Adiguru CENDANA: Muhd Noor bin Ariffin

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Insan yang penuh dengan ilmu seni kebudayaan di dalam dadanya ini mesra disapa sebagai Pok Jue namun nama kelahirannya adalah Muhd Noor bin Ariffin dan merupakan seorang anak jati Bachok, Kelantan. Berumur 57 tahun, anak jantan berbadan sasa ini merupakan seorang Tok Teri di dalam seni perubatan tradisional yang dinamakan Main Puteri yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang ini sendiri. “Lebih 30 tahun dahulu, asalnya Pok Jue nak belajar main gendang sahaja,” kongsi Pok Jue yang cukup ringan mulut bertutur di dalam lenggok Kelantan yang amat dalam. 

Pok Jue telah bercerita, pada ketika itu tidak ada orang lagi yang ingin menyambung warisan ayah dan juga ibunya maka tok guru Pok Jue ketika itu telah menyarankan agar Pok Jue lah orang yang paling sesuai untuk meneruskan legasi kedua ibubapanya itu. “Masa itu tak ada orang dah yang nak sambung Main Puteri ini tetapi sebab darah keturunan belah mak dan juga belah ayah pun Main Puteri jadi tok guru saya pun kata awak teruskanlah.” Sebagai seorang anak didik yang taat dan setia pada tok gurunya, Pok Jue terus meninggalkan dunia gendang dan telah terjun untuk meneruskan jejak langkah kedua orang tuanya itu. 

Sebagai seorang yang cukup mahir mengenai seni kebudayaan Main Puteri ini, Pok Jue merupakan seorang karyawan yang amat disegani dan dikenali ramai oleh orang-orang tempatan di negeri Kelantan. Walaupun telah bergiat aktif sebagai seorang Tok Teri lebih daripada 20 tahun, pada asalnya Pok Jue hanya sekadar mengikut atuknya yang juga merupakan seorang Tok Teri. Lama-kelamaan, Pok Jue sendiri telah jatuh cinta kepada budaya turun-temurun keluarganya ini dan terbuka hati untuk menjadi seorang Tok Teri sama seperti ibubapanya dan juga atuknya.

Namun mengikut Pok Jue, bagi melayakkan seseorang itu menjadi seorang Tok Teri yang baik orang itu haruslah mendalami dan mahir dalam ilmu silat terlebih dahulu kerana Main Puteri ini tujuannya adalah untuk merawat orang sakit yang telah diganggu makhluk halus. “Pok Jue sendiri dah berapa kali kena tumbuk dengan pesakit!” Pok Jue berjenaka. 

Di dalam sebuah upacara Main Puteri ini, seorang Tok Teri akan memanggil makhluk halus ini ke dalam badannya lalu makhluk ini akan disoal siasat oleh seorang lagi watak penting di dalam Main Puteri iaitu seorang Tok Minduk. Di sinilah saat di mana sesi rundingan antara manusia dan makhluk yang ghaib ini berlaku dan Tok Minduk akan memohon agar makhluk itu tidak lagi mengganggu pesakit. 

Bakat Pok Jue ini tidak berhenti di situ sahaja malah Pok Jue juga mampu bermain hampir kesemua seni tradisional yang terdapat di negeri Kelantan. Daripada persembahan Wayang Kulit, Dikir Barat, Silat dan banyak lagi seni-seni tradisional yang lain namun hari ini, tumpuannya hanyalah pada Main Puteri sahaja. “Hari ini Pok Jue memang tak ada kerja lain, memang kerja Main Puteri sahaja yang Pok Jue buat,” tambah seniman anak jati Kelantan ini. 

Di bawah program Adiguru CENDANA ini, penerima-penerima seperti Pok Jue ini akan mendapat sejumlah dana untuk digunakan bagi meneruskan dan menurunkan ilmu seni tradisional ini kepada generasi-generasi muda. “Setakat ini Pok Jue ada dalam 10 orang pelapis atau pelajar yang ikut Pok Jue dan hampir semua pun memang boleh main alat muzik sekali,” kata Pok Jue. Pok Jue turut berkongsi, ini kerana semua yang ingin mempelajari ilmu kebudayaan Main Puteri wajib menggunakan alat muzik, mahir bermain alat muzik itu dan haruslah bermula dengan mempelajari cara-cara bermain canang. 

Main Puteri dianggap sebagai salah satu daripada seni kebudayaan yang hampir pupus dan akan ditenggelami arus zaman jika kita tidak pelihara dan mewariskan kepada generasi-generasi yang lebih muda. Sebagai seorang pemain veteran yang telah lama menceburi bidang ini, Pok Jue tidak lari daripada meletakkan harapan agar seni tradisional Main Puteri ini akan dapat diteruskan sampai bila-bila dan agar anak muda juga akan dapat jatuh cinta terhadap seni Kelantan yang hampir pupus ini. “Pok Jue juga berharap agar keunikan tradisi Main Puteri ini dapat menjadi sebuah tarikan pelancong yang dapat membantu menaikkan ekonomi pelancongan di Malaysia terutamanya di negeri Kelantan ini,” kata-kata akhir Adiguru CENDANA Muhd Noor bin Arifin.

Muhd Noor bin Arifin merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni Persembahan Main Puteri. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik BASKL yang lain:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites