Adiguru CENDANA: Ah Tid A/L Ah Sing

Ah Tid A/L Ah Sing merupakan seorang pemain Manora. Persembahan tradisi muzik, tari dan persembahan yang berasal dari negara Thai ini telah diwarisi dan dipraktikkan di beberapa buah negeri di Malaysia.

Oleh CHIN JIAN WEI | Diterjemah oleh AZUWAN AHMAD

Ah Tid A/L Ah Sing merupakan seorang pengamal Manora yang berasal daripada Kelantan. Menaro, yang juga dikenali sebahagian masyarakat sebagai Nora Catri adalah merupakan tari-drama tradisional rakyat yang diamalkan oleh komuniti Thai di negeri utara Malaysia seperti Kedah, Penang, Kelantan dan juga selatan Thailand. Seni ini adalah sebuah persembahan yang holistik dimana ia menggabungkan gaya tarian, nyanyian, komedi dan drama. Ia secara tradisinya dipersembahkan di majlis-majlis istimewa seperi perayaan kuil Buddha, majlis keramaian termasuk majlis perkahwinan dan untuk meraikan festival masyarakat Thai seperti Loy Krathong serta Songkran.

Ah Tid A/L Ah Sing menari dengan kostumnya.

Perkataan ‘Manora’ diambil dari sebuah kisah sastera Jataka Buddha mengenai Manora, puteri burung dari kayangan yang jatuh cinta pada seorang putera raja bernama Phra Suthon. Kisah ini telah membentuk urutan tarian asas seni ini dimana penari utamanya, yang berlagak seperti Phra Suthon mempersembahkan tarian memikat Manora dan puteri-puteri kayangan.

Ah Tid yang didedahkan dengan bentuk seni ini daripada usia awal mengakui dia mula timbul minat selepas menonton sebuah persembahan Manora. “Saya pada mulanya berminat pada muziknya dahulu,” kata Ah Tid yang tersenyum mengingati waktu itu. “Ia menarik perhatian saya dengan gendang dan gendutnya (drum). Mungkin Manora memang sudah mengallir dalam darah saya, mungkin kerana itu saya tenggelam di dalamnya. Bila saya mula masuk ke dalam panggung, ia bukan lah terlalu mengenai Manora tapi lebih kepada muziknya. Saya bertanya pada guru saya bagaimana untuk memainkan muziknya, tapi dia mengatakan bahawa kalau saya mahu belajar muziknya, saya mesti belajar tarian yang seiring dengan muziknya dahulu”. Dia mula belajar dari gurunya, Kun Eler dan pada tahun 1986 dan menjadi pemuzik dalam dua kumpulan Manora tersohor, Chom Cahaya Bulan dan Chau Nim.

Kumpulan yang mengiringi persembahan Manora.

Gerakan tangan yang melentik dan bukaan tangan menjadi ciri khas kepada gerakan tarian tersebut, sebagai simbol gerakan yang lembut dan cepat menyamai burung mistik. Tarian pembukaan diikuti dengan lakonan dalam pelbagai cerita dipersembahkan oleh penari utama, pak lawak dan pelakon pembantu. Pakaian khusus para penari Manora terdiri daripada mahkota yang dipakai di kepala, dikenali sebagai ‘kecopong’, kuku panjang melengkung berwarna perak disebut ‘canggai’, korset bermanik ‘laa’ dan sayap Manora yang dipanggil ‘sayap sandang’.

Para penari Manora.

Kali pertama Ah Tid membuat persembahan adalah sekitar tahun 90-an. “Kami membuat persembahan di rumah-rumah dan wad hospital. Kadangkala, ketika orang sudah pulih dari tempoh sakit, mereka mahu menonton Manora”. Ada beberapa versi tarian Manora yang boleh didapati di Malaysia dan versi-versi tersebut berbeza dengan versi yang ada di Thailand. “Tempo nya sama namun bunyian muzik berbeza. Saya ada juga mendengar pengamal di Thailand menyanyikan lagu yang sama seperti saya,” kata Ah Tid. 

Dalam program Adiguru CENDANA, Ah Tid berpeluang mengajar pelatih untuk seni Manora. “Lebih 10 pelatih terlibat, anak muda dari kawasan setempat. Mereka ini merupakan generasi yang kedua”. Ah Tid telah mengajar mereka ini untuk menari bagi mendukung watak adik-beradik kayangan Puteri Manora.  Apa yang menarik adalah walaupun waktu sekarang watak-watak ini dilakonkan oleh perempuan sahaja, waktu dahulu lelaki juga boleh memainkan watak ini asalkan mereka dapat melakonkan dengan yakin dan menyeimbangkan antara lembut dan keras. Guru Ah Tid sendiri pernah mempersembahkan watak tersebut.

Ah Tid bersiap untuk membuat persembahan.

“Ada beberapa aspek spiritual tertentu dalam Manora”, ujar Ah Tid. Lagi pula Manora memang merupakan kisah para dewa. “Kadangkala  anak-anak keturunan Manora melihat kami membuat persembahan”, Ah Tid berkata secara riang mengenai orang-orang berketurunan Thai. “Mereka sangat gembira sehingga menitis air mata. Mereka senang melihat amalan seni ini masih dihidupkan”.

Kumpulan Manora Cit Manis adalah diantara kumpulan Manora yang sedikit masih aktif di Kelantan. “Saya berharap Manora akan terus makmur dan diteruskan oleh generasi yang akan datang, selagi mana boleh”, pesan sayu Ah Tid.

Ah Tid A/L Ah Sing merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni persembahan Manora. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di Baskl:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites