Adiguru CENDANA: Kamarul Baisah

Oleh WAN NOR ALIA WAN ALI

Kepelbagaian tradisi seni di Malaysia, patut kita pelajari, setidak-tidaknya perlu mengetahui atau mendalaminya supaya dapat membina jati diri dan identiti sebagai rakyat di negara ini.

“Di Malaysia terdapat 4 jenis wayang kulit; Melayu, Kelantan, Gedek dan Purwo. Kalau saya tak mewarisi Wayang Kulit Kelantan ni, pasti ia akan pupus seperti Wayang Kulit Melayu,” kata Kamarul Baisah antara Adiguru CENDANA.

Kamarul Baisah Bin Hussin atau mesra dengan panggilan Baisah merupakan anak kelahiran Kampung Banggol, Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan. Beliau merupakan antara pewaris seni wayang kulit yang sangat popular di negeri Cik Siti Wan Kembang. Menurut beliau hilangnya tradisi dalam sesebuah masyarakat kerana anak muda tidak didedahkan dengan budaya tersebut. Oleh itu,  Baisah mengambil peluang itu untuk bergiat aktif dalam persembahan wayang kulit dengan mencurahkan ilmu yang dimilikinya kepada generasi muda.

Sedikit perkongsian dari Baisah, banyak penulisan dan pendapat mengatakan sejarah wayang kulit berasal dari India, kemudian di bawa ke Asia Tenggara melalui pengaruh Hindu. Buktinya epik Hindu yang amat terkenal iaitu Ramayana dan Mahabharata menjadi bahan utama dalam persembahan wayang kulit dirantau ini sejak sekian lama dan kekal hingga kehari ini mengikut keupayaan dan pemahaman versi masing-masing.

Baisah berkongsi sedang asyik bercerita.

“Jacques Brunet juga mengatakan wayang kulit berasal dari India kerana patung yang terdapat di Kemboja dan Thailand mempunyai persamaan sepertimana yang terdapat di India. Berbeza pula pendapat Berthold Laufer yang menyatakan bahawa wayang kulit berasal dari Cina. Mangikut pendapat lain pula, seni persembahan ini berasal dari Thailand oleh kerana pengaruh dalam pemakaian pada patung terutamanya Seri Rama yang mempunyai pengaruh siam,” kata Baisah.

Tambahnya lagi, “walaubagaimanapun terdapat sejarah yang diperturunkan secara lisan dari mulut kemulut yang mengatakan Wayang Kulit Kelantan wujud apabila lahir baginda nabi Adam. Sejarah ini melibatkan fahaman dan pegangan dalaman oleh sesetengah Tok Dalang. Mengikut guru saya Che Mohd Nasir Yusoff, Wayang Kulit Kelantan berasal di negeri kelantan yang dibawa dan diperkenalkan oleh seorang Perempuan bernama Tok Mok Erok yang beragama Budha.”

Namun kepelbagaian pendapat ini tidak menghalang penggiat seni wayang kulit di negara kita untuk terus mengekalkan tradisi ini. Seni persembahan semestinya memerlukan minat yang tinggi untuk kita mahirkan diri, agar karya yang dipersembahkan itu memberi kesan bukan sahaja kepada penonton malah buat diri sendiri yang mewarisi atau mempelajari seni budaya ini. Munurut Baisah minatnya itu muncul setelah arwah bapanya telah mendidiknya sejak kecil lagi.

Siapa Tok Dalang Bisu?

“Sebelum saya mula masuk ASWARA, saya belajar (wayang kulit) dengan arwah bapa saya sambil menunggu keputusan SPM, Masa tahun 2000, saya cuti balik Kelantan, arwah bapa saya suruh jadi Tok Dalang Muda, dah lah masa tu tak pernah buat persembahan.

Masa buat persembahan tu, orang ramai dekat belakang nak tengok Baisah jadi Tok Dalang Muda, tak pernah lagi saya buat persembahan dekat Kelantan ni. Bila nak mula sahaja terpinga-pinga tak tahu nak buat apa. Akhirnya bapa saya pegang tangan, ditolak saya ke tepi, dia yang main. Sebab peristiwa tu, saya dapat gelaran Tok Dalang Bisu,” kongsi Baisah tentang memori saat yang membakar minatnya untuk mempelajari wayang kulit.

Baisah bersyukur kerana dorongan bapanya itu telah membuka ruang serta pilihan untuk mempelajari seni ini, membuahkan minat yang mendalam buat Baisah. Menurutnya untuk menguasai seni persembahan ini, terdapat beberapa kriteria utama yang perlu ada dalam diri individu atau pelajar tersebut.

Jika hendak menjadi seorang pemain wayang kulit, perlu ada tempo, kesabaran yang tinggi untuk menghafal lagu serta perlu menguasai teknik pernafasan yang betul. Berbeza pula untuk menjadi tok dalang, orangnya mestilah kreatif, mempunyai suara yang sedap dan ingatan yang kuat.

Bagi setiap penggiat yang ingin menjadi tok dalang juga, terdapat dua segmen yang perlu dipelajari dan dikuasi iaitu segmen  Dalang Muda dan Segmen  Dalang Tua.

Antara peralatan muzik untuk persembahan wayang kulit.

Menurut Baisah, “walaupun umur dia (penggiat) dah 60 tahun tapi dia kena ambil dalang muda dulu. Walaupun umur dia tujuh tahun, tetapi dia dah hebat, dia boleh digelar sebagai Tok Dalang Tua, itu yang uniknya dalam Wayang Kulit Kelantan”.

Dalam segmen Dalang muda, terdapat beberapa lagu yanag melibatkan nyanyian dan ucatan wayang yang perlu dihafal serta dikuasai. Setelah menguasai segmen Dalang Muda, barulah individu tersebut boleh beralih kepada segmen  Dalang Tua yang mana lebih terbuka dan boleh dikaitkan dengan kisah semasa.

Jenis epik atau penceritaan juga sebenarnya penting untuk menambat hati penonton. “kadang-kadang kalau kita nak main epik panjang, orang tak faham, tetapi sekarang ni di Kuala Lumpur, kita telah menggunakan cerita-cerita terkini, macam saya pernah buat cerita Hang Tuah, Hang Jebat, Hari Raya dan bermacam-macam cerita lagi bergantung pada pelanggan.

Kalau kita nak pegang pada epik semata-mata, nescaya wayang kulit ni akan tenggelam sebab orang sekarang ni tak sama pemikiran macam orang dulu. Kalau kita buat hikayat Ramayana, tidurlah mereka. Lebih-lebih lagi dalam dialek Kelantan pula,” kongsi Baisah pula kerana bagi beliau pemodenan tradisi kadang-kadang perlu tapi mengikut kesesuaian tempat dan penonton.

Baisah berkongsikan sedikit persembahan wayang kulit.

Jadi bagaimana untuk mengelakkan dari berlakunya kepupusan budaya? “Dengan inovasi,” katanya. Kongsinya lagi, jika kita lihat dari segi sejarah bagaimana wayang kulit Kelantan berada di Kelantan dan bagaimana tradisi ini masih kekal di tanah air, kerana Inovasi dan evolusi. Beberapa perkongsian Baisah menarik minat penulis, contohnya dari segi lampu, dulunya lampu dibelakang wayang kulit menggunakan lemak-lemak haiwan yang dibakar dan mengeluarkan api, kemudian berubah kepada damar dari pokok merbau, kemudian beralih kepada lilin, pelita ayam, lampu gasolin dan akhirnya penggunaan elektrik.

Bayangkan jika di masa kini kita masih menggunakan lemak haiwan, sedangkan negara kita sudah melalui fasa pemodenan dan terdapat tenaga elektrik yang lebih memudahkan segala urusan. Tapi perlu berbalik pada apa yang disebut Baisah, pembaharuan atau inovasi pun perlu bertempat.

“Nilai estetika dalam wayang kulit tu kita pegang, kita perlu jaga, cuma dari segi cerita je kita ubah, kita belum lagi masuk drum, bass gitar, macam Thailand, tapi kita masih kekalkan tradisi menggunakan alat muzik seperti gedombak dan geduk. Cuma bezanya, kita masukkan lagu-lagu moden,” tambahnya dengan penerapan sebegini dapat memberi lebih pendekatan buat generasi muda.

Mempertahankan seni wayang kulit yang diibarat seperti mengalir dalam darah dagingnya. Bermula dari bapanya seni ini turun ke Baisah dan sekarang beliau mewariskan seni ini kepada anaknya pula, agar tradisi ini dapat dipertahankan selamanya.

Kamarul Baisah merupakan penerima geran Adiguru fasa ke-2 dalam seni persembahan wayang kulit. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Anda juga boleh mengikuti kisah lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites