzik. Menurutnya, satu bentuk tari yang mudah boleh diajarkan kepada anak-anak murid dalam tempoh dua hari. Corak tarian yang lebih rumit pastinya mengambil masa yang lebih lama.

Ulasnya tentang minat golongan muda masa kini terhadap tarian tradisional, “Kanak-kanak yang berkelas dengan saya sentiasa bersemangat untuk menghadiri latihan! Mungkin juga mereka sudah biasa melihat orang dewasa sekeliling mereka menari dan mahu sertai sendiri aktiviti tarian. Inilah antara sebab utama saya menubuhkan kumpulan saya, untuk memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman menari dalam sebulah kumpulan budaya.”

Sempat juga Sara berseloroh, “Namun, cabaran saya pada waktu ini, kanak-kanak lelaki biasanya akan hilang minat untuk menari menjelang usia remaja mereka. Mungkin mereka mula berasa sedikit malu atau tidak lagi bersemangat dalam tarian ini. Lihat sahajalah, ada lebih ramai kanak-kanak perempuan di dalam kumpulan saya! Kalau boleh, saya memang nakkan lebih ramai kanak-kanak lelaki untuk sertai saya, bukan sahaja untuk merancakkan tarian tetapi juga untuk memainkan alat muzik. Kalau tiada muzik, tidak bolehlah kami menari!”

Susunan tari yang diajar olehnya sedikit sebanyak diolah dan dimodenkan dari versi tradisional 1950-an. Dia menggunakan sumber carian Internet untuk memahami dan mengikuti bentuk seni tari warga Portugal sehingga kini. “Saya lebih suka tarian rakyat (folk dancing),” katanya. “Lagipun, penting untuk saya olah sedikit lenggok tari kepada yang lebih moden dan memberikan nafas baharu melalui lagu-lagu baru kerana gusar kanak-kanak mudah bosan. Penting untuk saya bergerak seiring masa.”

Pengiktirafan Sara sebagai Adiguru CENDANA memberikan semangat baru dalam pengajaran seni budayanya. “Sebelum ini, semuanya adalah atas berkat usaha kumpulan saya sepenuhnya. Program Adiguru ini telah membantu saya terutamanya dari segi alat muzik. Sejak awal penubuhan kumpulan ini lagi, kami bergantung harap kepada suami saya untuk membiayai segalanya, serta sering menggunakan gitar lama suami saya untuk persembahan! Kostum para penari pun sudah banyak yang ketat,” katanya.

“Program seperti ini amat penting dalam pengaliran budaya, untuk apa-apa sahaja bentuk seni yang memperjuangkan tradisi,” tambahnya. “Saya berbesar hati untuk mengajar elemen budaya saya kepada orang luar, bukan sahaja orang yang berketurunan seperti saya. Saya juga berpendapat bahawa tradisi wajib diturunkan dari generasi ke generasi, dengan anak-anak muda sebagai pemula.”

Sara Frederica Santa Maria merupakan penerima geran Adiguru fasa ke-2 dalam Tarian Tradisional Portugis. Program Adiguru dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Anda juga boleh membaca artikel-artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites