Siri Seni Langkawi: Cantiknya kraf kayu dan kaca di pulau lagenda

Ikuti siri Seni Langkawi setiap hari Rabu, sepanjang bulan ini. BASKL berbual dengan dua orang artisan yang berpusat di Kompleks Kraf Langkawi, Uda Saad dari Kerman Kraf dan Kamarul Faizy Roslan dari Faizy Crystal.

Oleh NABILA AZLAN

Berkeluasan 32 ekar dan dilengkapi Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat dan Perkahwinan, memang tak dinafikan lagi Kompleks Kraf Langkawi memang wajar dijadikan tempat wajib dilawati jika berada di pulau lagenda tersebut! Selain menjadi medium interaktif untuk pengalaman seni yang bermakna, kompleks kraf ini merupakan tempat di mana pelbagai jenis barangan seni tempatan dihimpunkan buat tatapan dan koleksi pengunjung, tak kiralah yang datang dari dalam negara mahupun luar.

Bercakap tentang produk kraf ikonik lagi istimewa, kami sempat berbual dengan dua orang artisan yang sedia berkongsi minat menerusi air tangan seni mereka, iaitu Uda Saad (51), artisan produk kayu dan Kamarul Faizy Roslan (52), artisan kaca kristal. Kedua-duanya merupakan artis yang bertapak di Kompleks Kraf Langkawi dan memperjuangkan seni kraf buatan tangan yang diperhalusi selama bertahun-tahun lamanya. Jom, kenali mereka dengan lebih lanjut!

Kerman Kraf oleh Uda Saad

Bapa dan bapa mertua Uda Saad kedua-duanya bekerja sebagai tukang rumah, jadi dia tidak terasing dengan kecantikan seni dan corak pembuatan rumah tradisional. Dari situ, dia mula mengasah bakat. Dulunya bekerja sebagai seorang mekanik, kerjaya anak kelahiran Langkawi ini sebagai pembuat kraf bermula dengan penghasilan seni sebagai pengisi masa lapang selepas tamat waktu pekerjaan. Dia mula mereka bentuk rokok paip yang menerima sambutan rakan-rakan sebelum mengatur langkah mengukir sarung dan hulu senjata tradisional. Menggunakan bahan mentah dari kayu-kayan terpilih seperti kayu arang bunga, penawar hitam, macang hutan dan sebagainya, produk artisan ini diinovasikan mengikut pasaran dan kehendak pelanggan. Uda sering merujuk laman Facebook dan YouTube untuk memahami peredaran seni masa kini – dia tidak segan mencuba teknik baharu untuk menghasilkan produk yang tampak segar!

Barangan utama yang dihasilkan: “Rokok paip, sarung serta hulu parang atau keris dan tongkat. Bentuk seni yang saya perjuangkan.”

Sebab utama kekal di dalam industri kraf: “Penghasilan kraf sebegini sudah berkurangan, tidak lagi menarik perhatian anak muda sekarang. Melalui hasil kraf inilah bakat dan minat saya dapat ditonjolkan. Saya akan terus berusaha menghasilkan sesuatu yang mungkin membuatkan anak muda teringin untuk mendalaminya.”

Inspirasi rekaan istimewa yang dibawa: “Ramai peminat seni saya terdiri daripada mereka yang amat sukakan senjata tradisional. Mereka akan membuat tempahan sarung dan hulu bercorak bunga kayu dan dedaun unik yang cantik, diukir dengan tangan. Ramai pengumpul keris yang menempah di Kerman Kraf! Ciri-ciri yang membezakan produk kami, penghasilan bentuk hulu yang ada. Kekemasan setiap barangan seni menggunakan kayu akan dihaluskan dan dikilatkan.”

Harapan sebagai anak seni: “Semoga ramai lagi pewaris baru yang akan menghasilkan kraf sebegini pada masa akan datang. Saya berharap agar penghasilan seni tradisional ini dapat dikekalkan agar kanak-kanak Melayu tidak lupa akan seni kraf orang terdahulu.”

Faizy Crystal Glass Blowing oleh Kamarul Faizy Roslan

Tahukah anda bahawa kraf kaca sebegini dikategorikan sebagai kraf terancam? Tidak ramai yang berkecimpung dalam arena ini, inikan pula mencapai taraf kemahiran yang tinggi. Nak menghasilkan produk kaca ini bukannya mudah, lebih-lebih lagi melalui hasil tangan – diperbuat dari silika sebagai bahan mentah, ia perlu dilebur secara teliti pada satu-satu masa sebelum dibentuk menjadi cairan kaca, kemudiannya diberikan ‘personaliti’ kemasan warna-warna indah menggunakan tangan. Mengimbau pengalaman kerjaya yang terbina selama lebih 30 tahun, Kamarul Faizy pernah bekerja sebagai pengurus produksi di Langkawi Cristaal Sdn Bhd selama 7 tahun sebelum mengorak langkah membina perniagaannya sendiri pada tahun 2003. Minat Kamarul Faizy yang mendalam dipupuk melalui pengalamannya di New Zealand. Dia yang bergerak sebagai artis solo pembuatan kaca kristal buatan tangan (hand-blown crystals) sejak pandemic COVID-19, dulunya menimba ilmu di Wanganui Regional Community Polytechnic, New Zealand pada tahun 1990. Dia sempat bekerjasama dengan artis kaca terkemuka, Ola Hoglund (dari New Zealand) dan Bertil Vallien dari Sweden.

Barangan utama yang dihasilkan: “Ada beberapa jenis kategori barangan keluaran saya seperti hadiah dan cenderamata – ada plak kristal, hiasan rumah seperti pasu, lampu, bunga dan juga perhiasan diri seperti rantai dan gelang kristal.”

Sebab utama kekal di dalam industri kraf: “Selain memberi pulangan yang baik, saya mempunyai minat yang mendalam, ditambah pula galakan dari pelanggan. Para pelanggan saya terdiri daripada pelbagai latar belakang – pihak kerajaan, sektor korporat, ada juga pihak swasta dan individu yang meminati produk saya.”

Inspirasi rekaan istimewa yang dibawa: “Saya banyak mengambil motif flora dan fauna, dibentuk juga mengikut gaya dan citarasa tempatan melalui pilihan warna, bentuk dan corak.”

Harapan sebagai anak seni: “Agar ada yang dapat meneruskan perusahaan ini dengan lebih berjaya. Saya amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menghantar pelajar ke tempat saya agar kemahiran ini tidak lenyap.”

Lihat sendiri hasil kraf lain dari Uda Saad (Instagram Kerman Kraf) dan Kamarul Faizy Roslan (Instagram Faizy Crystal)!

Jangan lupa untuk ikuti artikel Siri Seni Langkawi yang lain bersama artis seramik, Radzi Ismail dari Ilham Ceramic dan pereka aksesori, Ash Majid!

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites