Adiguru CENDANA: Mat Rosnan Bin Hashim

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Mat Rosnan Bin Hashim merupakan seorang seniman Dabus yang berumur 44 tahun dan dilahirkan pada 11 Jun 1979 di Kg. Tanjung Bidara, Kampung Gajah, Perak. Beliau telah menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kg. Tanjung Bidara dan seterusnya di Sekolah Menengah Dato’ Seri Maharaja Lela, Kampung Gajah. Di situlah bermulanya penerokaan Mat Rosnan ke dalam dunia seni Dabus dan Lotah.

Beliau mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam seni Dabus dan telah bermula sebagai pemain gong dan juga sebagai penyanyi korus dalam persembahan Dabus. “Penglibatan terawal saya dalam Kumpulan Dabus Tanjung Bidara ini seawal usia saya lebih kurang 5 atau 6 tahun,” kongsi Rosnan. “Ketika itu kumpulan ini terdiri daripada lebih kurang 20 orang dan hampir semua daripada kami mempunyai hubungan tali persaudaraan.”

Masa berganti masa, jumlah penari tarian Dabus telah berkurangan dan pada ketika itu Mat Rosnan telah menyahut cabaran untuk mempelajari seni tarian Dabus yang amat mencabar. Tarian Dabus ini memerlukan keberanian dan keyakinan yang tinggi ketika melaksanakan adegan menikam tangan menggunakan besi tajam Dabus. Sebagai seorang yang cukup tinggi minatnya terhadap seni Dabus, beliau telah lulus dengan cemerlang dan terus berusaha dalam seni Dabus sehingga layak memegang gelaran “Khalifah” Dabus.

Serba sedikit mengenai Tarian Dabus, tarian ini merupakan sebuah tarian pejuang yang masyhur di negeri Perak. Dabus dipercayai telah dibawa ke Semenanjung Malaysia kira-kira 200 tahun lalu oleh pedagang dan penganut agama Islam. Sesetengah sejarawan mendakwa bahawa Dabus dibawa daripada Aceh di Sumatera Utara, manakala ada juga segelintir sejarawan yang lain mengatakan ia dibawa terus ke Semenanjung Malaysia oleh pedagang daripada Baghdad pada abad ke-18.

Tarian Dabus dipercayai bermula sebagai sebuah bentuk hiburan sewaktu zaman Nabi Muhammad S.A.W. dan sahabat-sahabatnya, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman, dan Saidina Ali. Tarian Dabus mungkin digunakan untuk melatih dan mempersiapkan tentera untuk peperangan agama, mengundang kuasa kerohanian untuk melaksanakan tugas mulia mereka dan menunjukkan keberanian mereka.

Tarian Dabus dilakukan oleh kumpulan penyanyi dan beberapa orang penari. Penyanyi melantunkan lagu puji-pujian kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan tokoh-tokoh agama yang lain. Pembacaan doa pula diiringi oleh irama rebana kecil. Penari melaksanakan pelbagai gerakan Dabus, termasuk Lang Sewah, Ayun Talak, dan Susun Sirih. Persembahan ini biasanya dihadiri oleh seorang “Khalifah”.

Tahun demi tahun, tokoh-tokoh veteran dalam kumpulan seni Dabus dan Lotah semakin hilang dan pergi meninggalkan kita. Mereka merupakan individu penting yang telah sekian lama mengarahkan kumpulan dan menjadi “Khalifah” kepada kumpulan Dabus. Sejak itu, Mat Rosnan telah mengambil peranan utama dalam persembahan Dabus ini, malah ini juga menjadi pendorong yang lebih kuat bagi beliau untuk menjadi pemimpin Kumpulan Seni Tradisional Dabus Kg. Tanjung Bidara, Perak. 

Keazamannya untuk meneruskan warisan budaya dan agama ini diperlihat lebih jelas lagi dengan usahanya untuk mendaftarkan seni tradisional yang berusia lebih dari 200 tahun itu sebagai sebuah organisasi yang sah. Ini juga dapat memastikan kesinambungan dan masa depan artis Dabus dan Lotah kekal utuh dan teguh tanpa ditelan arus zaman. 

Sebelum berakhir perbualan bersama Mat Rosnan, beliau telah memberikan sebuah pesanan dan kata-kata mutiara, “pada pendapat saya, kesenian Dabus ini biarlah ianya dipertahan, biarlah ianya diperkembang dan biarlah ianya diperluas ke lain-lain tempat walaupun secara amnya seni Dabus ini berada di Perak.” 

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites