Coretan seni bina negeri Kelantan

Meninjau keindahan reka bentuk dan seni bina tempat-tempat beribadah di Negeri Kelantan Darul Naim

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI | Gambar Oleh Danial Fuad

Sebagai orang Malaysia, sudah pastinya kita tahu negeri Kelantan ini sebagai sebuah negeri yang masyhur dengan ketamadunan Islam yang sentiasa dititikberatkan oleh negeri ini. Selari dengan itu, sudah tentu negeri cik siti Wan Kembang ini penuh dengan tempat-tempat beribadah yang menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh penganut agama Islam untuk mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT.

Namun, mungkin tidak ramai yang tahu bahawa negeri Kelantan ini bukan sahaja memberi kebebasan kepada penganut agama Islam sahaja untuk beribadah tetapi Kelantan juga merupakan rumah kepada beberapa patung Buddha terbesar di rantau ini. Kebebasan beragama dan sifat saling hormat-menghormati di antara satu agama dan satu agama yang lain amat tinggi di sini. Selain itu, tempat-tempat beribadah ini juga mempunyai ciri-ciri seni bina yang cukup memukau mata para pengunjung yang datang menyinggah.

Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra @ Masjid Beijing

Sebuah cetusan idea oleh Allayarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat untuk membina sebuah masjid yang mempunyai persamaan dengan Masjid Niujie yang berusia lebih 1,000 tahun dan terletak di Beijing, China. Kebanyakkan bahan binaan bagi masjid ini telah dibawa jauh daripada tanah China ke Kelantan.

Jika kita lihat dari jauh, reka bentuk dan seni bina Masjid Beijing ini dilihat seperti sebuah Tokong. Namun, sebaliknya ini merupakan sebuah masjid yang terletak di Rantau Panjang, Kelantan. Hanya 5 minit daripada sempadan Malaysia dan Thailand, masjid yang tersergam indah ini telah siap dibina pada tahun 2009.

Masjid yang cukup unik ini menjadi sebuah tarikan pengunjung yang tidak dapat disangkal keindahannya. Setiap kali pengunjung hadir ke Masjid Beijing ini sama ada untuk beribadah atau melawat, sudah tentu mereka akan berhenti seketika untuk menikmati seni bina yang ada dan mengambil beberapa gambar buat kenang-kenangan.

Apabila anda pusing mengelilingi masjid pula, anda pasti akan tiba di sudut yang cukup istimewa ini. Daripada gambar ini sahaja, kita sudah tentu tidak akan dapat membuat tekaan bahawa ini merupakan reka bentuk sebuah masjid yang berada di Rantau Panjang, Kelantan.

Wat Machimmaram @ Sitting Buddha

Terletak di Tumpat, lebih kurang 20km dari ibu kota Kelantan iaitu Kota Bharu. Tokong ini telah siap dibina pada tahun 2001 dan merupakan sitting Buddha terbesar di Asia pada ketika itu. Ini merupakan salah satu Tokong Buddha yang paling terkenal daripada lebih 20 Tokong Buddha yang terdapat di negeri Kelantan.

Kawasan sekitar tokong ini meliputi tanah seluas 2.4 hektar dan patung ini mempunyai ukuran setinggi 30m dan lebar sebesar 18m. Para pengukir pakar telah diterbangkan daripada Thailand secara khas untuk membina Wat Machimmaram atau sitting Buddha ini.

Mereka telah mengambil masa selama 10 tahun untuk menyiapkan keseluruhan tapak Tokong yang cukup istimewa ini. Wat Machimmaram kebiasaannya akan menerima pengunjung yang cukup ramai apabila penganut agama Buddha menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Wesak.

Jika kita lihat dengan teliti, bibir patung ini disalutkan dengan emas dan badannya pula seolah-olah mempunyai jubin-jubin kecil yang berkilat dan menyerlahkan lagi kecantikan patung ini. Dalam cuaca dan suasana yang cerah seperti ini, anda akan dapat menikmati keindahan maksima sebuah seni bina ciptaan hasil tangan manusia.

Masjid Ar-Rahman Mukim Pulau Gajah

Masjid yang menggabungkan seni bina moden dan tradisional ini terletak di Kampung Pulau Gajah dan kira-kira 7km daripada Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Telah siap dibina dan dibuka kepada orang awam pada tahun 2018 dan telah menjadi sebuah tarikan kepada mereka yang berkunjung ke negeri Kelantan.

Menurut orang tempatan, antara keunikan masjid ini adalah sewaktu proses pembinaan Masjid Ar-Rahman, tiada sebarang paku yang telah digunakan. Sebaliknya, mereka telah menggunakan sebuah kaedah pembinaan tradisional yang dipanggil “tanggam” untuk menghubungkan kayu-kayu yang ada.

Masjid yang dibina di atas sebuah tapak kawasan paya bakau yang diwakafkan ini seolah-olah seperti berada di sebuah pulau peribadi yang cukup istimewa. Ukiran dan seni binanya pula banyak diilhamkan daripada seni bina Melayu Kelantan, Nusantara, Turki dan Yaman. Manakala 10 tiang kayu cengal daripada kawasan Hutan Hulu Kelantan pula digunakan untuk menambah seri pada masjid ini.

Kebanyakkan seni bina yang terdapat di Masjid Ar-Rahman ini mempunyai maksud tersirat yang tersendiri. Di ruang solat utama pula terdapat 5 buah tiang kayu sebesar pemeluk yang melambangkan 5 rukun Islam yang menjadi pegangan kepada seluruh umat Islam seluruh dunia.

Wat Phothivihan @ Sleeping Buddha

Tokong ini merupakan rumah kepada sebuah patung Buddha yang berukuran 40m dan merupakan antara ‘sleeping Buddha‘ terbesar di Asia Tenggara. Tokong ini telah siap dibina pada tahun 1973 dan merupakan antara tokong yang paling terkenal di Malaysia.

Kebanyakkan penganut agama Buddha yang membuat kunjungan ke sini merupakan etnik Thailand dan mereka akan sering membuat lawatan ke sini sewaktu musim-musim perayaan dan keagamaan Buddha. Di bahagian sudut belakang patung ini pula, terdapat sebuah ruang simpanan dimana ditempatkan abu-abu mereka yang telah meninggal dunia.

Di hadapan patung ‘sleeping Buddha‘ ini terdapat sebuah Roda Dharma yang mempunyai 8 cabang dan diberi nama Jalan Mulia Berunsur Lapan. Setiap satu daripada lapan cabang itu mempunyai pengajaran tersendiri di dalam ajaran agama-agama India seperti Buddha, Hindu dan juga Jaini.

Wat Phothivihan ini juga mempunyai kemudahan penginapan bagi para Sami Buddha dan juga pengunjung yang ingin mendapatkan pengalaman bermalam di sebuah tokong. Di dalam kawasan tokong ini juga terdapat sebuah kedai makan yang boleh dijadikan tempat rehat bagi para pengunjung yang ingin menjamu selera sebelum menyusur langkah ke destinasi mereka yang seterusnya.

Jika anda mempunyai sebarang cadangan mengenai tempat-tempat yang kaya dengan seni, sejarah dan kebudayaan yang menarik, anda boleh emailkan kepada kami di baskl@cendana.com.my.

Anda juga boleh ikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites