ReFest 2023 oleh 3R Media hadir bagi memerkasakan wanita dan komuniti dengan acara dua hari di GMBB, KL

Oleh DANIAL FUAD

Pasti ramai yang ingat rancangan televisyen sekitar tahun 2000 yang diberi nama 3R. Rancangan yang mengetengahkan isu wanita ini diasaskan 3R Media di bawah kelolaan Datin Paduka Marina Mahathir dan juga Lina Tan. Walaupun rancangan tersebut sudah tidak bersiaran lagi, tetapi 3R Media terus dengan pemerkasaan wanita dengan pelbagai aktiviti seperti menganjurkan bengkel, menghasilkan video dan bekerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan, kedutaan, syarikat korporat dan perniagaan yang dijalankan oleh wanita.

Sehubungan dengan itu, organisasi tersebut kini tampil dengan acara terbaru mereka, ReFest 2023: Engage & Empower. Bakal berlangsung pada Mar 11 dan 12 di The Grey Box, GMBB Bukit Bintang, pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi orang ramai menyambut Hari Wanita Antarabangsa (yang berlangsung pada 8 Mac). “Tema Engage (penglibatan) dan Empower (pemerkasaan) ini digunakan tahun ini untuk mengalakkan orang ramai hadir dan mengetahui apa yang mereka boleh buat untuk mendorong kesedaran sosial dan perubahan,” ujar Datin Paduka Marina Mahathir.

“Kita ada ceramah tentang kanser payudara dan juga reruai yang memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma. Sebagai seorang bekas penghidap kanser payudara, saya selalu memberi nasihat tentang kepentingan memahami badan sendiri untuk mengesan kanser dengan lebih awal,” ujar Lina Tan yang merupakan pengasas bersama dan juga pengarah 3R Media.

Acara yang bermula daripada jam 11pg sehingga 7ptg ini sarat dengan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kewanitaan. Terdapat forum berkenaan seni untuk aktivisme oleh Zunar, Yante Ismail dan Faizati, ceramah tentang mengendali perniagaan oleh Hailey Yong, Aveena Devi dan Louise Chu, dan bengkel oleh Claire Organics, Unsura Studios, Museum of Picture Book Arts dan juga Napthali 7 Art Studio.

Selain daripada itu, terdapat juga persembahan oleh seniman wanita seperti Karen Nunis, Billie Blue dan juga Ally Lew di samping sesi hentam puisi oleh Nana, Effa, Qamariani, Kanchana Sirikit, Swit Marie dan Rozhana Azra. Bazaar yang disertai oleh 26 reruai daripada pelbagai perniagaan yang dijalankan oleh wanita, perusahaan sosial dan Badan Bukan Kerajaan juga berlangsung sepanjang hari.

“Program kami dipilih susun supaya orang ramai boleh mendidik diri sendiri dan beramah mesra dengan pelbagai pertubuhan yang melakukan bermacam aktiviti daripada perusahaan sosial sehinggalah perjuangan hak wanita,” ulas Marina lagi. “Dan yang paling penting, masuk adalah percuma,” tambahnya lagi.

3R Media bersemangat terhadap pemerkasaan wanita untuk mencabar dan mengubah keadaan hidup mereka dan komuniti; melalui acara ini, diharap orang ramai bakal lebih memahami apa yang mereka boleh lakukan. ReFest 2023: Engage & Empower berlangsung selama dua hari di The Grey Box, GMBB Bukit Bintang dan tiada caj dikenakan untuk hadir ke acara tersebut. Maklumat lanjut tentang acara dan juga jadual boleh didapati di laman Facebook 3R Malaysia.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites