Siri Seni Langkawi: Ilham Ceramic, sisi seni komersial Radzi Ismail

Menyingkap kisah di sebalik kelahiran Ilham Ceramic – studio seni yang mula dikenali ramai kerana krafnya yang pelbagai dan bengkel seni yang semakin mendapat perhatian, pemilik dan juga artisnya, Radzi Ismail membawa BASKL ke Langkawi untuk mengenali jenama ini dengan lebih dekat.

Oleh NABILA AZLAN

Pengenalan anda kepada karya-karya Ilham Ceramic boleh datang dari pelbagai sumber – mungkin anda yang pernah menjamu selera menggunakan pinggan mangkuknya yang cantik. Mungkin juga anda ternampak perkongsian barangan seramik di laman Instagram – atau tiba-tiba teringin untuk menyertai bengkel seni jenama ini selepas ia tular di media sosial baru-baru ini? “Ada pengunjung yang bercuti ke Langkawi tidak lama sebelum ini dan meminta untuk menyertai kelas seni kami – tahu-tahu sahaja gambar dan video yang diambilnya viral di Twitter!” ulas Mohammad Radzi bin Ismail, artis seramik merangkap pemilik jenama ini.

Seorang anak jati Langkawi yang telah berkecimpung dalam industri ini sejak 12 tahun lalu, Radzi bersyukur atas penularan entri tersebut. “Sekarang ini, sesiapa yang berniat untuk berkunjung ke sini (studio Ilham Ceramic) semuanya nak ambil kelas! Hampir setiap hari saya sibuk dalam mengendalikan kelas ini,” tambahnya. Dengan ini, bertambahlah cabang perniagaan jenamanya yang sebelum ini bertumpu sepenuhnya kepada pembuatan dan pemasaran barangan seni seramik, antaranya perkakas makan seperti pinggan, mangkuk dan cawan, selain perhiasan rumah dan aksesori peribadi. Menurutnya lagi, Ilham Ceramic sering mengambil tempahan istimewa dari syarikat perhotelan, kafe dan restoran, di samping memenuhi kehendak individu.

Radzi tidak asing dari mengajar seni – selepas menerima tawaran mengajar di UiTM Shah Alam, dia bekerja sebagai seorang pensyarah kontrak selama enam tahun. “Bermulalah kerja saya mengajar sambil berkarya dan berpameran,” kata Radzi.

Dia merupakan graduan Reka Bentuk Seramik dan Seni Halus, dengan pembinaan arca sebagai fokus utama. Selepas tamat pelajaran, dia giat mereka arca untuk pameran-pameran seni di Lembah Klang. Jelasnya, “Saya berminat terhadap seni yang boleh disentuh. Dulu-dulu, saya suka melukis tapi bila dah masuk zaman belajar, yang paling serasi dengan saya adalah (seni) seramik. Menggunakan tanah liat, pembuatan bahan seramik bersifat fleksibel; membolehkan saya buat apa sahaja – lekuk, renggang, lurus dan sebagainya.”

“Selepas menyambung pelajaran dalam bidang seni seramik, saya ada sedikit penyesalan,” kata Radzi. “Penghasilannya memang ‘berlemuih’ (comot)! Tak ramai yang datang jauh dari Pulau Langkawi untuk sambung belajar di Shah Alam pada waktu itu.”

‘Ilham’ perniagaan ini timbul di pangsapuri lamanya di Seksyen 24, Shah Alam. Ilham Ceramic dimulakan pada tahun 2010 semasa Radzi tinggal sebentar di negeri Selangor untuk melanjutkan pelajarannya, seterusnya bekerja sebagai pensyarah di UiTM Shah Alam. “Sampailah satu tahap, saya fikir, adakah saya nak menumpukan perhatian terhadap arca, ataupun produk harian?” katanya.

Dari Selangor, dia membawa jenama barunya ke Perak, mula aktif dalam bidang perniagaan dan menetap di sana sehingga tahun 2014. Ilham Ceramic sebenarnya mula hidup dengan penghasilan karya berbentuk arca sebelum beralih kepada produk gaya hidup (lifestyle) sepenuhnya. “Saya rasa pada waktu ini pilihan saya kurang tepat, kerana Seri Iskandar bukanlah tempat pelancongan. Mengikut nasihat pensyarah dan rakan-rakan, saya pulang ke tanah kelahiran saya. Di Langkawi, pelancong kerap datang dan pergi,” cerita artis itu.

Dari tahun 2015 ke hari ini, Radzi mengendalikan perniagaannya di Kampung Bendang Baru di Kuah, Langkawi yang berupa penjualan produk, pengajaran seni melalui bengkel dan yang terbaharu, perusahaan kafe yang dinamakan MakLang sejak hujung tahun 2022.

“Produk arca di Langkawi kurang menerima sambutan. Orang ramai lebih meminati pembuatan cenderahati dan hadiah-hadiah korporat.”

Produk dan proses

“Walaupun tidak lagi berarca, saya masih lagi mengekalkan ciri-ciri yang sama dalam karya seramik saya. Produk-produk saya semuanya buatan tangan,” ceritanya. “Kami di Ilham Ceramic tak ada limit produk – apa sahaja yang mengikut kehendak pelanggan, kami ada. Kami pastikan untuk kawal dari segi kualiti, kuantiti dan reka bentuk.” Menurut Radzi, sekecil-kecil barangan sehinggalah yang bersaiz besar, semuanya ada – selain pinggan mangkuk, ada juga pemberat kertas dan pasu bunga.

Buat pengetahuan pembaca, hasil seramik ini berbeza-beza garis masa penyiapannya berdasarkan jumlah, jenis, saiz produk dan ketebalannya. Disebabkan hasil seramik ini tidak menggunakan mesin dalam proses pembuatannya, “Kami selalu minta pelanggan supaya hormati garis masa pembuatan kami,” kata Radzi. Barangan seramik yang diperbuat di Ilham Ceramic bukanlah berasaskan pengawalan suhu (automatik) seperti di kilang-kilang, sebaliknya bergantung kepada kestabilan suhu bilik. Tambahnya, “Kalau kebetulan hari hujan, proses pengeringan yang patutnya ambil masa dalam tiga atau empat hari akan bertukar menjadi seminggu. Kami memang tak boleh jangka!” Tiada jalan singkat untuk menghasilkan seramik, tambahnya, “Produk seramik ini menggunakan glaze (bahan saduran). Ia wajib mengikut timbangan dalam resepi, dan mesti dibakar sekurang-kurangnya 1230 darjah Celsius selama 12 ke 13 jam.”

Penyiapan jumlah produk dalam sehari bergantung kepada jadual, tenaga dan kepakaran artisan seramik. Buat masa ini, Ilham Ceramic dikendalikan sepenuhnya oleh Radzi, tetapi dari semasa ke semasa dia akan mengambil tenaga kerja sepenuh masa, kadangkala berupa pelatih universiti yang berminat untuk mendalami proses pembuatan barangan seramik.

Apakah tarikan atau ciri estetik yang dibawa oleh jenama Radzi ini? “Sewaktu pertama kali saya pulang ke tanah Langkawi, saya berdaftar dengan Kraftangan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), juga Langkawi UNESCO Global Geopark. Saya diminta untuk menghasilkan barangan yang mencerminkan Langkawi,” katanya yang telahpun melakukan kaji selidik. Tidak mengehadkan inspirasi produk kepada ikon lazim Langkawi seperti burung helang dan Mahsuri sahaja, “Kami cuba ambil kecantikan Langkawi secara menyeluruh. Kalau perhati dengan lebih dekat, warna-warna barangan adalah asli (natural) dan spontan tanpa dikekang, serta menggunakan motif laut dan darat, apa yang ada di sekitar pulau. Ada barangan yang mungkin bercorak floral, juga ada batu karang – warnanya pula biru, hijau dan perang.”

Untuk menjadi pengusaha merangkap artis seramik yang berkualiti, nasihat Radzi, “Ilmu itu penting. Contohnya, sifat tanah liat, cara mengaplikasikan warna, pembakaran seramik dan sebagainya.” Seiring dengan ilmu, tambahnya lagi, “Penting juga minat dan kesabaran. Walaupun apa sahaja cabaran yang dihadapi, orang yang betul-betul meminati seramik akan terus mempraktikkan seni ini. Ada yang berniaga pada masa ini mengikut trend semasa dan tak berapa gemar mengikut proses dan sistem yang ada.”

Perusahaan seni seramik tidak begitu besar di Malaysia, namun ia ada peminatnya yang tersendiri.

Pada pendapat artis ini, “Seni – tidak kira batik, catan mahupun seramik, hari ini dah meningkat menjadi hobi.” Peningkatan minat merupakan pendorong utama industri ini. “Sekarang, lebih ramai orang yang boleh belajar dari artis dan pakar seni secara terus.” Sesiapa sahaja yang bekerja dalam bidang yang bukan berfokuskan seni boleh mendapatkan ilmu dalam bidang ini. Penghasilan barang seramik juga ada elemen terapi; tangan bergerak seiring minda dan mampu melatih daya kreativiti.

Radzi yang sudah lebih sedekad berkarya dalam bidang seni ini baru-baru ini telah giat menghasilkan arca-arca baru, setelah bertahun-tahun tidak terlibat dengan pameran! Dinamakan The Return of The Andaman Warrior, pameran yang diadakan di studio seni Ilham Ceramic ini mengembalikan rasa rindu Radzi terhadap arca kontemporari!

Hayati ekspresi unsur alam gaya Ilham Ceramic – ikuti mereka di Instagram untuk mengetahui lebih lanjut tentang barangan, pameran dan bengkel seni yang akan datang.

Jangan lupa untuk ikuti artikel Siri Seni Langkawi yang lain bersama pereka aksesori, Ash Majid serta artisan produk kayu dan kristal, Uda Saad dan Kamarul Faizy Roslan!

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites