Adiguru CENDANA: Julitah Kulinting, Amirul Jibar dan Salomon Gau

Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang cukup padat dengan sejarah dan kebudayaan dek kerencaman etnik. Baca mengenai barisan Adiguru CENDANA dari Borneo yang mahir dalam anyaman buluh, muzik gong dan tradisi lisan di sini.

Oleh DANIAL FUAD

Borneo merupakan pulau ketiga terbesar di dunia dan dikongsi di antara Malaysia, Indonesia dan Brunei. Di kepulauan inilah terletaknya Malaysia Timur, di mana terletaknya Sabah dan Sarawak. Dengan kepelbagaian etnik yang menetap di Sabah dan Sarawak, tentulah seni dan kebudayaan di negeri-negeri tersebut sangatlah kaya. Menelusuri sejarah yang sangat panjang, terdapat pelbagai jenis kesenian yang telah diturunkan semenjak nenek moyang lagi seperti anyaman, seni muzik dan juga seni kesusasteraan.

Julitah Kulinting

Jika melihat di Sabah, seni anyaman buluh masih diamalkan terutamanya jika melihat Julitah binti Kulinting. Lahir di Kg. Sinaron, Sook, Keningau, Sabah, Julitah yang kini berusia 56 tahun masih giat dalam menghasilkan barang hasil daripada anyaman. Bermula sebagai hobi sahaja pada tahun 1986, Julitah mula mengambil pesanan daripada Yayasan Sabah dan Perbadanan Kraftangan Malaysia pada tahun 1999.

Menurut penganyam berketurunan Dusun ini, aktiviti tersebut adalah sesuatu yang biasa ketika beliau membesar. Ini disebabkan kampung tempatnya membesar agak terpencil, jadi kebanyakan peralatan di rumah adalah buatan tangan. Julitah mula menghasilkan kraf anyaman di Kg. Batu Lunguyan setelah pemergian ibunya yang juga merupakan seorang penganyam. Pada tahun 2011, Julitah mula berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Pusat Kraftangan Sabah. Beliau bersara pada tahun 2022.

Hasil kraf daripada Kg. Batu Lunguyan sangatlah berkualiti tinggi sehinggakan telah dianugerahkan Seal of Excellence for Handicraft Products in South East Asia oleh UNESCO pada tahun 2003. Julitah juga bukanlah seorang yang asing dalam menerima anugerah di mana pada tahun 2009, beg anyaman Salingkawang yang dihasilkan oleh beliau telah memenangi pertandingan SDSI Forest Produce Competition yang diadakan di Melaka Internasional Trade Center. Selain itu, beliau juga telah menerima anugerah Good Design Award oleh Majlis Rekabentuk Malaysia pada tahun 2019. Baru-baru ini pula Julitah telah dilantik Adiguru Kraf 2023 oleh Kraftangan Malaysia. Selain daripada itu, beliau juga pernah bekerjasama dengan seniman visual Yee I-Lann untuk menghasilkan karya-karya anyaman.

Untuk menyambung tradisi anyaman yang diterima oleh Julitah, beliau telah menganjurkan sebuah siri bengkel pada pertengahan tahun 2022. Beliau merupakan penerima geran Adiguru, sebuah dana kerjasama antara CENDANA dan juga PUSAKA untuk kitaran pertama, jadi Julitah telah mengadakan tiga bengkel berkenaan dengan anyaman buluh. Peserta yang mengikuti siri bengkel ini akan diajar mengenai asas pengenalan dan pemprosesan bahan seperti buluh rotan dan salingkawang sehinggalah kepada penghasilan produk daripada buluh.

Amirul Jibar

Bergerak kepada seni muzik pula, Amirul Jibar merupakan pengasas bagi Persatuan Pemuzik Gong dan Kulintangan Negeri Sabah. Ditubuhkan pada tahun 2019, persatuan tersebut diwujudkan bagi memperkenalkan budaya dan tradisi orang Bajau dengan lebih meluas. Semenjak penubuhan mereka, terdapat beberapa program telah mereka anjurkan seperti kelas Bertitik, Biola Isun-isun, Syair Kahwin, Syair Kubur dan Runsai Bajao.

Bertitik adalah muzik tradisional Sama-Bajau di Kota Belud, tempat di mana Persatuan Pemuzik Gong dan Kulintangan Negeri Sabah berpusat. Kamus Dewan memberikan definisi dipukul atau ditempa untuk bertitik ini. Biasanya dimainkan oleh tujuh orang secara serentak, alat muzik yang digunakan ada empat kesemuanya iaitu gendang, gong, babandil dan kulintangan.  

Kebiasaannya, muzik Bertitik ini dimainkan semasa majlis perkahwinan sebagai pengumuman kepada penduduk kampung bahawa majlis sedang berlangsung. Muzik ini juga dimainkan pada petang sebelumnya, semasa malam berinai berlangsung, serta semasa berlangsungnya majlis persandingan. Sinonim dengan keraian, Bertitik tidak dimainkan apabila terdapat kesusahan atau kematian dalam kampung tersebut selama 40 hari.

Selain daripada itu, persatuan itu juga berkongsi adat lain Bajau seperti Biola Isun-isun; juga sebuah tradisi yang diamalkan ketika majlis perkahwinan. Seorang pemain biola yang mendendangkan rentak isun-isun biasa digandingkan dengan dua orang penyair. Kandungan nyanyian selalunya berkait antara satu rangkap dengan satu rangkap yang lain, lengkap dengan cerita awal hingga akhir.

Terdapat satu lagi adat Bajau berkaitan perkahwinan iaitu Syair Kahwin yang dideklamasikan ketika pengantin lelaki membuka kelubung pengantin perempuan sebelum naik ke pelamin. Runsai Bajau pula merupakan tarian yang diamalkan ketika perkahwinan di mana tiada muzik dimainkan. Akan tetapi, sajak runsai akan digandingkan dengan hentakan kaki sebagai penambah rasa.

Amirul Jibar juga merupakan penerima geran Adiguru CENDANA di mana melalui Persatuan Pemuzik Gong dan Kulintangan Sabah menganjurkan Program Bertitik. Berlangsung daripada Oktober 2021 hingga Februari 2022, kediaman Amirul telah dijadikan lokasi untuk kelas setiap hujung minggu. Kelas dibahagikan kepada golongan belia pada hari Sabtu manakala golongan dewasa kelas dibuka pada hari Ahad selama lima bulan.

Salomon Gau

Sarawak juga tidak terkecuali dengan seni dan budaya yang sangat kaya. Di Sarawak, terdapat Etnik Orang Ulu, sebuah etnik minoriti yang merupakan gabungan 27 suku kaum kecil. Salah sebuah etnik yang merangkumi Orang Ulu adalah Kenyah, sebuah suku kaum yang mempunyai nilai kreativiti yang sangat tinggi. Antara kesenian yang sangat masyhur dalam kalangan mereka adalah muzik dan tarian.

Salomon Gau (kiri) dan Lian Balan

Salomon Gau merupakan seorang pengamal seni berketurunan Kenyah yang disegani di mana beliau telah berkecimpung dalam bidang tarian dan muzik hampir 20 tahun lamanya.  Berasal daripada Long Ikang, Baram, minat terhadap muzik dan instrumen tradisional telah membawa pemuzik seni berusia 57 tahun ini ke mata dunia. Berjaya memenangi Festival Sape’ Borneo pada tahun 2008, beliau juga pernah melakukan konsert jelajah sekitar Eropah serta menyertai Hong Kong Chinese Orchestra untuk persembahan Kelunan, sebuah teater muzikal Kenyah-Kayan yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Center pada tahun 2019.

Lian Balan pula merupakan seorang pemain dan pembuat Sape yang berpusat di Long Moh, Baram. Kini berusia 75 tahun, Lian telah mula bermain alat muzik ini semenjak dari umur 10 tahun lagi. Bermula dengan belajar sendiri dengan Sape’ hadiah daripada pak ciknya, Lian meneruskan pembelajaran bermain alat muzik itu dengan bapa mertuanya, Aba Njok.

Selain daripada bermain muzik, beliau juga merupakan pengamal tradisi lisan etnik Kenyah. Tradisi lisan merupakan sesebuah cara untuk menyampaikan sejarah dan kebudayaan sesebuah masyarakat melalui mulut ke mulut kepada generasi seterusnya. Memandangkan perkara ini tidak dicatatkan melalui tulisan, Salomon merasakan ianya penting untuk dirakamkan supaya perkara ini tidak hilang ditelan zaman. Ini adalah kerana bahasa Kenyah purba hanyalah boleh difahami oleh golongan yang berumur 70 tahun ke atas sahaja pada zaman ini.

Sehubungan dengan itu, beliau telah bekerjasama dengan Lian untuk menghasilkan sebuah buku puisi Kenyah. Dengan penerimaan dana Adiguru CENDANA, mereka telah menemuramah beberapa penglipur lara dalam usaha merakamkan cerita-cerita mereka. Kemudian ia diterjemah daripada bahasa Kenyah kepada Inggeris dan juga Bahasa Malaysia di mana buku ini telah dilancarkan pada Ogos 2022 lalu.

Penutup

Terdapat pelbagai jenis seni dan kebudayaan yang semakin hari semakin ditelan arus kemodenan. Jadi, pujian harus diberikan kepada barisan Adiguru CENDANA dari Sabah dan Sarawak ini yang terus berusaha untuk memanjangkan hayat kesenian yang ada. Diharapkan dengan usaha-usaha yang telah ada ini, sedikit sebanyak dapat membantu dalam memperkenalkan seni dan tradisi ini dengan lebih meluas; membantu dalam kesinambungan seni ini dalam tampuk sejarah.

Amirul Jibar dan Salomon Gau merupakan penerima dana Adiguru CENDANA fasa kedua, manakala Julitah Kulinting pula adalah penerima dana ini pada fasa pertama; masing-masing dalam seni anyaman, muzik dan lisan. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah menarik lain yang terdapat di BASKL melaui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites