Keris Empire percaya keris keramat

Senjata bangsa Melayu, Keris memang selalu dikaitkan dengan perkara mistik seperti ‘berisi’ atau mempunyai ‘penjaga’. Hal seperti ini membuatkan orang ramai secara umumnya mempunyai stigma terhadap salah terhadap warisan bangsa ini. Namun demikian apakah benar pandangan seperti ini? Atau ada penjelasan lain yang harus diluruskan mengenai perkara ini? Penulis bertandang ke tempat Keris Empire, sebuah perusahaan yang berdagang senjata lama ini.

Oleh AZUWAN AHMAD

Keris adalah sejenis senjata tikam bermata dua yang secara umumnya digunakan untuk mempertahankan diri disamping menjadi sebuah elemen penting dalam busana Melayu lama. Menurut satu sumber, ia dikatakan berasal dari Pulau Jawa dan menyebar ke seluruh Nusantara dan dipercayai telah wujud sejak abad ke-9 berdasarkan gambaran keris yang terdapat di Candi Borubudur. Senjata lama ini mempunyai 3 bahagian mata, hulu dan sarung.

Penulis dengan sifat rasa ingin tahu yang mendalam telah mengembara ke Kuala Kangsar, Perak untuk bertanya-tanya dengan Keris Empire, saudagar ala moden yang aktif berdagang peralatan senjata Melayu terutamanya keris ini. Di Bandar Di-Raja tersebut penulis disambut oleh Rafi Izudin salah seorang daripada dua pengasas perusahaan Keris Empire yang mana seorang lagi adalah abangnya sendiri, Iwan.

Keris Empire berpengalaman menjual pelbagai jenis senajata seperti keris, kerambit dan tombak.

Rafi, 25, menyatakan dengan yakin bahawa misi dan visi Keris Empire adalah semua orang Melayu di Malaysia dapat memiliki keris. Usaha ini tercetus apabila dua beradik ini menyertai sebuah kelab memanah tradisional di Kuala Kangsar dan Iwan mula belajar tentang keris dengan Kumpulan Sunda Bugis di Batu Kurau selain pernah bekerja dengan Kraf Malaya yang juga membuat perniagaan yang sama. Secara tidak langsung, ia telah membawa Rafi untuk turut sama meminati kraf pandai besi Melayu ini.

Bagi Keris Empire, keris adalah lambang identiti bangsa. Rafi menjelaskan ia dapat dilhat dari ‘sampir’ keris tersebut. “Sebab itu kalau kita tengok keris, bentuk sampirnya berbeza. Ada sampir Seri Bulan, Tajung, Ladrang, ada Bugis, Kedah, Tebeng Terengganu, Tebeng Kelantan. Sebab dulu tak ada kad pengenalan. Melalui keris orang kenal kita,” jelasnya. Selain daripada sebagai identiti dan kegunaan sebagai senjata, Rafi memberitahu keris juga alat sebagai pembawa semangat. Dia bercerita dengan teruja, “kalau ada penyamun yang cuba masuk ke dalam rumah dan nampak ada keris, mereka pun jadi gerun. Keris adalah senjata yang berdaulat bukan seperti parang, pisau, kerambit atau panah. Ia bukan senjata sebarangan, bukan untuk main-main. Kita tak pernah dengar orang rompak bank guna keris. Ia adalah senjata yang keramat dan perlu diangkat martabatnya”.

Ramai orang masih percaya bahawa keris ini sesuatu yang dikaitkan dengan hal yang mistik seperti makhluk halus. Keris Empire juga mengakui wujudnya stigma tersebut. “Memang benar terdapat keris-keris tertentu yang mempunyai jin. Tapi tak semua kerna melihat penggunaannya. Orang-orang di zaman dahulu perlu dilihat ilmu tauhid nya bagaimana berbanding dengan orang sekarang. Di laman sosial media kami, kami berusaha meluruskan dan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai perkara ini. Tak semua keris macam tu. Selalunya keris yang ‘berisi’ ini adalah keris yang diperoplehi daripada keturunan. Kalau keris baru memang tak ada lah,” Rafi meluruskan.

Menurut Rafi dalam dunia ini terdapat 4 jenis keris iaitu keris bertarung, keris selit, keris kuasa dan keris hukum. Asal keris pula dapat dilihat daripada sampirnya dimana kalau keris Melayu, sampirnya adalah sampir Semenanjung berbentuk seperti sampan sesuai dengan kata ‘sampir’ yang bererti sampan. “Sampir tajong pula adalah keris kuasa. Ia biasanya digunakan oleh raja di era kerajaan Langkasuka. Ia bukan keris bertarung dan bukan keris perhiasan. Kita dapat lihat pada Yang Di Pertuan Agong juga memiliki sebilah keris tajong yang berwarna putih setiap kali Baginda bergambar. Keris penyalang pula adalah keris hukum yang digunakan untuk menghukum pengkhianat Sultan, agama dan bangsa. Ia akan ditusuk dari tulang selangka hingga menembusi jantung. Hingga ke hari ini kita dapat melihat laksmana di kiri dan kanan Sultan mempunyai keris ini,” ceritanya.

Keris Tebeng Terengganu credit: Keris Empire.

Keris selit pula adalah keris harian atau keris pakaian seperti mana yang sering diguna oleh pengantin lelaki. Satu lagi keris adalah keris bertarung yang selalunya menggunakan hulu ayam patah tiga bagi memudahkan pemegang keris memegang keris dengan lebih kemas supaya tidak terlepas. Bercerita mengenai luk pula, setiap luk mempunyai makna berbeza. “Bilah lurus memang digunakan untuk menikam. Senang masuk dan senang keluar. Selalu digunakan oleh pendekar. Begitu juga dengan keris berluk 3. Keris yang berluk 7 pula sering digunakan oleh orang pandai atau alim ulama’. Keris berluk 9 pula untuk pemimpin dan keris berluk 11 selalunya digunakan oleh saudagar. Luk 13 pula adalah keris kuasa yang selalu digunakan oleh Raja,” ujarnya. Falsafah Melayu lama mengatakan bahawa anak lelaki yang sudah berkhatan mesti mempunyai 2 bilah keris iaitu keris selit dan keris tempur. Barulah dianggap sebagai seorang lelaki Melayu yang lengkap sempurna.

Kualiti besi yang menghasilkan bilah keris pula selalunya adalah campuran daripada besi baja, besi nikel dan besi pamor. Namun ada juga keris yang dihasilkan daripada campuran besi yang bermula dengan hurup ‘Pa’ seperti payung, paku, pahat, pintu, pagar, parang dan pisau. Cara mengambil besi-besi ini juga bukan tindakan yang disengajakan. Sebagai contoh, untuk besi pagar perlulah patah dengan sendiri bukan dipatahkan. Harga keris campuran besi seperti ini juga boleh mencecah RM 2000 ke atas. “Kalau membaca kitab Keris Hang Tuah, keris milik Hang Jebat berpamorkan carita harganya  sebelah negeri. Kena jual sebelah negeri baru dapat keris itu. Keris Taming Sari milik Hang Tuah ada di Istana Iskandariah, Bukit Chandan. Harganya sebuah negeri,” kongsi Rafi.

Berbicara mengenai adab berkeris Rafi mengatakan ia tidak lah terlalu berat namun kalau mahu memegang keris orang lain haruslah ada aturannya. Pesan Rafi;

1. Kalau mencabut keris jangan cabut keduanya. Cabut sarungnya tinggalkan bilahnya.

2. Dalam keadaan aman, hulu keris mesti dihala ke dalam/arah badan.

3. Seboleh-bolehnya jangan melurut bilah. Kalau terluka binasa.

4. Jangan jentik keris milik orang lain. Keris itu adalah simbol maruah pemiliknya.

5.  Jangan letak keris di atas lantai dan jangan dilangkah.

Koleksi yang boleh dimiliki di Galeri Keris Empire, Kuala Kangsar

Dalam bercakap tentang penjagaan keris pula, Rafi sebagai anak muda di zaman ini mengesyorkan supaya menggunakan minyak keris khas yang sudah ada di pasaran. Kalau dulu orang menggunakan limau dan asap kemenyan. Logik Rafi mudah, “dulu keris digunakan untuk berperang. Jadi akan tinggal kesan-kesan darah manusia. Limau nipis digunakan untuk menghilangkan bau hanyir dan kesan dari darah tersebut. Manakala asap digunakan untuk mengeringkannya sementelah besi keris akan mudah rosak kalau dibasuh dengan air.”

Hal seperti ini juga kerap akan menimbulkan fitnah kepada senjata lama ini dek kerana ketidakfahaman banyak orang terhadap keris. “Mana yang perasap keris kalau asyik dipuja-puja dan dipanggil-panggil makhluk halus, datang lah dia. Tapi cuba sambil kita bersihkan keris , kita selawat. Itu lebih baik,” pesannya. Di akhir perbualan, Rafi menyampaikan pesan penting supaya kita memilihara warisan kita ini. Tambahnya, jangan sampai anak cucu kita tidak mengenal adat dan warisan mereka sendiri.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan keris daripada Keris Empire sebagai koleksi boleh sahaja mendapatkannya dalam talian. Anda boleh menghubungi mereka melalui laman Facebook KerisEmpire atau laman Instagram mereka atau boleh hubungi mereka di talian 017-4524231.  

Ikuti kisah-kisah lain yang menarik di Baskl:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites