Misteri Kebangkitan Marsha

Oleh AZUWAN AHMAD

Janji yang telah disepakati pada hari Isnin membawa saya menempuh perjalanan yang panjang ke Hulu Langat sambil melewati suasana kampung yang belum terlalu terusik. Ditambah pula pandangan mata kepada orang yang menjalani kehidupan pagi dalam cuaca yang redup-redup sinarnya. 

Damainya rasa itu membuat saya menghimbau memori tentang citra sosok yang akan saya temubual apabila tiba di destinasi nanti. Sesuai takdir, inilah kali pertama saya bakal bersua muka dan berbual dengan penyanyi yang saya lihat di televisyen pada umur 15 tahun ketika dia menyertai sebuah pertandingan nyanyian terkenal suatu masa dahulu.

Sebelumnya, saya hanya melihatnya dari jauh. Kebetulan dia agak mengenali isteri saya yang pernah menulis untuk sebuah rancangan nyanyian mencari bakat baharu dalam kalangan orang awam, tika itu penyanyi ini adalah salah satu pengacaranya. 

Perjalanan jauh ini tidak terlalu dirasakan kerana dikaburi oleh rasa teruja juga kerana sesi yang bakal disiarkan di laman sesawang kami diterajui oleh jurugambar masyhur Bustamam Mokhtar. Lebih mesra dipanggil Abang Bus, beliau seorang yang sangat dihormati di dunia fesyen tempatan serta antarabangsa.

Ceritanya, ketika saya sudah sampai di lokasi penggambaran, artis yang mahu ditemubual sudahpun sampai tepat pada waktu. Ini memang cerita yang saya sering dengar dalam kalangan warga produksi filem dan TV tentang sikap profesional serta disiplin yang ditunjukkan oleh penyanyi yang sedang rancak membuat penampilan kembalinya yang lebih gah. Saya tahu perjalanan penggambaran ini akan lebih mudah dan cepat bersama Marsha Milan Londoh. 

Marsha adalah sosok yang sederhana sikapnya, seperti mana dia datang ke lokasi mengenakan kemeja T dan seluar tapi masih manis sesuai dirinya sebagai seorang ‘Sumandak Sabah’. Ketika editor Shah Shamshiri memperkenalkannya dengan saya, Marsha tidak lokek dengan senyuman, kelihatan benar perwatakannya yang ceria serta mudah mesra. Maka, tidak hairanlah kalau pengikutnya di laman sosial Instagram hampir mencecah 1 juta.

Lahir di Amerika Syarikat pada tanggal 6 Disember, dia berasal daripada Tamparuli, Sabah. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Linda Nanuwil, naib juara musim kedua Akademi Fantasia merupakan sepupunya. Mungkin kerana itu, dia terdorong menyertai rancangan tersebut di musim berikutnya sehingga dia sampai ke pentas akhir dan berjaya mendapat tempat keempat. Juara pada musim itu adalah Mawi yang telah mencetuskan suatu fenomena seluruh negara. Saya telah bertanya kepada Marsha tentang keadaan kerjayanya ketika fenomena itu meledak. 

“Sudah tentu ketika fenomena itu berlaku semuanya tertumpu kepada Mawi. Tapi saya bernasib baik kerana bila ada Mawi mesti ada saya. Taklah saya katakan bahawa semua ‘job’ akan pergi kepada Mawi, saya pun ada juga tapi tak menyinar. Masa tu saya tak mengharapkan terlalu banyak kerana saya masih baru lagi tapi ia adalah sebuah pembelajaran bagi saya selama 18 tahun ini untuk mencari jalan saya sendiri. Waktu itu, saya pun belum tahu kekuatan saya dalam nyanyian, Mentaliti pada waktu tu janji ada ‘job’ sahaja untuk membayar bil. Matlamat saya tidak lah terlalu jauh”. jawabnya. 

Namun Marsha sepanjang kerjayanya selepas 2005 tidak pernah putus asa dan masih berada dalam industri melakukan pelbagai kerja termasuk lakonan dan pengacaraan walaupun tidak begitu menyerlah.  Dalam mengingati momen ketika dia memilih untuk menceburi bidang nyanyian, sebenarnya selepas tamat persekolahan dia mempunyai beberapa pilihan yang harus dia fikirkan dengan secukup-cukupnya. 

“Secara jujurnya saya telah mendapat beberapa tawaran. Salah satunya adalah menjadi pramugari untuk Malaysia Airlines. Hanya tinggal beri surat penjamin dan menyertai kelas-kelas yang diperlukan. Pada masa yang sama saya juga menerima tawaran belajar muzik di India. Itu juga tawaran yang sudah ‘confirm’. Ini semua berlaku dalam masa satu bulan yang sama. Saya juga telah mendapat tawaran masuk AF. Pada mulanya, ibu saya menentang dan mahu saya pergi belajar di India. Namun ketika itu, bapa saya sangat menyokong pilihan pramugari atau AF. Saya fikir AF adalah tawaran sekali seumur hidup. Siapa sangka selepas AF, saya sudah lupakan tawaran yang lain?”, ceritanya. 

Keluarga Marsha digambarkan sebagai ceria dan begitu menyokong. Ibunya kata Marsha adalah seorang pengkritik tegarnya. Jadi apabila dia melakukan sesuatu dia sentiasa mendapatkan pandangan daripada ibunya. Suasana yang kuat akarnya ini, saya kira menjadi azimat untuk Marsha bangkit semula di dalam industri dan terus mencuba untuk menempatkan diri dalam kalangan bintang-bintang industri. 

Setelah lama sabar dalam pekerjaannya, akhirnya nama Marsha kembali dijulang selepas memenangi tempat kedua dan anugerah persembahan terbaik di Anugerah Juala Lagu (AJL) yang ke 36 melalui lagu “Cinta” yang digubah oleh penyanyi Stacy Anam dan suaminya, Akim Ahmad. Malam itu merupakan malam bersejarah bagi Marsha yang dia sendiri mengakui tidak pernah memenangi apa-apa sepanjang kerjanya dan pentas itu menjadi tanda kebangkitan semula Marsha di arena seni. Namun, bila ditanya apa hal yang kuat mendorong kebangkitan semula itu, ia seolah-olah menjadi perkara misteri buat Marsha sendiri. 

“Sampai sekarang saya masih terfikir bagaimana ia bermula? Orang selalu cakap Marsha nyanyi lagu tinggi “Cinta”, tapi sebenarnya selama ini saya memang selalu nyanyi lagu ‘range’ begini tapi orang tak perasan. Saya tertanya-tanya apa yang begitu istimewa saya menyanyikannya tapi saya rasa ini perancangan Allah untuk masa saya pula menyerlah. Tapi sampai sekarang saya masih lagi mencari jawapan kepada soalan itu. Adakah kerana lagu? Ketika lagu Cinta keluar, saya dah di tahap redha sahaja. Saya mesej Stacy dan katakan bahawa saya mahu sebuah lagu. Banyak drama yang berlaku macam lagu itu tiba-tiba hilang daripada simpanan fail sampai mereka mahu pulangkan duit. Tapi saya benar-benar mahukan lagu itu”, katanya.

Menambah rencah kepada misterinya kebangkitan Marsha adalah apabila dia muncul di dalam sebuah filem seram hit terbitan Astro Shaw baru-baru ini berjudul “Rahsia”. Lakonan Marsha di dalam filem itu sungguh membuka mata terhadap potensi penyanyi ini di bidang lakonan dan barangkali ia adalah hasil dari pengalaman Marsha membintangi cerita seram. Enam puluh peratus daripada lakonan Marsha sepanjang kerjayanya adalah bergenre seram. Anehnya, dia suka terlibat dalam genre tersebut walaupun dia menggambarkan dirinya sebagai seorang penakut dan tidak suka menonton cerita hantu. 

“Saya tak pasti sama ada ini adalah perkara yang saya patut berjaga-jaga kerana takut orang akan kata saya tak boleh bawa watak yang lain. Secara jujurnya, saya suka berlakon jadi hantu! Walaupun waktu filem Rahsia, saya sendiri tak berani nak tengok. Saya suka kerana saya kena membayangkan diri saya dalam situasi itu berbanding belajar lakonan orang lain di filem yang lain. Apa-apa yang ditunjukkan dalam filem itu adalah diri saya dan bagaimana saya membayangkan berada dalam situasi tersebut. Ironinya, Rashidi Ishak yang menjadi suami saya dalam filem itu merupakan pengarah cerita lakonan saya masa mula-mula saya keluar daripada AF. Masa itu dia sangat garang”, katanya sambil tertawa. 

Marsha ditanya juga kalau dia boleh memilih antara tiga pekerjaan sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara, yang mana satu pilihannya. Dia mengatakan bahawa bidang nyanyian memang menjadi keghairahan serta fokusnya apatah lagi semenjak dua tahun ini tetapi baginya lakonan juga menjadi minat utamanya. Dia tidak akan berhenti menerima tawaran berlakon kalau ada buat masa ini. Namun bagi pengacaraan pula ia adalah bukan pilihan yang terlalu digemarinya atas beberapa sebab. 

Rencana Marsha ke depan adalah dia mahu terus berada dan bekerja dalam industri hiburan meskipun tidak berada di hadapan kamera lagi. Baginya, tidak mungkin dia mampu untuk menyanyi dengan nada yang tinggi untuk selama-lamanya. Dia juga telah melihat prospek pasaran di Sabah dan dia telah pun bermula apabila bekerjasama dengan penyanyi Velvet Aduk  melalui lagu “Sumandak Sabah” . Lagu ini sudah mencecah tontonan sebanyak 17 juta di Youtube.  Selain itu, dia juga mula berjinak-jinak dengan pengarahan apabila dia terlibat mengarah video muziknya sendiri. Terbaru, dia sedang giat membantu bakat-bakat baharu dari Sabah untuk diketengahkan melalui naungan syarikat labelnya.

“Saya sudah mempunyai seorang penyanyi di bawah syarikat sendiri dan seorang lagi masih dalam rundingan.  Saya rasa kita ada banyak penyanyi berbakat di Sabah, cuma mereka tidak ada peluang dan platform yang besar. Harapnya, dengan hubungan saya di dalam industri boleh membantu mereka. Harapan saya adalah mereka bukan sahaja boleh mencipta nama di peringkat tempatan namun juga boleh menjadi nama besar di dalam industri arus perdana”, ujar dia dengan semangat. 

Di akhir temubual saya bertanya dengan Marsha mengenai cabaran dia sebagai seorang penyanyi yang berada di era di mana penyanyi baru semakin membanjiri industri dengan idea yang lebih segar serta acuan baru. Dia menjawab dia mahu terus mencuba sesuatu yang baru agar dapat menampung permintaan pasaran. 

“ Saya tidak merasa tergugat dengan kebanjiran ini. Kalau saya rasa tergugat pasti saya tidak akan membuka syarikat label. Bagi saya ini membuatkan industri lebih meriah. Tapi saya sebagai seorang penyanyi harus memastikan prestasi saya sentiasa meningkat dalam keadaan saya sedar saya mempunyai kelemahan tertentu. Suami saya juga turut memberikan sokongan yang penuh terhadap kerjaya saya”, balasnya. 

Sepanjang saya menembual Marsha, saya perasan akan satu hal. 18 tahun itu mungkin agak lama secara relatifnya bagi sesetangah artis berada di dalam industri. Namun, kecantikan serta keayuan Marsha tidak pernah pudar dari pertama kali saya melihatnya di kaca televisyen bergurau menyanyikan lagu ‘Underneath Pokok Kelapak’. Marsha bukan lagi Marsha yang tenggelam di sebalik tiupan taufan Tsumawi. Marsha kini adalah nama besar dalam industri hiburan kita. 

BASKL mengucapkan selamat maju jaya buat Marsha! 

DI SEBALIK TABIR BINTANG BASKL

Bintang BASKL: Marsha Milan
Editor BASKL & Penyelaras: Shah Shamshiri
Teks Bahasa Malaysia: Azuwan Ahmad
Penata Gaya: Mursh Mat Som
Solekan: Jibs Salim
Dandanan: Shasya Balqisya
Busana & Aksesori: Bill Keith
Jurugambar: Bustamam Mokhtar, White Studio
Lokasi: White Studio, Sungai Lui, Hulu Langat
Reka Letak Sampul Digital: Daniel Abdul Halim
Sekalung penghargaan buat saudara Hafis, pengurus Puan Marsha Milan

Baca kisah Bintang BASKL yang lain di pautan di bawah.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites