Pemantapan identiti Nor Tijan Firdaus dalam ‘Seek’

'Seek' oleh Nor Tijan Firdaus mempersoalkan perihal pembaziran dalam gaya hidup konsumerisme.

Oleh DANIAL FUAD

Pertama kali aku terserempak dengan karya Nor Tijan Firdaus adalah pada pameran Young & New 2017 di HOM Art Trans. Pada ketika itu, beliau menghasilkan semula potret-potret dari Dato’ Mohd Hoessein Enas; secara khususnya Gadis Melayu, Javanese Girl dan juga Minah. Karya Hoessein Enas diciptakan semula bukan dengan gaya konvensional, tetapi dihasilkan dengan bahan buangan yang dilekatkan di atas kayu untuk menjadi potret.

Menghasilkan karya after atau pun penghasilan semula karya-karya seniman tersohor sering menjadi langkah seniman-seniman baru dalam pencarian identiti mereka. Ia merupakan suatu perkara yang penting dalam seni dalam usaha untuk menjadikan seseorang itu lebih menyerlah, tambahan lagi dalam lautan seniman-seniman baru yang muncul di era globalisasi ini.

Aku ada juga mengikuti perkembangan Tijan semenjak dari itu kerana karya-karyanya menarik minatku, tambahan pula beliau sering turut serta dalam pameran-pameran sekitar Lembah Klang. Masih lagi dengan penghasilan karya after sehinggalah kemuncaknya pada pameran tunggal pertamanya, New Formal pada tahun 2021 di Core Design Gallery. Dalam pameran tersebut, Tijan menunjukkan kemahirannya dalam mengendalikan bahan-bahan buangan terutamanya sisa elektronik yang diperoleh dari pusat kitar semula.

Ketika itu, aku tertanya-tanya ke mana arahnya Tijan mahu pergi seterus ini kerana setakat masa itu beliau masih lagi menghasilkan karya after. Tidak dapat aku jangka ke mana hala tujunya ketika itu, namun aku dapat tahu bahawa ketika itu perjalanannya berada di persimpangan; jika tidak dibawa dengan betul, beliau mungkin akan tenggelam.

Setelah melihat pameran terbaru Tijan, Seek yang berlangsung juga di Core Design Gallery pada bulan Februari lalu; dapat aku rumuskan bahawa beliau telah berjaya membawa karya-karya ke peringkat seterusnya. Kini, Tijan telah membebaskan dirinya daripada karya-karya lampau dengan menghasilkan karya asli yang tersendiri. Menurut Tijan, beliau lebih tergerak untuk mendalami bahantara sisa elektronik ini semasa menyambung pelajarannya ke peringkat Sarjana. Pada ketika ini, beliau yang baru sahaja berkeluarga mendapati bahawa sisa-sisa daripada pakaian serta permainan kian menimbun.

Perkara tersebut telah menimbulkan persoalan tentang konsumerisme yang memantapkan lagi pengkaryaan Tijan. Pembebasan dirinya daripada karya after boleh dilihat semenjak selesai pameran New Formal beliau di mana terdapat bibit-bibit anti-konsumerisme dengan penghasilan karya seperti Full Time Job dan Problem of Self-Control yang dipamerkan di G13 Gallery pada tahun 2021.

Jika sebelum ini karya-karya Tijan lebih memfokuskan dalam lingkungan kotak, beliau mula membebaskan dirinya dan menghasilkan karya yang lebih bersifat organik. Antara karya yang aku rasa antara yang terbaik setakat ini adalah siri Caution beliau yang dipamerkan pada pameran Spice pada tahun 2022. Penggunaan warna dalam karya-karya ini sangat menyerlah dan komposisi yang dihasilkan juga sangat menarik sehingga membuat aku lupa yang karya ini dihasilkan dengan hanya warna asal komponen-komponen komputer.

Sebanyak 10 buah karya telah dihasilkan untuk pameran tunggal Tijan yang paling baru ini dan kesemua karyanya sudah tidak berada dalam kotak. Sebanyak tujuh buah karya dihasilkan dengan bentuk watak hantu daripada permainan video Pac-Man. Ini merupakan sebuah komentari Tijan terhadap konsumerisme di mana dalam permainan video itu, para pemain akan mengawal Pac-Man untuk memakan titik-titik sambil dikejar hantu.

Dibandingkan dengan karya Tijan pada permulaan, kini dapat dilihat Tijan makin mahir dalam pengendalian bahantara sisa elektronik ini. Karyanya yang semakin terperinci dan kompleks membuatkan penghayatan karyanya berpanjangan; bermula dengan penghayatan bahantara, kemudian estetik dan seterusnya, mesej yang ingin disampaikan.

Komposisi karyanya juga semakin mantap kerana Tijan bukan sahaja menghasilkan permandangan, malahan karya berbentuk bunga seperti bunga matahari dan juga bunga raya. Selain daripada sisa elektronik, terdapat juga karya yang dihasilkan melalui sisa plastik terutamanya permainan dan cara ini mengembangkan lagi persoalan tentang konsumerisme dalam kehidupan seharian.

Pameran Seek ini pada pendapat aku mampu menunjukkan perkembangan Tijan dalam pengkaryaan. Walaupun hanya tiga tahun berlalu semenjak pameran tunggal beliau, perkembangan yang ketara dapat dilihat dalam perjalanan senimannya. Boleh aku katakan, beliau berjaya membawa dirinya ke peringkat yang seterusnya dalam mengembangkan bukan sahaja penggunaan bahantara, malahan dalam penyampaian mesej tentang konsumerisme dalam karyanya.

Seek telah berlangsung pada 1 – 26 Feb 2024 bertempat di Core Design Gallery di alamat Lot 72027, Jalan SS16/1, Ss 16, 47500 Subang Jaya, Selangor. Kepada yang berminat untuk membaca penulisan tentang pameran ini, maklumat lanjut tentang pameran ini serta ada laman sesawang Core Design Gallery dengan mengikut pautan ini.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites