Mengimbau kenangan Mekah & Madinah ketika Pemerintahan Uthmaniyah

Al-Haramyn: 'Hejaz During the Ottoman Period' merakam suasana Mekah dan Madinah ketika pemerintahan Sultan Abdulhamid II.

Oleh DANIAL FUAD

Mekah dan Madinah merupakan kota suci bagi umat Islam kerana ia penuh dengan sejarah perkembangan Islam. Di sini terdapat dua daripada tiga masjid suci dalam Islam di mana di Madinah terdapat Masjid Al-Nabawi dan di Mekah pula terletaknya Masjidil Haram. Di tempat inilah Nabi Muhammad s.a.w. melalui peristiwa Israk & Mikraj di mana baginda telah mendapatkan perintah solat lima waktu

Disebabkan kepentingan itulah, kota Mekah dan Madinah sentiasa dilindungi dan dibangunkan tanpa henti daripada zaman Rasulullah s.a.w. ke Empayar Uthmaniyah sehinggalah ke zaman sekarang ini. Kedua-dua kota tersebut telah melalui bermacam-macam perubahan dan pembaharuan untuk menampung jutaan umat Islam yang hadir ke sana tak kira samada di musim Haji mahupun bagi menunaikan Umrah.

Dari 7 Feb lalu, Muzium Kesenian Islam Malaysia telah menganjurkan pameran yang bertajuk Al-Haramyn: Hejaz During the Ottoman Period. Bagi yang tidak mengetahuinya, Hejaz merupakan nama wilayah di mana terletaknya Mekah, Madinah, Jeddah, Tabuk, Yanbu dan juga Taif. Melalui pameran ini, kita dapat melihat bagaimana keadaan wilayah tersebut semasa pemerintahan Turki Uthmaniyah dengan menelusuri gambar-gambar daripada arkib Istana Yildiz dan juga Pusat Penyelidikan Sejarah, Seni Dan Budaya Islam (IRCICA).

Gambar-gambar yang dipamerkan dirakam ketika pemerintahan Sultan Abdulhamid II, antara hujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, sebelum kejatuhannya Empayar Uthmaniyah dek kerana Perang Dunia Pertama. Pameran ini juga memberi perspektif unik di mana kita dapat melihat bagaimana keadaan Mekah dan Madinah sebelum segala kemajuan yang ada sekarang. Selain daripada itu, ia juga mempamerkan tradisi yang telah hilang ditelan zaman iaitu Al-Mahmal al-Sharif.

Mekah

Pameran ini dibahagi kepada tiga bahagian iaitu Mekah, Madinah di bawah pemerintahan Fakhreddin Pasha dan juga tradisi Al-Mahmal al-Sharif. Melalui bahagian Mekah, tarikannya lebih kepada bagaimana keadaan mekah yang sejak dari dahulu sudah dipenuhi orang yang berpusu-pusu untuk menunaikan ibadah Haji. Para jemaah memenuhi ruangan Kaabah walaupun pada ketika itu hanya terdapat kawasan tawaf yang kecil, yang mana kelihatan jauh berbeza dengan keadaan sekarang yang sangat luas dan lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Salah satu lagi yang menarik untuk dilihat adalah Gerbang Bani Shaiba yang telah dibina semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Gerbang ini tidak lagi dapat dilihat di zaman ini kerana ia telah ditanggalkan sewaktu perluasan kawasan tawaf pada tahun 1967. Dengan pameran ini kita dapat lihat betapa bezanya ruangan menunaikan Haji ini dinaik taraf, daripada bangunan yang rendah sahaja pada ketika itu kepada kawasan Masjidil Haram yang pesat membangun, dikelilingi bangungan-bangunan pencakar langit.

Madinah

Beralih kepada Madinah di bawah pemerintahan Fakhreddin Pasha, kita dapat lihat pelbagai rekod lukisan pelan pembangunan bagi Madinah. Antaranya pelan Masjid Nabawi, Masjid Quba dan juga peta Madinah yang bertarikh 1853. Salah satu peristiwa penting juga telah dirakam dan dipamerkan di sini iaitu pengisytiharan Negara Uthmaniyah menyertai Perang Dunia Pertama pada 11 November 1914. Selain daripada itu, gambar Mekah yang mendapat perhatian adalah keadaan banjir pada tahun 1910. Madinah pernah dilanda banjir dan telah mengakibatkan kematian seorang pegawai dan beberapa mangsa lain. Ini telah dirakam dan dapat dilihat dalam pameran tersebut yang mana banjir ini berlaku lapan tahun selepas Mekah iaitu pada tahun 1918.

Al-Mahmal al-Sharif

Akhir sekali, kita beralih kepada perarakan Al-Mahmal al-Sharif yang kini sudah tidak lagi dipraktikan. Perarakan ini dibuat bagi menghantar Kiswah, pelitup bagi Kaabah yang dibuat di Mesir ke Mekah. Kiswah ini memang telah dihasilkan di Mesir sejak berabad lamanya dan ia diarak dalam sebahagian daripada Mahmal yang digelar Tandu Mulia sarat dengan hadiah untuk dibawa ke Mekah daripada Kaherah dan Damsyik. Mahmal ini akan turun di pelabuhan Jeddah, singgah di Masjid Nabawi sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir iaitu Mekah.

Perjalan Mahmal bermula di Istana Yildiz dan dapat dilihat melalui gambar rakaman bahawa perarakan ini sangatlah penting kerana setiap tempat persinggahan akan dikerumuni oleh pelbagai orang untuk memberi penghormatan. Selain daripada itu, kita dapat juga melihat gambar Penjaga Madinah pada ketika itu, Basri Pashar dan beberapa orang penting Madinah bergambar di hadapan Mahmal tersebut disambut dengan upacara besar-besaran. Mahmal ini kebiasannya akan diiringi oleh umat Islam daripada Mediterranean Timur yang ingin mengerjakan Haji pada tahun itu dan juga askar-askar bagi melindungi hadiah yang ingin diserahkan di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

Pameran fotografi Al-Haramyn: Hejaz During the Ottoman Period dibuka di Galeri Terbuka ini memberikan kita pandangan yang lebih mendalam tentang bagaimana keadaan wilayah Hejaz pada ketika itu. Ini merupakan kekuatan fotografi yang ramai ambil enteng kerana nilainya bukanlah pada waktu sekarang, tetapi untuk anak cucu cicit kita memahami bagaimana kehidupan pada sesuatu zaman yang lampau.

Pameran ini bakal berlangsung sehingga Mei 9 dan Muzium Kesenian Islam Malaysia dibuka setiap hari dairpada jam 10pg hingga 6ptg termasuklah hari Cuti Am kecuali Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha (mengikut pengumuman). Tiket masuk berharga RM12 dan ia sangat berbaloi kerana selain daripada pameran ini, kita juga boleh melihat pelbagai artifak-artifak kesenian Islam yang dipamerkan di tingkat satu dan dua muzium ini. Maklumat lanjut mengenai Muzium Kesenian Islam Malaysia boleh didapati memlalui laman sesawang mereka di sini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites