4 aktiviti menarik di Batu Caves

Selain daripada melawat kuil, sebenarnya terdapat beberapa aktiviti menarik yang boleh anda cuba di sekitar Batu Caves.

oleh DANIAL FUAD

Batu Caves cukup terkenal dengan Kuil Hindu yang terdapat dengan patung besar yang terletak di hadapan pintu masuk gua. Berpuluh ribu penganut agama tersebut hadir setiap tahun bagi menyambut Thaipusam. Lokasi ini sangat dekat di hati penganut agama tersebut kerana ia merupakan salah satu daripada 10 tempat suci bagi Dewa Murugan di mana enam daripadanya terletak di India dan empat di Malaysia.

Namun dari sudut kisah lagenda rakyat, sebelum Batu Caves dikenali sebagai Kuil Hindu, ia terkenal sebagai lokasi di mana si Tanggang telah disumpah menjadi batu dan gunung batu kapur tersebut adalah kapal beliau. Kawasan ini dulunya hanyalah sebuah kawasan perkampungan. Hanya sekitar tahun 1970, pemaju mula membangunkan kawasan ini dan semenjak daripada itu, Batu Cave telah berkembangan dengan pesat.

Selain daripada melawat gua, sebenarnya di sini terdapat juga beberapa tempat menarik yang boleh dikunjungi dengan aktiviti menarik seperti memanjat batu, melawat galeri kaligrafi di dalam gua dan mempelajari lebih mendalam tentang Orang Asli.

Gua Damai Extreme Park

Terletak di bahagian belakang Kuil Batu Caves, Gua Damai Extreme Park merupakan sebuah pusat aktiviti lasak yang menyediakan pelbagai jenis aktiviti seperti trekking, caving dan juga ziplining. Tiada sebarang caj dikenakan bagi memasuki kawasan ini, akan tetapi pengunjung wajib untuk mendaftarkan diri pada buku tetamu di pejabat mereka.

Tidak perlu risau jika tiada pengalaman kerana mereka juga ada menyediakan pakej sukan lasak yang bermula dari harga serendah RM80. Para pengunjung boleh mencuba aktiviti seperti memanjat batu, abseiling, meneroka gua, trekking dan pelbagai aktiviti lagi. Namun anda perlu ingat, pakej yang disediakan mempunyai peserta minima di antara enam hingga 13 orang.

Pakej penuh mereka boleh dilihat pada laman sesawang mereka di sini dan untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Gua Damai Extreme Park melalui WhatsApp di sini.

D Gua Al-Kahfi Culture Village

Jika aktiviti lasak tidak bersesuaian untuk anda, tidak perlu gusar kerana anda masih boleh meneroka gua. Terletak berhampiran dengan Gua Damai Extrema Park, lokasi ini merupakan sebuah tempat yang mengingatkan kita tentang kehidupan di dalam gua. D Gua Al-Kahfi Culture Village merupakan sebuah tarikan yang sarat dengan pelbagai jenis aktiviti yang melibatkan gua.

Diterokai oleh Ismail Jaafar pada tahun 1978, gua ini telah dibangunkan kerana beliau merasakan ia sangat dekat dengan orang Islam di mana terdapat beberapa kisah di dalam Al-Quran berkait rapat dengan gua. Oleh itu, dinding gua ini telah dihiasi dengan pelbagi tulisan kaligrafi untuk tatapan pengunjung. Selain dari itu, terdapat juga kedai makan bagi anda yang berminat untuk merasai pengalaman menjamu selera di dalam gua. Selain itu terdapat juga 16 bilik tidur pelbagai saiz di Inap desa bagi yang ingin bermalam di sana.

Berkeluasan hampir 500 meter persegi, tempat ini juga ada menyediakan pakej majlis perkahwinan yang boleh memuatkan di antara 100 hingga 120 tetamu. Masuk adalah percuma, akan tetapi sumbangan ikhlas adalah dialu-alukan bagi membolehkan mereka melakukan kerja pengurusan Madrasah Al-Kahfi di sini. D Gua Al-Kahfi Culture Village ini terletak di 22, Jalan TIB 1/3, Taman Industri Bolton, 68100 Batu Caves, Selangor dan dibuka setiap hari dari jam 10pg – 8mlm.

Muzium Orang Asli

Orang Asli merupakan sebahagian daripada kaum Bumiputera di negara ini dan secara rasmi, terdapat sekurang-kurangnya 18 suku dari etnik Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu. Berdasarkan genetik dan asal-usul mereka, terdapat tiga kategori utama iaitu Semang (atau Negrito) yang boleh ditemui di bahagian utara semenanjung, Senoi yang berada di tengah dan Melayu Asli terletak di bahagian selatan semenanjung.

Untuk memberi lebih pengetahuan berkenaan Orang Asli, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah menubuhkan sebuah muzium baru yang terletak di Gombak. Muzium yang terletak di KM24, Jalan Pahang Lama Gombak ini siap dibina pada tahun 1998. Orang ramai boleh mendalami sejarah, tradisi dan melihat koleksi bahan artifak Orang Asli di mana terdapat lebih 1,300 jenis artifak merangkumi 18 suku kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia di muzium ini.

Muzium Orang Asli ini dibuka pada hari Sabtu – Khamis dari jam 8pg – 5ptg dan turut dibuka pada hari Cuti Umum. Masuk adalah percuma dan terdapat ruang meletak kereta yang luas bersebelahan dengan muzium ini, memberi kemudahan kepada sesiapa yang memandu. Maklumat lanjut berkenaan muzium ini boleh didapati di laman sesawang Jabatan Kemajuan Orang Asli di sini.

Kafe Kata Hati

Budaya kopi merupakan suatu yang amat rapat dengan rakyat Malaysia di mana kopitiam merupakan suatu yang tidak asing dan boleh dijejaki sejarahnya sehingga lebih daripada 150 tahun. Budaya ini makin mencengkam kebelakangan ini dengan kehadiran pelbagai kedai kopi dan kafe yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Jika anda berada di sekitar Batu Caves, terdapat sebuah kafe kenit terselit di Kampung Tanguit yang diberi nama Kata Hati. Kafe yang berasal dari Kalijaten, Jawa Timur ini telah mengembangkan sayapnya ke Malaysia pada awal tahun 2022. Mereka menghidangkan pelbagai jenis kopi yang boleh dibawa pulang atau pun dinikmati di kafe tersebut. Antara kopi yang perlu dicuba dan merupakan terhangat dari mereka adalah Honey Citron Coffee, Strawberry Tea dan juga Kopi Kata Hati.

Kopi Kata Hati dibuka setiap hari dari jam 2ptg – 11mlm. Pada hari Jumaat pula, mereka membuka pintu lewat sedikit pada jam 3:30ptg. Maklumat lanjut boleh didapati di laman Instagram mereka di sini dan kepada yang berminat untuk membuat pesanan atas talian, anda boleh lakukan di sini.

Berikut merupakan beberapa tempat menarik yang boleh anda cuba jika berada di sekitar Batu Caves. ambil peluang di hari minggu atau cuti sekolah untuk anda meneroka negara kita yang sememangnya sangat sarat dengan tempat dan aktiviti menarik yang boleh anda lakukan.

Imej Utama oleh Jorge Láscar dari Melbourne, Australia, CC BY 2.0, via Wikimedia Commons

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites