Adiguru CENDANA: Md Gel Bin Mat Dali

Poksu Agel merupakan seorang tokoh yang telah menempa namanya dalam seni permainan gendang sejak puluhan tahun yang lalu dan kini menghabiskan masanya untuk berbakti kepada masyarakat dalam memupuk, mendidik dan melatih para pelapis seni gendang di negara ini.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Adiguru CENDANA Md Gel Bin Mat Dali

Siapa sahaja yang tidak tahu tentang alat muzik gendang; rebana, kompang, geduk ataupun apa jua alat muzik yang berbentuk bulat dan ditutupi lapisan kulit kebiasaannya tergolong di bawah keluarga besar gendang. Dalam seni muzik pergendangan pula, nama Md Gel Bin Mat Dali atau lebih mesra disapa dengan nama panggilannya Poksu Agel. Beliau merupakan seorang pakar dalam seni pergendangan sehingga ada juga yang menggelar dirinya sebagai Raja Gendang Kelantan.

“Dahulu, memang lah saya diberi gelaran sebegitu tetapi saya pun tidak tahulah macam mana mereka nobatkan saya dengan gelaran itu,” kata Adiguru CENDANA yang berasal daripada Pasir Puteh, Kelantan ini yang cukup rendah diri walaupun mempunyai ilmu yang penuh di dada. 

“Saya dilahirkan pada 2 hari bulan 11 tahun 1959 dan di dalam bidang muzik gendang ini, terutamanya di Kelantan, hampir semua jenis gendang saya boleh main,” kongsi Poksu Agel. Antara peralatan-peralatan muzik yang Poksu Agel mahir bermain termasuklah geduk, gedombak, rebana dan pelbagai jenis yang lain. “Namun untuk dana yang diberikan oleh CENDANA ini, saya diamanahkan untuk mengajar seni persembahan Wayang Kulit.” Antara tujuan pemberian dana Adiguru CENDANA ini adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi pelapis muda yang akan mewarisi air tangan seni orang-orang lama seperti Poksu Agel ini agar warisan dan budaya seperti Wayang Kulit tidak lenyap ditelan arus zaman dan terus dipelihara sehingga masa yang akan datang. 

Serba sedikit mengenai latar belakar dan asal usul Poksu Agel yang cukup berbakat ini, sebenarnya tidak ramai yang tahu bahawa Poksu Agel mula berjinak dengan alat muzik melalui drum moden dan bukanlah gendang tradisional seperti yang beliau berkecimpung pada hari ini. “Dulu-dulu saya main drum dan saya pernah ikut kawan untuk bermain drum di fun fair. Di fun fair akan ada dua pentas persembahan, satu pentas joget dan satu pentas pop jadi saya akan bertukar-tukar dengan tok guru saya pada ketika itu,” kongsi Poksu Agel. Katanya, kalau tok gurunya bermain di pentas pop, dia akan bermain drum di pentas joget dan begitulah sebaliknya sehinggakan jika ada penyanyi tersohor datang ke Fun Fair berkenaan, Poksu Agel memang akan menjadi pemain drum di situ. “Namun itu semua cerita dahulu, sekarang saya sudah tidak tahu apa-apa mengenai drum,” kongsi Poksu Agel dengan jujur. 

Sekitar era tahun 70-an, barulah Poksu Agel cuba bermain dikir barat dan mula menceburi dunia pergendangan tradisional dan melekat sehingga ke hari ini. “Ceritanya, budak-budak di kampung apabila tiba musim banjir atau musim tengkujuh, mereka hendak berkumpul tetapi tidak ada tempat. Jadi mereka pun datanglah ke rumah saya dan apabila mereka datang ke rumah saya, mereka pun bawa sekali rebana dikir barat.”

“Saya pun tanya mereka, kamu nak buat apa ni? Mereka cakap mereka ingin main dikir barat,” Poksu Agel dengan senangnya bercerita kepada kami. Jadi pada ketika itu, mereka telah menggunakan rebana kecil yang dibawa oleh mereka, tambahan pula dengan beberapa baldi maka mereka pun bermain lah dikir barat di rumah Poksu Agel.

“Hari demi hari, daripada 4 orang lama kelamaan sampailah jadi 15 ke 16 orang yang datang main dikir barat di rumah saya,” ujar Poksu Agel. Di situlah bermulanya Poksu Agel jatuh cinta pada seni pergendangan tradisional Kelantan dan meninggalkan sepenuhnya dunia drum moden yang pernah beliau ceburi suatu ketika dahulu.

Apabila kita bicara mengenai seni pergendangan pula, sama ada cara permainan gendang dalam sebuah persembahan Wayang Kulit, Menora, Dikit Barat dan sebagainya sebenarnya semua hampir sama. “Kalau gendang ini, bezanya tidak jauh antara satu sama lain. Kalau kita bandingkan Makyung dengan Wayang Kulit, Makyung ini dia banyak lagu, jadi lagu dia berbeza-beza tetapi apabila kita pergi kepada Wayang Kulit, dia memang tidak banyak lagu yang akan dipermainkan, hanya beberapa lagu sahaja. Dari segi alat muzik pula, Wayang Kulit ini dia banyak menggunakan geduk,” kongsi Poksu Agel.

Gaya pukulan dan kemahiran tangan pula berkait rapat dengan guru seseorang itu dan kita boleh tahu siapa guru seseorang pemuzik tersebut apabila kita mendengar gaya pukulannya. “Setiap guru itu dia akan ada rahsia dia, kadang kala akan ada satu perkara kecil sahaja yang rahsia itu. Sebiji sahaja kunci yang ada pada teknik permainan seseorang itu dan saya boleh kenal yang orang itu adalah anak buah saya.” Poksu Agel turut menyambung, kebiasaanya, dalam irama alunan lagu itu akan ada gaya dan ciri-ciri perubahan melodi yang dapat dikenal pasti. Ibaratnya lebih kurang seperti sebuah ‘transition‘, dari satu melodi ke sebuah melodi yang lain dan itulah yang dapat dikenalpasti oleh seorang guru akan anak buahnya. “Benda itu sebenarnya bukanlah suatu rahsia besar yang tidak boleh diberitahu atau diceritakan cuma jika saya ingin dedahkan dalam percakapan ini memang susah untuk saya gambarkan,” kata pakar gendang ini.  

Apabila seseorang pelajar itu tamat sesi pembelajarannya, sebuah upacara dipanggil Pelima akan diadakan. “Kalau diikutkan orang dulu-dulu memang setiap murid itu akan melalui Pelima kerana Pelima ini ibarat seperti kita khatam al-Quran lah, pada hari tersebut kita akan meminta agar segala ilmu yang guru itu ajar kepada kami ini, kami ingin minta untuk dihalalkan. Macam saya dulu memang saya lalui semua itu. Saya mintak halal dengan guru saya tetapi apabila kita bercakap tentang perkara ini saya rasa hendak menangis sebab saya terkenang guru saya dahulu,” kongsi Poksu Agel yang sebak apabila mengenang akan gurunya. 

“Memang istimewa sebuah perhubungan di antara seorang guru dan seorang anak murid tersebut. Saya taktau lah nak cakap, bagi saya guru ini susah payah tunjuk ajar kepada kita, tumpahkan ilmu kepada kita, rahsia-rahsia dalam diri seorang guru itu dia curahkan semua kepada anak muridnya, semua kerana dia sayang pada kita. Dia memang akan beri segala-galanya tetapi jika kita sebagai anak murid tidak menghargai ilmu yang guru kita bagi maka sia-sia lah kita belajar.” 

“Bukan semestinya kita hendak belajar al-Quran, bukan semestinya kita nak belajar kitab barulah kita hendak hormat akan guru kita. Semua ilmu yang kita peroleh ini terlibat dengan kita mencari makan dan akan menjadi darah daging kita jadi bermakna kita kena hormati orang itu. Jikalau ilmu kita tidak diredhai oleh guru kita maka tak berkatlah kita cari makan. Itulah pengalaman saya yang saya belajar, orang lain saya tidak tahu. Semua perkara ini ada pendapat masing masing.” 

Sebelum tamat perbualan BASKL bersama Poksu Agel, beliau turut mengimbas kembali saat yang paling manis di antara dia dan gurunya. Pada hemat Poksu Agel, saat paling manis adalah apabila gurunya mengiktiraf yang dia sudah boleh bermain muzik di dalam satu panggung yang sama dengan gurunya serta terluah ungkapan “engkau dah boleh main.” Bagi Poksu Agel, sepanjang perjalanan muziknya, itulah saat termanis dan kenangan yang akan diingati sampai bila-bila.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites