‘Seni Untuk Semua’: Peluang seniman Malaysia untuk menyinar

Program Seni Untuk Semua (SUS) sediakan cabaran dan dorongan ke arah pengajaran seni yang segar lagi berkesan buat para artis dan kru penerbitan.

Oleh NABILA AZLAN

Selama enam hari di bulan Ogos 2021, barisan artis dan pengajar seni terpilih meluangkan masa mereka di set penggambaran Seni Untuk Semua (SUS) di bawah arahan Wildsnapper TV.

SUS yang menyediakan pendidikan seni secara santai dan merangkumi pelbagai cabang seni seperti seni visual, pentas, muzik dan kraf merupakan usaha baru CENDANA untuk merapatkan jurang seni dengan masyarakat, terutamanya golongan muda dan kanak-kanak. Dalam masa yang sama, program ini mampu melebarkan sayap seniman tempatan dalam pengajaran dan penerapan seni dengan lebih luas.

Penulisan berlandaskan impian

Penulis program TV yang akan ditayangkan menerusi saluran TV1 RTM ini tidak lain tidak bukan dikarang oleh Zabrina Fernandez, pengarah dan penerbit berpengalaman lebih dua dekad di dalam industri filem dan televisyen. Selaku pengasas Wildsnapper TV dan anak seni yang mempunyai pengalaman bekerja bersama Disney Channel pada tahun 2017, dia mempunyai wawasan yang besar dalam mencipta program seni tempatan yang mampu menarik minat seisi keluarga.

Kata Zabrina, “Sebagai seseorang yang berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada beberapa buah program TV kanak-kanak, juga sebagai seorang ibu, saya memang gemarkan program seperti ini. Saya membesar dengan rancangan Sesame Street yang merupakan cantuman pendidikan dan seni hiburan, tentunya saya rasa hebat untuk kita hasilkan lebih rancangan sepertinya di Malaysia.”

Misinya serta kru rakaman dan penerbitan bersama rakan artis adalah besar. Usaha melonjakkan rancangan TV berunsurkan nilai-nilai tempatan ada cabarannya sendiri. Selain menarik minat segenap masyarakat untuk menyaksikan sesuatu yang baru, tanggapan umum terhadap kualiti hasil kerja anak seni kita haruslah diubah terlebih dahulu. Saluran atau platform sesebuah rancangan tidak seharusnya dijadikan cerminan kualiti sesebuah rancangan.

“Saya dan hos rancangan ini, Nazrudin Rahman (Naz), ada berbual tempoh hari di set. Kami berdua memang tidak pasti jumlah sebenar anak seni di Malaysia pada ketika ini. Namun saya pasti, setiap seorang daripadanya ada peranan masing-masing untuk menaikkan budaya seni negara,” katanya lagi. “Inilah pentingnya pendedahan terhadap artis Malaysia.”

Bitarakan seni tempatan

Ayie di balik tabir SUS bersama Naz dan rakan seni mereka.

Salah seorang artis yang terlibat dalam pembikinan SUS adalah Mohamed Khairi Ibrahim yang mesra disapa sebagai Ayie. Seorang pereka dan penulis animasi, juga pengasas Creatvtoon Studio, dia berpendapat bahawa rancangan seperti ini penting untuk mempamerkan perjuangan anak seni tempatan. “Beginilah cara untuk kenal orang-orang seni kita. Ia juga saluran yang baik untuk kanak-kanak di mana jua mereka berada di Malaysia, untuk kenal pelbagai cabang seni,” jelasnya.

Dia yang juga pensyarah sambilan di Fakulti Filem dan Animasi di UiTM amat menitikberatkan pengetahuan asas animasi, lebih-lebih lagi yang meminati cabang seni ini dan berhasrat untuk mempeloporinya sebagai sebuah kerjaya. Baik secara atas talian atau melalui kaca TV, dia merasakan bahawa interaksi tenaga pengajar seni di Malaysia dengan masyarakat amat diperlukan, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan nafas seni tempatan. Kata Ayie, “Kreativiti adalah hasil kemahiran, bakat dan kesabaran.” Penerapan budaya sendiri melalui animasi dapat diterapkan melalui rancangan seperti ini.

Sahut cabaran mengajar melalui kaca TV

Malin Faisal dan Helena Foo, pengasas bersama SIAPA Theatre (School of Improvisation, Acting and Puppetry) merangkap tenaga pengajar seni persembahan kanak-kanak mengambil peluang ini untuk mengembangkan bukan sahaja pengaruh seniman tempatan di dalam industri seni tempatan, tetapi ilmu di dada untuk mempersiapkan diri ke arah pengajaran dinamik. Mereka yang berbakat dalam pelbagai bentuk seni, misalnya drama dan teater, pembuatan kraf, persembahan menggunakan patung, dan menjugel (juggling) sudah biasa mengajar kanak-kanak secara terus (fizikal) tetapi merasakan bahawa pengajaran melalui skrin ada cabarannya yang tersendiri.

“Bercakap tentang teater, sukar untuk kami bawakan pendedahan ini kepada umum kerana sebelum ini, hanya penonton yang hadir ke acara persembahan kami yang dapat menyaksikannya,” kata Foo. Dengan SUS, dia dan Malin dapat berinteraksi dengan peminat baru seni itu. Mereka berdua saling mengajar di atas talian atas desakan pandemik COVID-19, namun pembawaan ini ke kaca TV lain caranya. Ulasnya lagi, “Pengarah (Pikky Lim) berusaha membimbing kami untuk beraksi di set. Sebelum penggambaran lagi, kru menolong kami untuk memilih patung mana yang sesuai untuk segmen yang kami bawakan.”

Kata Malin, “Mengajar siapa sahaja, terutamanya kanak-kanak bukan mudah! Kami belajar untuk hasilkan kandungan yang padat dengan masa yang lebih singkat supaya tiada yang bosan sepanjang sesi berlangsung.” Penghasilan konten yang realistik, relevan dan bervariasi menjadi tunjang SUS.

Jangan lepaskan peluang anda untuk menghasilkan seni bersama seisi keluarga!

Lagi artikel berkaitan Seni Untuk Semua:

Pengayaan seni 30 minit, teman tenaga pengajar dan ibu bapa

Senarai kelas lengkap

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites