Mimi Salleh akui seni guntingan kertas ‘Kirigami’ menjadikan idea penulisan lebih menarik dan mudah difahami

Seni guntingan kertas 'Kirigami' yang inovatif dan kreatif mampu menarik minat pembaca.

Oleh DANNY ADAM

“Dalam prinsip seni lukisan ini saya memegang tiga prinsip iaitu melibatkan imaginasi, inspirasi dan inovasi.” Itulah yang menjadi pegangan Mimi Salleh, 47 tahun yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan buku kanak-kanak dan majalah. Minat yang mendalam dalam bidang penulisan membuatkan Mimi terus meneroka mencari peluang dan hala tuju dalam dunia penulisan ini.

Tidak pernah terlintas dalam benak fikiran Mimi anak jati Kuala Lumpur ini menggabungkan minatnya dalam bidang penulisan dan seni sehingga terhasilnya teknik kirigami untuk menghasilkan buku cerita kanak-kanak menjadi lebih menarik. Mungkin ramai di luar sana tertanya-tanya apakah kirigami ini dan bagaimanakah cara kirigami ini dihasilkan?

Menyedari tahap pemahaman dan pendedahan masyarakat mengenai kirigami di negara ini masih belum meluas, Mimi memberanikan diri menggunakan teknik kirigami sebagai ‘penambah rasa’ yang lebih menarik dalam penceritaan buku kanak-kanak.

“Kirigami adalah seni guntingan yang berasal daripada perkataan Jepun iaitu ‘kiri’ (digunting/dipotong) dan ‘gami’ (kertas). Kebiasaanya sekeping kertas akan dilipat dua atau beberapa kali sebelum digunting. Apabila digunting ia akan menghasilkan potongan bentuk simetri iaitu bentuk dan ukuran yang sama,” katanya.

Jelas Mimi lagi, perkataan kirigami ini dipopularkan di Barat oleh individu yang dikenali sebagai pembuat dan penulis buku origami prolifik iaitu Florence Temko pada tahun 1962. Ketika itu, penerbitnya meminta Florence menghasilkan buku mengenai guntingan kertas selepas mendapat penjelasan daripada perunding Jepun ketika itu.

“Saya mula aktif dalam bidang penulisan sejak tahun 1998 lagi tetapi pada tahun 2016 saya membuat keputusan ingin beralih arah menjadi penulis buku kanak-kanak. Bermula dari situ saya mula melakukan kajian demi kajian untuk melihat skop dalam penulisan buku kanak-kanak.”

“Bukan mudah untuk menjadi penulis buku kanak-kanak kerana cara penulisan dan gaya bahasa yang digunakan perlulah sesuai supaya mereka mudah faham dan tertarik dengan bahan bacaan itu,” katanya.

Bagaimanapun, untuk menjadi penulis buku kanak-kanak yang berjaya, Mimi menggunakan pendekatan sebagai “story-teller” (pencerita) kepada kanak-kanak. Baginya, untuk menghasilkan buku kanak-kanak ini, sentuhan jiwa juga perlu dihayati dan dirasai. Apabila menyampaikan cerita itu dengan cara bercerita, kita dapat melihat sendiri reaksi kanak-kanak ini sama ada mereka memahami atau tidak dengan cara penulisan buku tersebut.

Selain itu dalam usaha mencari kelainan dalam penulisan buku cerita kanak-kanak, Mimi turut menyertai kelas buku pop-up atau buku yang ‘bergerak-gerak’ dengan menggunakan lipatan kertas. Dengan ilmu dan kemahiran yang diperolehinya itu, Mimi cuba untuk mengajar kepada kanak-kanak tetapi menggunakan teknik atau elemen kirigami.

“Kirigami mempunyai elemen yang membolehkan kertas ‘pop’. Caranya masih sama iaitu bergerak pada lipatan (fold) tetapi tidak perlu membuat tampalan mountain fold atau A-fold atau lipatan yang memerlukan ukuran. Teknik kirigami ialah asas pop-up kerana ia lebih mudah diolah untuk menjadikan hasil buku kelihatan lebih menarik.”

“Sebab itu dalam prinsip seni ini, saya menggunakan prinsip imaginasi, inspirasi dan inovasi. Kebebasan untuk menggunakan imaginasi yang membolehkan kanak-kanak berfikir mengenai apa yang dilihatnya manakala inspirasi adalah hasil yang dilihat daripada imaginasi. Bagi inovasi pula ia adalah gabungan daripada imaginasi serta inspirasi untuk menjadikan hasil lukisan itu kelihatan lebih kreatif dan menarik,” katanya lagi.

Sehingga kini, Mimi hanya menggunakan keratan kertas yang dijadikan kirigami ini sebagai modul dalam penulisan dan pengajarannya kepada kanak-kanak. Malah guru-guru serta ibu bapa juga turut berminat untuk menyertai kelas yang dianjurkannya dengan menggunakan kaedah kirigami yang dilihat mampu menarik minat kanak-kanak untuk membaca sekaligus dapat melahirkan generasi yang kreatif dan inovatif.

“Saya ada membuat kelas secara dalam talian dengan harga antara RM30 hingga RM99. Saya dapati ini adalah salah satu pendekatan yang dapat menarik minat mereka yang baru mengenali dunia buku kanak-kanak untuk mempelajarinya dengan cara mudah dan berstruktur.”

Mimi tidak menyangka minatnya dalam bidang penulisan ini dapat diterjemahkan dalam bidang seni lukisan juga. Ternyata kombinasi penulisan dan seni yang dihasilkan membuatkan beliau lebih tertarik untuk mendalami kedua-dua bidang ini secara serius sebagai sumber pendapatan.

“Sebenarnya bidang seni ini sangat luas, banyak cabang yang boleh kita buat melalui penghasilan seni. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggunakan seni dan bakat yang dimiliki. Saya pun tidak menyangka bahawa bidang penulisan yang saya ceburui sebelum ini rupa-rupanya secara kebetulan ada kemahiran seni yang boleh saya pelajari dan gunakan untuk kebaikan orang ramai,” katanya.

Mimi turut menjelaskan walaupun pandemik COVID-19 melanda negara ketika ini namun beliau bersyukur kerana rezekinya dalam bidang penulisan menggunakan seni kirigami ini masih boleh bertahan dan berjalan seperti biasa.

“Memang benar zaman pandemik ini ramai orang terjejas pendapatannya tetapi saya bersyukur kerana dengan kelas dalam talian yang saya lakukan, saya tidak menyangka rezeki Allah berikan kepada saya masih sama seperti sebelum ini.”

“Ini membuktikan bahawa usaha yang dilakukan dan bakat yang dimiliki ini, saya gunakan sebaik mungkin. Jadi saya berharap sangat kepada mana-mana rakyat yang terjejas segera cari peluang, cari kebolehan diri yang ada dengan melakukan sesuatu melalui penghasilan dalam bidang seni kerana skopnya sangat luas. Jika anda tidak mencubanya anda mungkin tidak tahu sejauh mana kemampuan diri sendiri,” katanya.

Sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Mimi Salleh, anda boleh layari laman sosial media miliknya Instagram Facebook Youtube dan juga Kelas Online oleh Mimi Salleh.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites