Konsert Patah Hati kembali dengan edisi kedua tahun ini

Konsert Patah Hati kembali untuk siri kedua dalam masa kurang satu tahun daripada konsert sulung mereka yang berlangsung Mac lalu

Oleh DANIAL FUAD

Patah Hati Pertama

Pada 15 Mac lalu, Konsert Patah Hati telah menyaksikan persembahan enam artis selama tiga jam di Zepp KL. Konsert tersebut telah mendapat sambutan yang hangat sehingga tiket telah habis dijual dan ia juga sempat tular di laman media sosial TikTok sehingga mencapai lebih daripada 500 ribu tontonan. Dengan barisan artis seperti Noh Salleh, Ernie Zakri, Insomniacks, Naim Daniel, Aisha Retno serta Nastia, konsert tersebut juga menjadi kegilaan orang ramai.

Atas sambutan yang luar biasa, ANS Diversified Sdn Bhd dengan bangganya telah mengumumkan siri kedua pula konsert itu. Bakal berlangsung pada 23 November akan datang, Ahmad Faizal Zulkipli selaku Pengarah Projek telah menyatakan, “kami masih mengekalkan konsep Patah Hati sebelum ini iaitu gabungan beberapa artis solo dan berkumpulan. Kali ini terdapat Bunkface, Aisha Retno, Naim Daniel, Ismail Izzani, Nadeera dan juga Neeta.”

“Keputusan untuk bekerjasama sekali lagi dengan Naim Daniel dan Aisha Retno dibuat kerana mereka telah memberikan komitmen yang sangat luar biasa semasa konsert Patah Hati sebelum ini,” tambah Faizal lagi. Pada konsert Patah Hati sebelum ini, Naim telah membuat persembahan bersama dengan kumpulan kugirannya manakala Aisha membawa regunya dari pertandingan Big Stage.

Patah Hati 2.0

Bakal diadakan di Zepp KL pada 23 November ini, tema yang dibawa untuk siri kedua ini sedikit berlainan. Pengarah Konsert, Adri Fitri telah menyatakan “Jika dulu kita menggunakan skema warna putih, hitam dan merah untuk melambangkan kedukaan yang berdarah; kini kita menggunakan ungu, biru dan firus yang membawa perlambangan lebam selepas luka.”

Adri Fitri yang mesra dikenali sebagai Fit AF merupakan Pengarah Konsert Patah Hati 2.0 ini

Membawa semangat yang sama seperti sebelum ini, Konsert Patah Hati ini bukanlah berkenaan percintaan sahaja. Faizal telah mengulas, “patah hati bukan semestinya dalam percintaan sahaja. Jika konsert sebelum ini dianjurkan selepas pandemik, mungkin ada orang yang patah hati akibat kehilangan pekerjaan dan ahli keluarga.” Siri kedua konsert ini pula membawa nafas penyembuhan daripada luka yang berdarah sebelum ini.

Tambah Faizal, “Alhamdulillah kami dapat melancarkan konsert Patah Hati 2.0 atas sokongan daripada pelbagai pihak.” Konsert Patah Hati 2.0 ini telah disokong oleh beberapa badan di mana Oh My Media dan Jemz Group berperanan sebagai rakan media, manakala Yayasan Digital, Creinotech serta Summit ANS motion adalah rakan strategik mereka. Projek ini juga disokong Dana Kandungan Digital (DKD) Persembahan Muzik daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital yang disalurkan melalui MyCreative Ventures.

Pengarah Projek, Ahmad Faizal Zulkipli ketika Sidang Media di Z Botanica 8 Sept lalu
Tiket kini telah dibuka jualan

Terdapat empat jenis tiket yang kini sudah pun terjual melalui laman sesawang Ticket2U bermula dengan harga RM185 untuk jenis ‘Malam Ini Kita Punya’ buat yang ingin berdiri secara bebas. Manakala untuk yang mahu duduk lebih selesa menikmati konsert, terdapat kategori ‘Luar Biasa Sakit’ buat tempat duduk tingkat atas dengan kos RM269 dan juga tempat duduk tingkat atas premium dengan nama Purnama di mana harganya adalah RM299.

Untuk masa terhad, tiket-tiket tersebut sedang berada dalam fasa jualan ‘Early Bird’ di mana tiket ‘Malam Ini Kita Punya’ boleh didapati dengan harga RM179, Luar Biasa Sakit pada harga RM259 dan juga RM284 untuk tiket Purnama.

Naim Daniel ditemuramah pengamal media

Bagi yang ingin menikmati keselesaan yang lebih tinggi, terdapat juga enam ruang VIP Box ditawarkan dengan harga RM5,000 setiap satu. “VIP Box ini boleh memuatkan sehingga lapan orang dan mereka akan mendapat balkoni persendirian untuk menikmati konsert. Kami juga sedang mengemaskini kelebihan yang bakal diterima pembeli tiket VIP Box ini,” ujar Faizal.

Aisha Retno kembali untuk siri kedua konsert ini disamping Naim Daniel

Tiket untuk konsert telah mula dijual dari sekarang jadi jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan harga Early Bird di laman sesawang Ticket2U.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites