Muzium Kesenian Islam Malaysia teruja pamer koleksi keris

"...(Dijadikan besi dengen k
ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang menggunakan kekuatan handalnya itu untuk menegak dan mempertahankan agama Allah Serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa". (Surah Al-Hadid ayat 25)

Oleh AZUWAN AHMAD

Buat julung kalinya, pameran keris solo telah diadakan di Galeri 2 di premis muzium ini memberikan tumpuan kepada keris sebagai salah satu elemen terpenting dalam budaya kebendaan di alam Melayu yang kekal mekar menjadi simbol kuasa dan jati diri serantau. Anda masih belum terlambat, bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Jalan Lembah, Tasik Perdana, pameran Keris: Kuasa dan Jati Diri masih berlangsung sehingga 13 Mac ini.

Pameran ini akan membawa para mengunjung menyelusuri wilayah-wilayah samudera dengan menjejaki susur-galur keris di Asia tenggara, khususnya di alam Melayu. Penceritaan bagi pameran ini bermula dengan pensejarahan keris sehingga ke tahap di mana ia mencapai kemashyuran buat beberapa abad lamanya.  Sejumlah 94 bilah keris utama dipamerkan, 59 bilah keris daripada jumlah ini datang dari koleksi Yang Mulia Sultan Selangor.

Pameran keris masih berlangsung sehingga 13 Mac ini.

Penulis pernah bertemu dengan pedagang keris dalam talian di Kuala Kangsar; tulisan mengenainya boleh dibaca di sini.

Bagi pameran ini, pihak muzium teruja untuk memperkenalkan keris melalui sebuah perspektif yang baru, kewilayahan dan hubungannya dengan institusi diraja.  Pengaruh Islam terhadap reka bentuk dan perkembangan budaya pengkerisan turut memberi kesan sehingga ke hari ini, sekaligus memperlihatkan keunikan warisan serta kesinambungannya di rantau ini. Semasa mengunjungi pameran tersebut tempoh hari, penulis disambut oleh pegawai muzium untuk menjelaskan lagi mengenai pemeran ini. 

Pameran ini adalah kerjasama antara pihak muzium dan Yayasan Raja Muda Selangor. Pegawainya, Izuan Fadzli mengatakan bahawa muzium ini mempunyai misi untuk orang ramai memahami keris bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga simbol kuasa dan identiti. “Ada sesetengah keris yang hanya boleh dimiliki oleh orang-orang yang berkuasa saja, seperti keris alang yang digunakan oleh sang algojo untuk menjalankan hukuman mati,” jelasnya. Tambahnya lagi, sarung keris juga mampu menunjukkan jati diri dan kuasa. Sebagai contoh, keris terdahulu kalau bukan diperbuat daripada kayu, sebaliknya dengan gading, emas atau perak itu secara ekslusif menjadi milik pihak diraja atau orang-orang bangsawan. Pihak muzium juga cuba untuk memudarkan stigma masyarakat mengenai mistik keris walaupun mengakui elemen seperti itu wujud. “Inilah pentingnya untuk Muzium Islam mengangkat falsafah pembuatannya yang turut dimurnikan oleh kedatangan Islam di rantau Nusantara,” kata Izuan.

Sebahagian koleksi Keris yang dipamerkan

Kalau bercerita tentang pengumpulan keris bagi tujuan pameran ini pula, pihak muzium menjelaskan melalui Yayasan Raja Muda Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah Al-Haj memperkenankan untuk meminjamkan sebahagian koleksi Baginda, manakala pihak muzium pula mempamerkan 35 bilah keris yang diperoleh daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang juga menyimpan banyak hasil kesenian dari seluruh dunia, terutamanya dunia Melayu. Menurut Izuan, sambutan yang diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan sepanjang pameran berlangsung. Ramai juga yang turut membeli buku memorabilia koleksi 94 buah keris yang diterbitkan. “Orang ramai memang bersemangat untuk mngetahui lebih lanjut tentang keris. Tugas kita adalah untuk memberi pendedahan lebih mendalam dan terperinci mengenai keris,” ujarnya.

Kalau anda masuk ke dalam galeri pameran, anda akan mendapati keris-keris ini dikategorikan mengikut ciri-ciri wilayah asal masing-masing. Hal ini akan membuatkan orang ramai faham bahawa dunia Melayu ini tidak terbatas dengan sempadan negara. Terdapat keris yang datang dari Siam (Pattani), Borneo, negeri-negeri Semenanjung Malaysia dan juga kepulauan Indonesia. Antara hal lain yang menarik mengenai pameran ini adalah anda akan mengetahui serba-serbi mengenai keris termasuk cara pembuatannya. Pihak muzium juga ada menyediakan rajah bergambar mengenai proses tersebut serta video tentang sang empu (tukang keris) yang telah mereka senjata ternama alam Melayu ini. Secara ringkas, semua yang anda perlu tahu tentang keris ada dalam pameran ini.

Antara peralatan yang digunakan untuk membuat keris
Pak Mazin, seorang empu yang masih gigih membuat keris di Kuala Kangsar

Bagi penyelidikan pameran ini, pihak muzium menggunakan starategi yang tersusun untuk membahagikan info mengikut wilayah. Hasil rujukan mereka adalah usaha sama pihak dari Indonesia dan juga Universiti Leiden di Belanda untuk memastikan fakta mengenai keris-keris ini tepat. “Proses penyelidikan ini berlaku. Lebih mudah untuk kita melakukan penyelidikan mengikut wilayah. Daripada situ kita faham identiti dan sifat Keris di sesuatu wilayah tersebut dari segi sarungnya, pakaiannya dan reka bentuk hulunya,” cerita Izuan.

Muzium Islam mempunyai matlamat yang tersendiri di hujung pameran ini. Mereka mengharapkan orang ramai yang datang ke galeri pameran ini akan menjadi lebih selesa apabila bercakap mengenai keris dan tidak menjadikannya sebagai larangan (taboo) semata-mata. Ia juga perlu dianggap sebagai bentuk kesenian yang terulung kerana keris adalah senjata khusus yang hanya terdapat di dunia Melayu. “Muzium juga mahu menonjolkan lebih lagi elemen keislaman yang mempengaruhi reka bentuk dan pembuatan keris sejak kedatangan agama ini di kepulauan Melayu. Sebelum Islam, banyak reka bentuk hulu keris yang mempunyai elemen dewa-dewa, seperti mana masih terdapat di Bali hari ini. Kalau anda lihat sekarang, evolusi bentuk hulu keris jelas tidak lagi mengikut ukiran yang menyerupai dewa-dewa. Ia merupakan kreativiti para empu yang dibekalkan fahaman Islam supaya tidak melanggar hukum agama,” kata Izuan.

Gambar diambil dari sumber Universiti Leiden yang menunjukkan orang Bugis barkeris di zaman dahulu

Kalau anda berjalan sehingga ke garisan tamat pameran, anda akan melihat tiga empu muda yang masih mewarisi seni pembuatan keris. Anda boleh mengimbas kod bar yang terdapat di imej tersebut untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka. Bukan itu sahaja, anda juga boleh menempah keris yang anda mahukan hasil kerja tangan empu-empu muda berbakat ini. Bagi anda yang belum mengunjungi pameran ini, muzium dibuka dari jam 9.30 pagi hingga 6 petang. Pengunjung dewasa dikenakan tiket RM14 manakala pelajar dan kanak-kanak dikenakan RM7.

Anda boleh menghubungi Muzium Kesenian Islam di talian 03-20927070 atau layari sahaja laman sesawang iamm.org.my untuk sebarang maklumat mengenai aktiviti kesenian yang berlangsung di muzium tersebut.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites