Air tangan Zamzuriah Zahari menerusi persembahan tradisional Mek Mulung

Panggung Rakyat tahun ini kembali dengan episod pertama yang menampilkan teater tradisional Mek Mulung secara dalam talian. Ikuti temu bual bersama Adiguru CENDANA Zamzuriah Zahari tentang persedian bagi membuat persembahan Mek Mulung secara dalam talian.

OLEH FAZRINA JASMIN

Komited untuk memelihara dan menghidupkan semula warisan tarian dan teater tradisional Melayu, penerima Anugerah Seni Nasional 2006 (Bakat Muda – Penari) Zamzuriah Zahari merupakan seorang penari, koreografer, pelakon dan penyanyi. Menyandang jawatan Dekan Fakulti Tari ASWARA, kepakaran Zamzuriah meliputi gaya Tarian Tari Inai, Mak Yong Kelantan, Mek Mulung Kedah dan Mak Yong Riau.

Bulan lalu, Zamzuriah sibuk membuat persiapan untuk sebuah rancangan khas, Panggung Rakyat, yang dibawa khas untuk penonton secara atas talian oleh CENDANA (melalui PRISMA) dengan kerjasama DBKL. Tahun ini, Panggung Rakyat kembali dengan episod pertama yang menampilkan teater tradisional Mek Mulung berjudul Lakhon Dewa Kaca.

Ikuti temubual eksklusif menjelang persembahan Mek Mulung pimpinan Zamzuriah yang bakal menemui penonton secara maya.

Bagaimana situasi pandemik terkini memberi impak secara langsung dan juga tidak langsung kepada penggiat seni?

Secara peribadi, saya cuba menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Dengan kekangan yang sedia ada, susun atur atau corak persembahan pastinya perlu dirombak, namun mereka yang terkesan tidak boleh patah semangat dan berputus asa. Mereka perlu bergerak seiring dengan perkembangan dan peredaran semasa dengan mengambil kira kemelut yang sedang kita hadapi sekarang.

Memandangkan platform persembahan kini perlu diubah suai, bagaimana pula interaksi dengan penonton dan penghayatan cerita yang ingin disampaikan – adakah turut sama terkesan?

Ya, penghayatan itu boleh dikatakan sangat berbeza, tetapi masih ada sudut positif mahupun negatif. Dari sudut positif, apabila kita membuat sesuatu rakaman, kita masih berpeluang untuk memperbetulkan kesilapan yang berlaku bagi memastikan sesebuah persembahan itu bertepatan dengan selera penonton dan dapat menarik perhatian setelah dirakam dan ditayangkan. Berbeza dengan platform persembahan di atas pentas yang biasanya akan memakan masa untuk menjalani latihan demi latihan. Apa sahaja yang berlaku sewaktu persembahan berlangsung, sama ada dari segi kecacatan lakonan, tarian, nyanyian, kerosakan audio, sistem bunyi mahupun kesilapan dialog sekalipun sudah tidak dapat diperbetulkan.

Zamzuriah merupakan seorang penari, koreografer, pelakon dan penyanyi

Macam saya sendiri, saya mengajar Mek Mulung dan Mak Yong. Saya sering mengingatkan pelajar-pelajar saya yang pendekatan atau kaedah persembahan sekarang ada kekurangan dan juga kelebihan. Seperti yang saya katakan pada awal-awal tadi, untuk persembahan pentas, andai mereka tersilap, sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila selesai, masing-masing mungkin akan rasa sedikit ralat, terkilan dan sebagainya. Tapi untuk platform terkini, sekurang-kurangnya masih ada masa untuk merakam persembahan berkali-kali sebelum menggabungkannya.

Pertama, mereka dapat belajar sesuatu yang baharu melalui platform digital. Yang kedua, mereka ada ruang dan peluang untuk memperbaiki kesilapan. Mereka perlu dan boleh melakukan yang terbaik dengan percubaan rakaman secara berulang kali. Secara peribadi, sebagai pelakon tidak dinafikan saya sendiri rasa tidak cukup puas sebenarnya dengan keterbatasan yang ada, lebih-lebih lagi apabila perlu bekerja dari rumah dengan ruang yang terhad.

Sekiranya persembahan boleh menggunakan skrin hijau masih okay lagi dapat juga tukar latar belakang dan sebagainya. Tetapi sekarang, hendak keluar untuk pergi ke studio bagi menggunakan skrin hijau pun sudah tidak boleh dan tidak semua pelakon ada kelengkapan yang mencukupi. Namun, bagi saya persiapan inilah yang kita kena fikirkan dari awal sekiranya kita tidak boleh pergi ke mana-mana.

Kalau dahulu kita bekerja dan mencari duit dengan membuat persembahan, tetapi sekarang kita perlu mencari dahulu kelengkapan sebelum kita boleh membuat persembahan, iaitu persiapan dari segi peranti digital sekurang-kurangnya laptop, kamera, ruang yang bersesuaian untuk proses rakaman dan sebagainya. Platform untuk seseorang artis atau penggiat seni perlu dikembangkan dengan cara tersendiri, memandangkan kini tidak lagi memerlukan menghadirkan diri secara fizikal mahupun berkumpul di pentas.

Apabila rakaman setiap individu perlu disunting dan digabungkan untuk membentuk sebuah penceritaan atau persembahan yang lengkap, kebiasaannya adakah ia dibuat secara kolektif atau bersendirian?

Jika saya ingin adakan persembahan Mek Mulung secara dalam talian, saya perlu mengenal pasti beban yang dipikul kebiasaannya akan terbahagi kepada dua jenis. Saya ambil contoh persembahan sebelum ini di klpac terdapat pengurusan di belakang pentas dan juga di atas pentas, khas untuk pelakon. Sama juga menerusi dalam talian, saya mengajar pelakon agar lebih tertumpu untuk mengasah bakat sedia ada dan merakam di rumah masing-masing.

Bagi pengurusan di belakang pentas pula melibatkan mereka yang membuat kerja-kerja penyuntingan. Di sini gerak kerja bertukar sedikit, bukan lagi sebagai pengurus pentas semata-mata, penjagaan audio atau pencahayaan, tetapi lebih kepada kepakaran dalam bidang digital. Dahulu, penyuntingan video biasanya melibatkan orang-orang yang bekerja dalam penghasilan drama atau filem. Sekarang, secara automatik mereka ini turut terjerumus dalam kerja-kerja persembahan secara dalam talian.

Sebagai pengajar, salah satu cara untuk memastikan agar pelajar-pelajar saya tidak ketinggalan adalah dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang penyuntingan untuk memberi pendedahan kepada mereka berkaitan teknik-teknik dan kemahiran yang perlu dikuasai. Perlu untuk saya tekankan di sini, tidak semua yang terlibat dalam seni persembahan mahir menyanyi, berlakon, menari dan sebagainya. Jadi perlu diubah atau dikembangkan lagi skop kerja yang lazimnya melibatkan kerja-kerja pengurusan di belakang pentas.

Menerusi lakonan secara dalam talian, adakah perlu untuk barisan pelakon yang biasanya mengambil tempat di atas pentas untuk turut menguasai kemahiran yang lain?

Biasanya pelakon yang terdiri daripada pelajar-pelajar ini diberikan kebebasan kreativiti tanpa had. Sebagai contoh, pendekatan yang saya sarankan kepada mereka ialah dengan membayangkan filem pendek yang ingin dihasilkan tetapi masing-masing melontarkan dialog secara maya di tempat-tempat yang berbeza.

Jadi mereka perlu mengetahui bagaimana hendak menggarap dan gabungkan keseluruhan babak agar kelihatan seolah-olah dilakonkan secara berdepan. Apabila merakam sisi dialog ke dialog dalam sesebuah babak, mereka perlu menjadi kreatif dengan membayangkan interaksi itu berlaku dari arah mana bertentangan, bersebelahan atau mungkin juga melibatkan gerak balas yang muncul dari arah hadapan/belakang. Jadi amat penting untuk mereka membayangkan atau mengolahnya secara realistik.

Setakat ini, bagi pelajar-pelajar tahap diploma/ijazah, mereka boleh menguasai kemahiran dari sudut cara rakaman dibuat dan seterusnya ditayangkan untuk tontonan dan penilaian bersama. Dari situ, kita boleh lihat sama ada penyampaian sesuatu dialog itu bertepatan atau tidak, khususnya dari sudut angle yang dirakam. Itulah proses pembelajaran yang biasanya berlaku.

Bolehkah anda berkongsi sedikit maklumat berkaitan persembahan Mek Mulung yang bakal ditayangkan tidak lama lagi?

Kami sangat berbesar hati apabila dipelawa oleh CENDANA untuk mengadakan persembahan Mek Mulung menerusi platform dalam talian. Menariknya, kami perlu merakamkan setiap jalan cerita walaupun pelakon berada di tempat yang berasingan, dan seterusnya menggabungkan keseluruhan rakaman tadi.

Perincian tenaga kerja melibatkan tiga di Kedah, dua di Kelantan, dua di Johor, manakala bakinya di KL. Kami gabungkan kesemua dialog dan jadikannya satu cerita dalam bentuk persembahan pendek bagi tujuan pembelajaran, di samping turut melibatkan beberapa tokoh seni dan akademik menerusi slot forum atau wawancara.

Persembahan Mek Mulung yang bakal ditayangkan menerusi CENDANA melibatkan tenaga kerja profesional, pakar akademik mahupun praktikal serta kerja-kerja penyuntingan yang dilakukan secara professional. Perlu saya ingatkan, ini bukanlah menjurus kepada kepakaran penyuntingan filem mahupun drama, tetapi lebih tertumpu kepada kerja-kerja animasi dan bagaimana untuk menggabungkan rakaman sesuatu video frame by frame agar jelas mood yang ingin disampaikan.

Memang mencabar kerana pada peringkat awalnya kita masih belum nampak gambaran secara menyeluruh. Pastinya keseronokan itu dirasakan sebaik selesai proses penyuntingan rakaman-rakaman video yang digabungkan tadi walaupun asalnya dirakam di rumah masing-masing, hasilnya menampakkan kerjasama lakonan yang baik apabila babak-babak tadi berjaya digabungkan dan berjalan dengan sempurna.

Hasil gabungan melalui suntingan yang dibuat produksi Mek Mulung.

Adakah persembahan Mek Mulung yang bakal ditayangkan turut dirombak secara besar-besaran?

Pada asalnya saya ingin mengetengahkan Mek Mulung dalam bentuk pendidikan didahului dengan persembahan dan diselangi dengan perkongsian maklumat menerusi wawancara bersama tokoh-tokoh Mek Mulung setempat mahupun wawancara bersama tokoh-tokoh akademik bagi berkongsi cerita dan perihal sejarah Mek Mulung. Manakala suatu pendekatan lagi adalah berbentuk dokumentari dengan menayangkan keseluruhan persembahan sebelum masuk ke bahagian kedua, iaitu perkongsian ilmu oleh tokoh-tokoh praktikal keturunan Mek Mulung berserta tokoh-tokoh akademik yang mendalami seni Mek Mulung itu sendiri. Setakat ini, kami masih lagi dalam proses menyiapkan rakaman individu-individu terbabit di rumah masing-masing.

Bentuk persediaan bagi memastikan kelancaran persembahan yang bakal berlangsung?

Bagi persembahan kelolaan CENDANA, ia melibatkan tenaga mahir dan profesional, jadi cuma perlu mempertimbangkan pengendalian rakaman oleh setiap individu. Dari segi lontaran dialog, jarak yang bersesuaian dengan kamera, kejelasan audio sewaktu beraksi yang dibantu oleh peralatan IT/aksesori digital yang sedia ada. Sesetengah pelakon mungkin ada kekangan kewangan untuk mendapatkan aksesori tambahan seperti clip mic. Dari situ apa yang saya boleh sarankan ialah merakam sebahagian badan sahaja agar tidak terlalu jauh daripada mikrofon memandangkan audio perlu jelas dan ditangkap serentak dengan aksi.

Pergerakan pelakon dan penari perlu dikawal rapi dan latar belakang juga perlu dipastikan agar tidak mengganggu ruang beraksi ketika rakaman sedang berjalan. Ini juga merupakan suatu bentuk proses pembelajaran yang berguna sepanjang berjalannya latihan persembahan.

Dari segi peruntukan masa pula agak singkat, iaitu sebulan untuk keseluruhan proses rakaman dan penyuntingan persembahan dan wawancara. Ini mencukupi tempoh masa selewat-lewatnya 15 hari untuk setiap pelakon merakam aksi persembahan masing-masing (selain slot wawancara bersama tokoh-tokoh Mek Mulung) sebelum akhirnya proses penyuntingan dijalankan oleh setiap satu kumpulan editor yang terlibat.

Keseluruhan tenaga kerja yang terlibat bagi persembahan Mek Mulung?

Lebih kurang dalam 15 orang termasuk pemuzik. Suatu aspek penting yang ingin saya kongsikan dari segi rakaman audio, ia perlu dirakam berasingan dan hanya akan dimasukkan sewaktu proses penyuntingan berlangsung. Proses kerja bagi penataan bunyi mungkin sedikit leceh tetapi setakat ini masih boleh diuruskan dengan baik kerana pemantauan dibuat dari semasa ke semasa.

Sehingga hari ini, sudah dua malam berturut-turut kami menjalani trial run, bermula dari jam 9 malam hingga 11.30 malam bagi memastikan kelancaran dan ketepatan transisi masa untuk ketiga-tiga babak, selain memudahkan lagi kerja-kerja penyuntingan. Kami juga perlu menjaga mandat timing persembahan yang diperuntukkan sekitar 40 minit sahaja daripada keseluruhan cerita (lazimnya pementasan Mek Mulung mengambil masa antara satu jam setengah sehingga dua jam), merangkumi gabungan gerak tari, lakonan dan slot wawancara yang berlangsung sepanjang persembahan.

Bagi kami, apa yang penting ialah kualiti gabungan keseluruhan persembahan dan bagaimana penonton dapat menyaksikan sebuah penceritaan yang lengkap dari babak tarian pembukaan sehinggalah penyelesaian cerita dan akhirnya penutup, dan dilengkapkan lagi dengan segmen perkongsian ilmu oleh tokoh-tokoh yang turut sama memeriahkan persembahan ini.

Panggung Rakyat mempersembahkan Mek Mulung pada Ogos 28, 8.30pm melalui laman sosial Facebook CENDANAMalaysia. Dokumentari Mek Mulung juga memaparkan Tokoh Warisan Mek Mulung yang akan dipaparkan di baskl.com.my pada Ogos 30. Pastikan anda mengikuti dan menonton rancangan ini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites