Ulasan filem ‘Mat Kilau’

Hiruk-pikuk mengenai filem terbaru karya Syamsul Yusof terus kedengaran di sosial media. Dari isu gambar poster sehingga isu penonton bertanjak yang tak peka ketika berada di dalam panggung terus menghangatkan lagi demam filem Mat Kilau yang mencatat kutipan lebih RM 12 juta dalam 4 hari tayangan.

Oleh AZUWAN AHMAD

Filem Mat Kilau menjadi bualan segenap masyarakat terutama di kalangan penonton Melayu akhir-akhir ini. Filem yang menemui penonton di pawagam semenjak 24 Jun yang lalu terus diperkatakan apatah lagi sejak filem tersebut berjaya mengutip RM12.2 juta setelah 4 hari tayangan di seluruh Malaysia. Penulis BASKL berkesempatan untuk menonton filem ini di pawagam dan melalui tulisan ini cuba untuk memberikan pendapat serta ulasan dari kaca mata seorang penonton. Oleh yang demikian, anda boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan ulasan penulis.

Umum mengetahui, filem Mat Kilau mengisahkan tentang kisah perjuangan seorang pejuang sebelum zaman kemerdekaan dalam penentangan terhadap British di Pahang. Tekanan yang diberikan oleh British terutama dalam soal cukai membuatkan Mat Kilau dan rakan-rakannya nekad melawan British. Filem ini dibintangi oleh Dato’ Adi Putra yang memegang watak Mat Kilau, Fattah Amin sebagai Awang dan Beto Kusyairy sebagai Wahid. Filem yang berdurasi bawah dua jam ini menampilkan beberapa nama besar dalam dunia lakonan yang memegang peranan watak pembesar Melayu ketika itu seperti Dato’ Rahim Razali, Dato’ Jalaluddin Hassan dan Nam Ron.

Lelaki yang dipercayai Mat Kilau Bin Imam Rasu (tengah) setelah keluar daripada penyamaran identiti.

Lakonan

Pemilihan Dato’ Adiputra untuk memegang watak utama filem ini sebagai Mat Kilau adalah tepat. Walaupun filem ini bagi penulis tidak lah terlalu menonjolkan skil lakonannya kerana pembawakan wataknya dalam filem ini sudah pernah penulis tonton di dalam filem KL Gangster yang diarahkan oleh pengarah yang sama, namun Adiputra dapat merakam gambaran Mat Kilau dengan cemerlang sekali. Mat Kilau semasa hidupnya digambarkan sebagai seorang lelaki yang berpegang teguh kepada adat Melayu, gagah serta mempunyai fahaman dalam ilmu agama yang baik melalui jalan tarekat. Adiputra mempunyai ‘weight‘ tersebut apatah lagi dibantu dengan dialog yang mempunyai maksud yang dalam. Penulis tidak dapat membayangkan orang lain memegang watak ini seperti mana kita merasakan watak Hang Tuah hanya sesuai dibawakan oleh Dato’ M Nasir.

Lakonan Beto Kusyairy sebagai Wahid dalam filem ini sememangnya hanya membenarkan hakikat bahawa dia memang seorang pelakon yang mempunyai range lakonan yang besar. Permainan emosi yang ditunjukkan dalam filem ini tidak keterlaluan kalau penulis katakan walaupun dia bukan watak utama di dalam filem ini telah membuatkan filem ini mempunyai dinamik yang bagus. Fattah Amin pula, penulis merasakan menampilkan persembahannya yang paling terbaik sepanjang penulis menonton karya lakonannya. Dia mula menunjukkan ekspresi dalam lakonan. Mutu lakonannya yang bertambah bagus membuatkan kita merasa puas. Kalau anda mahu melihat versi Fattah Amin yang wajar digilai peminat wanita, maka anda harus menonton watak Awang ini.

Syamsul Yusof, pengarah filem Mat Kilau

Jalan Cerita

Tidak terasa kalau anda menonton filem ini di wayang kerana filem ini, penulis kira sebagai filem yang mempunyai tempo yang agak laju ditambah pula ia sarat dengan babak aksi. Kalau bercerita tentang babak aksi tak dapat dinafikan sangat menghiburkan dan ‘mengenyangkan’ apatah lagi dengan kehadiran pelakon aksi terkenal dari Indonesia, Yayan Ruhiyan sebagai salah satu watak antagonis. Walaubagaimanapun Syamsul, sebagai pengarah dalam filem tidak ‘invest’ dalam pembangunan watak utama dalam filem ini. Malah, watak Beto yang lebih mempunyai cerita.

Penulis merasa ‘haus’ untuk melihat watak Mat Kilau berkembang kerana kebanyakan waktu Mat Kilau dalam filem ini dalam mod perang. Ada beberapa babak yang Penulis rasa mahu lihat dengan lebih mendalam lagi seperti babak Mat Kilau dan ayahnya Tok Gajah dalam membentuk peribadinya. Dalam perkembangan karakter, walaupun dia memegang watak utama, namun wataknya sebagai seorang ayah dan suami hanya disentuh sedikit sahaja. Dari bacaan penulis, Mat Kilau hanya menuntut ilmu silat selepas dia mendirikan rumah tangga.

Elemen antagonis dalam filem ini juga tidak terlalu memuaskan. Sepertimana yang diceritakan dalam sejarah tanah air kita, British dikatakan sangat licik dan berpengaruh. Namun dalam filem ini, watak Kapten Syres dilihat bodoh dan bacul. Pelakon yang memegang watak pegawai British ini juga dilihat lemah dari segi lakonannya. Konflik yang timbul antara Mat Kilau dan Awang juga penulis rasakan terlalu mengada-ngada. Konflik tersebut samar dan terlalu cepat diselesaikan.

Namun, sepanjang filem ini, ada satu babak yang sangat meninggalkan kesan bagi penulis dan membuatkan penulis merasakan Syamsul seorang pengarah yang pintar. Penulis tidak mahu memberikan ‘spoiler’ kepada anda yang belum menonton, tapi dalam tragedi yang menimpa Wahid, watak Mat Kilau datang dari belakang dan menutup mulut Wahid dan membisikkan kalimat istighfar di telinga Wahid. Penulis mengangkat babak itu sebagai babak terbaik dalam filem ini.

Foto: Sebuah babak yang menyayat hati di dalam filem Mat Kilau

Wajar dipuji

Jika anda mencari ketepatan fakta sejarah, anda tidak akan menemuinya di dalam filem ini. Ini adalah filem yang mengambil inspirasi daripada cerita sejarah dan diolah serta ditambah unsur fiksyen untuk kesan yang lebih dramatik. Namun, filem ini tidaklah terlalu baik mahupun terlalu buruk. Ia wajar dipuji serta diberi sokongan kerana kita sudah lama tidak mempunyai filem yang berunsurkan tokoh sejarah yang boleh diangkat selepas filem Leftenan Adnan.

Filem yang berunsurkan sejarah seperti ini sememangnya memerlukan kajian yang teliti supaya olahannya juga tidak terlalu mengarut dan itu bukan lah suatu perkara yang mudah. Penulis merasakan pengarah wajar dipuji akan usahanya dalam menghasilkan sebuah filem sehabis baik untuk mempersembahkan Mat Kilau kepada penonton di Malaysia. Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi filem seperti ini. Syabas untuk semua pelakon dan juga pihak produksi kerana berani mengangkat filem bergenre sejarah. Anda semua patut menyerbu pagung wayang yang terdekat untuk menonton filem ini.

Penulis memberikan 7/10 untuk filem Mat Kilau!

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites