‘Seni Untuk Semua’: Pengayaan seni 30 minit, teman tenaga pengajar dan ibu bapa

Rancangan baru sebagai pelengkap dan pemudah cara para guru dan ibu bapa untuk menerapkan nilai-nilai baik melalui seni!

Oleh NABILA AZLAN

Rancangan Seni Untuk Semua (SUS) yang dirakam pada Ogos 2021 menampilkan barisan seniman dan tenaga pengajar dari pelbagai cabang seni – antaranya seni visual, persembahan, muzik dan kraf sudah sedia menanti anda! Saksikannya di saluran RTM1 bermula 10 April 2022!

Lihat jadual penuh kesemua 16 episod di sini.

Program ini direka untuk mendekati bukan sahaja kanak-kanak dan golongan muda dengan kandungan seni yang dinamik, tetapi juga seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat.

Penulis sempat berbual bersama hos rancangan, Nazrudin Habibur Rahman yang mesra disapa Naz, di hari kelima penggambaran tentang pengalamannya di set dan serba sedikit mengenai pengisian SUS.

“Setiap warga seni yang tampil ke set membawa sesuatu yang baru. Saya yang menganggap diri saya sebagai pelajar seumur hidup memang mengambil kesempatan ini untuk mengenal mereka,” kata Naz. “Inilah kandungan (content) yang anak-anak kita perlukan. Saya akui, kepincangan rancangan yang mengetengahkan pendidikan seni kaya dengan pengisian budaya dan warisan. Barisan artis di SUS terdiri daripada seniman yang memperjuangkan seni kontemporari dan tradisional.”

Naz yang juga bapa kepada tiga orang anak berusia 12, 10 dan 8 tahun berpendapat bahawa rancangan ini memang sesuai untuk merapatkan hubungan seisi keluarga.

Adakah rancangan ini mampu membantu menyalurkan didikan seni komprehensif? Selain Naz, BASKL juga sempat menemu ramah sebahagian barisan artis yang terlibat dengan rakaman ini.

Atas perkongsian mereka semua, dapat kami rangkumkan sedikit nota buat ibu bapa dan pendidik dalam meningkatkan penerapan pelajaran seni di samping menggunakan SUS sebagai alat bantu:

Naz bersama artis kirigami, Mimi Salleh dan rakan-rakan seni di set.
  • Usah takut untuk memperkenalkan cabang seni baru kepada anak-anak.

“Biarkan mereka berseronok dalam seni! Lihat semuanya dari sudut kreatif.” – Ayie Ibrahim, Creatvtoon Academy

  • Galakkan aktiviti terlebih dahulu tanpa risau kesalahan dalam teknik. Bina jati diri mereka.
  • Terapkan nilai variasi atau kepelbagaian. Contohnya, sesuatu tarian dan lukisan boleh wujud dalam pelbagai aturan, bentuk dan durasi tanpa terikat kepada hanya satu cabang sahaja.
  • Gunakan kaedah bercerita atau storytelling.
  • Padatkan pengisian kreatif.

“Kanak-kanak mudah bosan atau beralih perhatian jika durasi sesebuah sesi terlalu lama. Jadi selang-selikanlah dengan cerita dan teka-teki.” – Mimi Salleh

  • Aktifkan imaginasi mereka melalui galakan penceritaan dan sesi berkongsi dari setiap sudut, misalnya warna, bentuk dan bayangan seni yang dipelajari. Isian minda setiap individu berbeza!
  • Manfaatkan bahan kitar semula dalam pengayaan seni (salah satu tema utama SUS!). Dengan cara ini, audiens tidak kira latar belakang lebih bebas mereka cipta.
  • Lakukan aktiviti seni bersama kanak-kanak atau para pelajar.
  • Gunakan seni sebagai alternatif untuk pengajaran subjek yang lain.

“Bagi para pendidik yang bukan dari arus pengajaran seni seperti sains atau matematik, gunakanlah boneka di dalam kelas untuk suasana yang lebih ceria! Kadang-kadang subjek ‘serius’ boleh diajar melalui kaedah luar kotak.” – Malin Faisal, SIAPA Theatre

Lagi artikel berkaitan Seni Untuk Semua:

Peluang seniman Malaysia untuk menyinar

Senarai kelas TV penuh Seni Untuk Semua

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites