10 Kopi di Kelantan yang anda wajib cuba!

Lebih ramai anak-anak muda yang kini menetap di Kelantan dan mereka kini mengubah landskap budaya tempatan. Mari kita terokai beberapa kopi hasil tangan anak-anak Kelantan ini.

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Sebagai rakyat Malaysia, terma “mengopi” itu merupakan satu frasa kata yang sering dititip di bibir kita kerana dalam erti kata lain “mengopi” itu bermaksud lepak, meluangkan masa sambil menikmati secawan kopi ataupun kiasan bagi seorang rakan yang rindu akan sahabatnya. Kopi cukup sinonim dengan masyarakat kita tidak kira bangsa, agama dan juga latar belakang kita kerana sesiapa sahaja pasti akan boleh bergelak tawa sambil menikmati secawan kopi tidak kira masa dan di mana sahaja. 

Namun apa yang cukup menarik adalah, budaya kopi ini merebak bukan sahaja di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang sahaja tetapi tanpa kita sedari, jauh di sudut Pantai Timur juga merebak dengan cukup pantas! Siapa sangka, bandaraya yang dahulunya hanya mahsyur dengan kesesakan kenderaan waktu Hari Raya ini kini menjadi sebuah pusat budaya kopi yang merebak pantas seperti cendawan. 

BASKL berkesempatan untuk turun ke Kelantan untuk memeriahkan lagi R!UH Sokmo edisi Kelantan, salah satu daripada edisi jelajah R!UH ke seluruh negara. Di sana, para penulis BASKL telah bertemu dengan masyarakat setempat untuk lebih mengenali dan memahami apakah budaya baharu dan menarik yang kini sedang melanda negeri Pantai Timur ini. Apa yang kami tidak tahu adalah, antara perkara yang kini sedang giat berkembang pesat adalah budaya kopi! 

Menariknya budaya ini membawa kami ke beberapa buah kedai atau warung kopi di Kelantan dan penemuan kami amat menakjubkan! Sungguh ramai anak muda Kelantan yang berjiwa usahawan dan amat rugi jika kajian dan penelitian kami ini tidak dikongsikan bersama semua pembaca-pembaca BASKL. Oleh itu, kami telah membuat senarai 10 kopi lokal terbaik yang anda wajib cuba apabila anda berada di negeri “Kelate” ini. Jom kita mulakan!

Terletak di Jalan Raja Perempuan Zainab 2, Coffee Culture KB merupakan sebuah kedai kopi hipster dan mempunyai menu yang cukup menarik. Selain daripada aneka kopi yang mereka tawarkan, mereka juga menyediakan sajian makanan-makanan western yang pasti boleh membuatkan anda terliur. Siapa yang tidak percaya, anda boleh hubungi terus melalui whatsapp.

Siapa kata untuk menjual sesuatu yang istimewa anda memerlukan ruangan kedai? Kopiloka telah membuktikan apa yang anda perlukan hanyalah produk yang memukau jiwa dan raga seseorang pelanggan. Warung kopi yang kebiasaannya berada di hadapan Wisma Dr Alias, Jalan Telipot ini cukup tinggi nilai seni astetik mereka. Minat? Jangan lupa cari mereka di sini!

Lazot Coffee ini lagilah menarik, mereka beroperasi sepenuhnya daripada bonet sebuah van buruk sahaja! Hebat sungguh anak-anak Malaysia ini, dan benarlah kata pepatah “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Mereka beroperasi pada setiap hari kecuali hari Jumaat di hadapan Parcel Hub, Kubang Kerian. Nak cuba kopi mereka? Cari mereka di situ daripada jam 7.50 pagi sehingga jam 3.30 petang.

Ini pula satu pengusaha kopi yang telah membuat penampilan sewaktu R!UH Sokmo tempoh hari. Tiada premis kedai, tiada warung, hanya pengusaha kopi dan minatnya dalam membuat kopi. Bertumpang kasih di Pisang Hut, Cherang dan dibuka setiap hari daripada jam 2 petang sehingga jam 10 malam. Bagi anda yang ingin membuat COD, bolehlah hubungi Luqman melalui whatsapp.

Kopi santapan diraja, inilah yang boleh dikhabarkan oleh Drum and Desk kepada para pengunjung yang datang. Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan isteri sering ke sini untuk menikmati secawan kopi dan sajian hidangan yang ada. Anda ingin mencuba kopi yang sama dinakmati oleh seorang anak raja? Kunjungi Drum & Desk di Taman Sari, Kota Bharu atau hubungi mereka melalui whatsapp.

Lima cawangan di Kelantan, dua di Terengganu dan satu di Pahang, JIWA merupakan sebuah jenama yang tidak asing lagi di bahagian Pantai Timur negara kita. Selain kopi, JIWA juga cukup terkenal dengan sajian pizza dan juga bingsu mereka. Orang pantai timur pasti pernah terdengar tentang mereka tapi orang KL, bila lagi anda nak mencuba? Cepat-cepat cari mereka melalui pautan linktree mereka sekarang! Semuanya ada di situ.

Artis tempatan seperti Ruhainies dan Nazim Othman pun dah mencuba Ngofee, anda bila lagi? Senarai ini masih lagi membuatkan anda terpukau bukan? Tidak sangka, Kelantan dan Kopi sama-sama naik! Suasana kedai yang cukup tenang dan indah, rasa kopi yang lemak dan manis, apa lagi yang anda inginkan? Cari mereka sekarang dan anda pasti tidak akan kecewa.

Jika anda sedang berada di sekitar kawasan Jalan Raja Perempuan Zainab 2, jangan lupa singgah di kedai Tiap Hari Kopi untuk menikmati kacang phool, pavlova dan semestinya apa yang wajib anda nikmati iaitu secawan kopi. Suasana yang cukup santai dan tenang, dihiasi dengan keadaan kedai serba putih, Tiap Hari Kopi cukup sesuai bagi anak muda yang ingin berdiskusi secara santai. Dibuka setiap hari kecuali hari rabu.

Wafel, pavlova, chicken chop, burger, pasta tomyam dan banyak lagi yang disajikan oleh Volt Coffee di Pengkalan Chepa ini. Kopi mereka sudah tentu menjadi tarikan paling utama, anda hanya perlu sebut anda inginkan kopi panas atau “beng”, cawan atau botol? Semua pun ada di Volt Coffee ini. Jika anda berada di Pengkalan Chepa, jangan lupa singgah dan menyokong kedai kopi tempatan ini. Kalau sesat jangalah khuatir, hubungi mereka di laman Instagram.

Nombor 10 di dalam senarai kami adalah Tenang by Typo Lab dan tidak langsung bererti mereka ini paling bawah di dalam carta. Ada juga kemungkinan yang mereka ini yang terbaik, bak kata pepatah Inggeris, “save the best for last”. Sebuah warung kopi yang teramatlah tenang dan cukup sesuai untuk dikunjungi setelah seharian bersiar-siar di Kota Bharu. Waze Butik Leesa Mahmood, Kopi Tenang berada di bahagian luar butik tersebut atau cari mereka di Instagram.

Sekian sahaja senarai 10 kopi yang wajib anda cuba jika anda berada di Kelantan, namun tidakkah anda berasa pelik? Kesemua 10 kopi di dalam senarai ini semuanya di Kota Bharu sahaja dan memang benar, ini baru di Kota Bharu sahaja. Begitu besarnya fenomena budaya kopi di Kelantan ini sedang pesat membangun. Apa lagi, abe kakok pakat mari kita cuba kopi di kelantan. 

Gambar Utama adalah suasan perkarangan Ngofee.KB di laman instagram mereka

Anda juga boleh baca artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites