Muzium menarik sekitar Lembah Klang

Melihat beberapa muzium sekitar Lembah Kelang sempena Hari Muzium Sedunia

Oleh DANIAL FUAD

Muzium merupakan sebuah tempat pengumpulan objek-objek berkaitan sejarah, sains, artistik ataupun budaya untuk tujuan kajian dan pameran. Di Malaysia juga terdapat pelbagai jenis muzium daripada muzium awam seperti Balai Seni Negara dan Muzium Kesenian Islam Malaysia hinggalah ke muzium persendirian seperti Muzium Kamera Asia dan dan Muzium Ho Yan Hor sebagai contoh.

Sempena Hari Muzium Antarabangsa yang jatuh tanggal Mei 18 setiap tahun, kami dari BASKL ingin berkongsi beberapa muzium di sekitar Lembah Kelang yang boleh dilawati untuk mengenal lebih mendalam perkara-perkara yang dipamerkan.

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara

Pada tahun 2011, Bank Negara telah menubuhkan Sasana Kijang yang merupakan sebuah pusat pengetahuan dan pembelajaran. Pusat tersebut dilengkapi dengan auditorium utama dan juga pusat mesyuarat dan persidangan. Oleh kerana itu juga, Sasana Kijang mempunyai muzium yang sangat luas dan menawarkan enam galeri kekal iaitu Galeri Kanak-kanak, Galeri Bank Negara Malaysia, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam, Galeri Numismatik dan juga Galeri Seni.

Terdapat pelbagai artifak dan dokumen berkenaan dengan kewangan yang boleh dilihat oleh para pengunjung untuk mendalami pelbagai aspek berkenaan dengan kewangan. Beberapa tarikan yang terdapat di muzium ini adalah seperti replika bilik Gabenor, Sungai Duit Syiling dan juga Terowong RM1 juta.

Muzium dan Galeri Seni Bank Negara terletak di Sasana Kijang, 2 Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur dan waktu operasi mereka adalah setiap hari daripada jam 10pg hingga 6ptg dan hanya ditutup sewaktu tiga hari pertama Hari Raya Aidilfitri. Masuk adalah percuma dan maklumat lanjut berkenaan galeri kekal mereka boleh didapati di sini.

Muzium Bioperubatan

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ditubuhkan pada tahun 1900 bagi menjalankan penyelidikan perubatan berkaitan dengan penyakit berjangkit yang banyak menular seperti beri-beri, malaria, disentri, cacar, dan kolera. Pada tahun 1983, YB Tan Sri Chong Hon Nyan yang pada ketika itu merupakan Menteri Kesihatan Malaysia telah merasmikan Muzium Bioperubatan. Ia merupakan satu-satunya Muzium Bioperubatan yang dibina semenjak 1928 dan mengandungi koleksi rujukan penyelidikan yang berharga semenjak tahun 1900 lagi.

Muzium ini mengandungi beberapa galeri yang menarik untuk dikunjungi bagi mendapatkan maklumat sejarah yang mendalam tentang bioperubatan terutamanya di Malaysia. Ia terdiri daripada Galeri Bersejarah, Galeri Spesies Terancam, Galeri Perubatan dan Rawatan Tradisional Melayu, Galeri Wu Lien Teh dan Galeri Ular.

Terletak di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, muzium ini dibuka dari jam 9pg hingga 4:30ptg bagi Isnin hingga Khamis manakala 9pg hingga 12tgh dan 3ptg hingga 4:30ptg pada hari Jumaat. Muzium tidak beroperasi pada hari Sabtu, Ahad dan juga Cuti Umum. Maklumat lanjut berkenaan dengan muzium ini boleh didapati di sini.

Trade Galleria

Perdagangan merupakan sebuah kegiatan ekonomi yang telah dijalankan di Tanah Melayu daripada zaman kerajaan Kedah Tua (yang merupakan salah satu kerajaan terawal Semenanjung Tanah Melayu) lagi. Melayu memang cukup terkenal dengan ekonomi perdagangan dan atas faktor kedudukan geografi yang strategik, Kepulauan Melayu, terutamanya Melaka menjadi tumpuan pedagang asing dari China, India dan juga Arab.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ditubuhkan lebih kurang 30 tahun dahulu pada Mac 1993. Tujuan agensi kerajaan ini adalah untuk meluaskan dan membangunkan peluang baru bagi pedagang eskport Malaysia. Mereka juga telah membangunkan Trade Galleria yang banyak menceritakan tentang pembangunan perdagangan di Malaysia.

Muzium ini dibahagi kepada tiga bahagian di mana Zon 1 dimana banyak mengetengahkan sejarah perdagangan dan juga evolusinya merentasi beberapa abad. Zon 2 pula mengisahkan tentang peristiwa, polisi dan sumber penting yang menggerakkan ekonomi Malaysia daripada sebelum sehingga selepas kemerdekaan. Manakala Zon 3 pula merupakan pusat maklumat yang mengandungi bahan rujukan berkenaan perdagangan di Malaysia seperti perjanjian perdagangan, kertas kerja polisi dan juga Pelan Induk Perindustrian Malaysia.

Terletak di Tingkat Dua, Menara MATRADE, Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lumpur, Trade Galleria dibuka dari Isnin hingga Jumaat dari jam 9pg hingga 4ptg. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.

Muzium Automobil Nasional

Pengenalan Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON) pada tahun 1983 dan Perusahaan Otomobil Kedua Berhad (PERODUA) diikuti dengan Motosikal dan Enjin Nasional Sendirian Berhad (MODENAS) pada tahun 1995 telah mengorak langkah kearah pembangunan automotif yang jitu di Malaysia. Terdapat beberapa dasar diperkenalkan untuk membantu syarikat kereta dan motosikal nasional ini menempa nama di dalam dan juga luar negara dan pada tahun 2020, Dasar Automotif Nasional telah diperkenalkan oleh kerajaan.

Mungkin nama PROTON, PERODUA dan MODENAS ini tidak asing lagi bagi kita kerana ia membawa nama Malaysia. Namun begitu, terdapat juga beberapa syarikat lain yang menghasilkan produk automotif seperti Inokom, Bufori dan juga TD Cars yang juga merupakan syarikat Malaysia. Ini merupakan antara perkara yang dipaparkan di Muzium Automobil Malaysia ini yang terletak di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.

Bangunan dua tingkat yang berkeluasan hampir 20 ribu kaki persegi ini memuatkan pelbagai jenis kereta yang telah digunakan di Malaysia sepanjang zaman. Kereta seperti Brushmobile yang dihasilkan pada tahun 1904, Ford Speedster pada tahun 1923 dan Alvis Tourer pada tahun 1935 merupakan antara kereta yang dipamerkan di situ. Selain daripada itu, terdapat juga sejarah berkenaan dengan aktiviti permotoran yang dijalankan seperti perlumbaan F1, Siri Antarabangsa Super GT dan juga MotoGP.

Muzium ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin pertama setiap bulan daripada jam 9pg hingga 5ptg. Ia ditutup pada dua hari pertama Raya Aidilfitri dan hari pertama Raya Aidiladha. Maklumat lanjut berkenaan muzium ini boleh didapati di sini.

Melawati muzium merupakan sebuah aktiviti yang sangat membuahkan hasil kerana terdapat pelbagai perkara yang kita boleh pelajari melaluinya. Selain daripada yang disebut diatas, terdapat lagi pelbagai jenis muzium yang menarik terutamanya muzium persendirian yang sedikit longgar syaratnya dan boleh dibuka serta diusahakan oleh sesiapa sahaja. Selamat Hari Muzium Sedunia kepada semua dan lawatlah muzium berhampiran anda jika terdapat kelapangan waktu.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites