Seni imersif untuk semua bersama iNyala

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Bertempat di tingkat bawah Atrium Fahrenheit88, anda kini boleh menyaksikan ‘pixelscape’ dengan lebih 17 karya seni instalasi dan digital bersempena pameran seni imersif iNYALA 2022. Bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), instalasi ini dapat membawa pengunjung ke dalam terowong digital dan kiub-kiub digital disekelilingnya.

“Tema tahun ini berfungsi sebagai ruang bagi pengunjung kami untuk berhenti sejenak dan memerhati setiap perkembangan dan kemajuan negara kita, khususnya mengenai SDG dan kepentingan untuk memahaminya sementara kita bangkit dari pandemik. Saya berharap keseluruhan format baharu iNYALA dalam bentuk seni generatif dapat diselami dan membawakan dialog yang berinspirasi serta membolehkan rakyat Malaysia membayangkan cara berfikir baharu dan melakukan perubahan positif demi dunia yang kita diami,” kongsi Helios Loo, Pengasas iNYALA.

Instalasi yang melebihi 3,392 kaki persegi ini sememangnya dapat menghidupkan suasana technicolor, sebuah bentuk simetri dan karya seni digital tanpa haddi tengah-tengah ruang Fahrenheit88 buat tatapan pengunjung untuk merasai keunikan seni ini disamping bergambar bersama rakan dan keluarga.

Dengan menggunakan sistem modular, ‘PIXELS’ atau rangka kotak instalasi ini merupakan karya Jun Ong. Material yang digunakan hanyalah kadbod dan pemasangan ini direka berbentuk ‘pixelscape’ yang mempunyai urutan atau susunan yang berliku membolehkan kita melihat piksel dengan skala atau dimensi yang berbeza.

Gambar sekitar pelancaran Beyond Light.

Manakala taburan setiap satu kiub pula membawakan satu sisi digital yang berbeza untuk kita amati dan terokai sendiri di sini.

“Karya seni ini bertujuan untuk mencerminkan dan membayangkan semula bagaimana manusia boleh berubah dalam menghadapi kesan perubahan iklim melalui kaedah seperti menggunakan bahan semula jadi dalam pembuatan mampan sebagai sebahagian daripada penyelesaian,” kongsi Kaoru Tanaka tentang kubiknya ‘Glowing Plants’.

Kongsi LIE pula tentang ‘Vivid Dreams’, “SDG ialah usaha berterusan untuk mencapai masa depan yang lebih baik dan mampan. Kenyataan tersebut dihidupkan dengan mencipta semula ikon Matlamat Pembangunan Mampan dalam bentuk gerakan abstrak. Pergerakan berirama lampu mewakili perjalanan yang berterusan ke arah matlamat; dan kesinambungan impian yang kita boleh capai bersama untuk masa depan yang mampan”.

Selain daripada dua artis ini, instalasi ini juga merupakan hasil gabungan kreatif pelajar-pelajar dari pusat pengajian tinggi tempatan seperti dari Universiti Malaya, Akademi Seni DASEIN, Universiti Multimedia dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang serta artis lain seperi FabU.

Bagi anda yang berminat untuk menikmati keunikan instalasi ini anda boleh masuk melalui pintu utama pusat beli belah dan instalasi ini akan kelihatan tersergam di tengah-tengah ruang utama. Jangan lepaskan peluang kerana Anda juga boleh layari Instagram, Facebook dan laman sesawang mereka untuk maklumat lanjut.

Anda juga boleh mengikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites