Dalam kita menyambut ketibaan bulan Ramadan yang penuh barakah, BASKL mengimbas keindahan tujuh buah masjid di Malaysia.
Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI
Bersamaan 23 Mac 2023, tarikh 1 Ramadhan telah menjelang tiba bagi tahun 1444 Hijrah. Seperti sebelumnya, umat Islam di Malaysia akan bersama-sama mengimarahkan masjid di kawasan masing-masing dalam mencari kenikmatan dan kesempurnaan iman yang bakal menjadi bekalan di akhirat kelak. Dalam kita mencari sumber pengisian rohani, kita juga tidak lupa untuk menikmati keindahan masjid-masjid yang terdapat di negara kita ini. Terdapat banyak masjid tempatan yang memukau mata dek kecantikannya yang luar biasa, sebab itulah kali ini BASKL ingin menyenaraikan antara tujuh masjid yang tercantik di Malaysia seterusnya bakal menjadi tumpuan umat Islam untuk beribadah sepanjang bulan ini.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor
Masjid yang terbesar di Malaysia dan terletak di Shah Alam ini dibina pada tahun 1988 dan mampu memuatkan 24,000 orang jemaah pada satu-satu masa. Sewaktu Shah Alam dinamakan sebagai ibu kota Selangor yang baharu pada tahun 1974, Sultan Selangor ketika itu iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah menitahkan agar sebuah masjid dibina di Shah Alam. Pada waktu masjid ini siap dibina, menara masjid ini telah tersenarai sebagai menara masjid tertinggi di dunia di dalam rekod dunia Guinness.
Masjid Bandaraya, Sabah
Masjid yang terletak di persisiran pantai Likas di Kota Kinabalu ini merupakan pusat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Mampu memuatkan seramai 12,000 orang jemaah, ia hanya dibuka kepada orang ramai sejak tahun 2000. Walaupun projek pembinaan masjid ini telah bermula pada tahun 1989, masalah kewangan dan penimbusan tanah pantai menjadi antara kekangan yang perlu dilalui. Susulan pengiktirafan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya, masjid ini dibuka secara rasminya.
Instagram: perkaphoto Instagram: egregiousuk Instagram: ariel_fredsbh Instagram: romanwarrior77 Instagram: gorka_rekalde Instagram: alysiajbishop Instagram: madeleinedeler Instagram: schutters.eu
Masjid Sultan Abu Bakar, Johor
Berusia lebih 100 tahun, Masjid Sultan Abu Bakar terletak di atas sebuah bukit di Johor Bahru yang memperlihatkan Selat Tebrau dan Singapura. Pembinaan masjid ini telah bermula pada tahun 1892 dan telah membuka pintunya secara rasami pada tahun 1900. Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim, telah memberi nama masjid ini sempena dengan ayahanda baginda iaitu Sultan Sir Abu Bakar Daeng Ibrahim. Masjid negeri ini mampu memuatkan seramai 3,000 orang jemaah pada satu-satu masa.
Instagram: komarjohari Instagram: sitiraiza Instagram: true_asia_media Instagram: azaim.hasidi97 Instagram: kaiba_matsu Instagram: isma_adleena Instagram: aliffakmalhimself Instagram: zah8
Masjid Zahir, Kedah
Dibina di atas tapak sebuah masjid kayu yang lama, masjid ini berada di sebelah tanah pusara pejuang-pejuang yang mati syahid ketika perang antara Kedah dan Siam pada tahun 1821. Masjid negeri Kedah ini terletak di tengah-tengah bandar Alor Setar dan siap dibina pada tahun 1915. Sewaktu upacara perasmian masjid ini pada hari Jumaat 6 Zulhijjah 1333H bersamaan 15 Oktober 1915, Sultan Kedah pada ketika itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah sendiri yang telah mengimamkan solat Jumaat. Keunikan kubah masjid ini pula ada pada kubah utama berwarna hitam yang dikelilingi oleh lima kubah kecil yang melambangkan lima rukun Islam.
Instagram: davidwu95 Instagram: kdkonah Instagram: nahar Instagram: mtnaught Instagram: kengishima Instagram: jvrixj94 Instagram: zulfadhlyzulkafly Instagram: affacino
Masjid Tengku Tengah Zaharah, Terengganu
Masjid ini lebih dikenali sebagai masjid terapung di kalangan warga tempatan dan telah siap dibina pada tahun 1994. Dinamakan sempena nama bonda Sultan Terengganu ketika itu iaitu Sultan Mahmud Shah, masjid ini mampu memuatkan seramai 1,000 orang jemaah pada suatu masa dan mempunyai reka bentuk hasil inspirasi gabungan tamadun Islam dengan seni bina tempatan. Masjid ini dibina di tepi Pantai Teluk Ibai, Kuala Terengganu dan menjadi sebuah tarikan pelancong apabila melawat Kuala Terengganu.
Instagram: syamhuzairie Instagram: ikramohamed Instagram: cik_karmila Instagram: ahmd.nqdn Instagram: k_forceone Instagram: wanmanan2002 Instagram: wandorishah Instagram: j0hn_lulalalu
Masjid Diraja Ubudiah, Perak
Masjid ini terletak di Bandar Diraja Kuala Kangsar di utara negeri Perak dan dikatakan sebagai salah sebuah masjid yang tercantik di Malaysia. Masjid ini telah dibuka pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil iaitu Sultan Perak pada ketika itu dan bahan pembinaan masjid ini pula dibuat daripada batu marmar buatan Itali dan Inggeris. Mengikut bacaan sejarah, masjid ini terbina sebagai sebuah nazar Sultan Perak pada ketika itu sekiranya baginda pulih selepas gering (sakit).
Instagram: jalan_jerrr Instagram: nahar Instagram: muazhelmi._ Instagram: artdeepgraphy Instagram: yusrizallyusoff Instagram: hypealiasmean Instagram: pernellevoyage Instagram: amysvhaimi
Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan
Masjid yang mampu memuatkan 5,000 orang jemaah pada suatu masa ini merupakan antara destinasi ibadah yang amat terkenal pada hari ini. Terbaharu di dalam senarai ini, Masjid Sri Sendayan terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandaraya Seremban. Masjid yang tersergam indah dan cukup popular ini merupakan sebuah masjid yang diwakafkan oleh Tan Sri Abdul Rashid Hussain, seorang ahli korporat yang berkhidmat dengan syarikat RHB Bank.
Instagram: el_zafa Instagram: ahmedabwhb Instagram: fifmohd19 Instagram: jambanghalus_ Instagram: masbrewokkkk Instagram: umairahashimm Instagram: zulrashdi Instagram: azizul_hafiz93
Inilah tujuh masjid yang terdapat di dalam senarai masjid-masjid tercantik pada hemat penulis. Di kesempatan ini juga, kami di BASKL di bulan Ramadan yang penuh barakah ini mengucapkan selamat berpuasa buat semua umat Islam di Malaysia! Semoga Ramadan kali ini merupakan yang terbaik buat kita semua.
Gambar utama menunjukkan Masjid Bandaraya di Sabah oleh perkaphoto di Instagram.
Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL: