Armada Band ke Kota Kinabalu pada bulan November 2023

Personaliti tempatan, Harris Baba bakal menerbangkan kumpulan Indonesia, Armada Band ke Sabah bagi mengadakan konsert di sana pada hujung tahun ini.

Bakal berlangsung pada 4 November ini (Sabtu), konsert Armada Band iaitu Janji Bahagia akan diadakan di Sabah International Convention Centre (Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah) SICC.

Konsert ini merupakan projek pertama penyanyi kelahiran Singapura Harris Baba bersama isteri, Nik Naziha Zawawi di bawah syarikat milik mereka, Jeeharris Corporation. Fokus Jeeharris Corporation ialah menjurus kepada pengurusan acara dan konsert. Syarikat ini telah banyak menjayakan pelbagai acara karnival di Sabah dan konsert ini merupakan konsert pertama anjuran mereka.

Menurut Harris Baba, mereka memilih Armada kerana kumpulan ini antara kumpulan Indonesia yang popular dan banyak lagu-lagu mereka dikenali di Sabah. Armada yang dianggotai vokalis Rizal Adi, drummer Meri Yandi dan guitarist Andika Maihendra akan menyampaikan 18 buah lagu. Antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikan termasuklah Bebaskan Diriku, Asal Kau Bahagia, Pergi Pagi Pulang Pagi dan banyak lagi. 

Tentang perancangan lanjut mengenai syarikatnya, Harris Baba berkata, mereka akan membawakan lebih ramai lagi artis luar negara untuk mengadakan persembahan di Sabah. Dalam pada itu, mereka kini dalam perbincangan untuk membawakan band lain untuk mengadakan persembahan pada Januari 2024.

“Kami berharap mendapat sokongan yang menggalakkan daripada peminat-peminat Armada Band di Sabah dan sekali gus dapat memeriahkan lagi aktiviti pelancongan dan mengalakkan lebih banyak persembahan konsert di Sabah. Kami juga akan menjadikan konsert ini sebagai satu tarikan untuk penduduk dari Labuan, Sarawak dan Brunei untuk datang menyaksikan bersama persembahan Armada band secara live. Menurut Harris juga, mereka sedang meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk dijemput mengadakan persembahan pembukaan pada konsert ini.

Tiket telah mula dijual di www.myticket.asia pada 24 Julai lalu dengan harga RM129 sehingga RM799 (seating and meet & greet).

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites