5 dekad Pok Wi pandai besi

Pok Wi pandai perak dan emas yang telah berkecimpung dalam bidang ini selama lima dekad

oleh DANIAL FUAD

Lebih kurang 10-kilometer dari Kota Bharu, terletaknya sebuah kampung yang cukup terkenal dengan pertukangan perak dan emas pada suatu masa dulu. Sehingga kini Kampung Morak masih menjadi salah sebuah kampung yang masih lagi aktif dalam pembikinan barangan perak. Di sini jugalah tempat di mana Mohd Ariffin bin Wok, atau lebih mesra dikenali sebagai Pok Wi telah mendirikan bengkelnya lebih kurang 40 tahun lalu.

Bertahan sehingga kini, Pok Wi masih lagi sibuk dengan pembikinan kraf ini walaupun sudah mencecah usia 70 tahun. “Pertukangan besi ini bukanlah suatu yang mudah, saya mula belajar pertukangan ni dari umur 20an begitu dan hanya membuka bengkel lebih kurang 10 tahun kemudian,” ujar Pok Wi.

“Antara tahun 70an ke 80an, perak sangat tinggi permintaannya dan terdapat lebih kurang 50 orang pandai besi yang ada di Kampung Morak ini, namun kini hanya tinggal tujuh atau lapan orang sahaja yang masih aktif,” tambah Pok Wi lagi di mana disebabkan mempunyai lengkung pembelajaran yang tinggi membuatkan orang muda tidak berminat melakukan pekerjaan ini. Kini Pok Wi dibantu dengan dua orang pembantu di bengkelnya di mana salah seorang daripadanya merupakan anak menantu beliau.

Disebabkan kos bahan mentah yang tinggi, Pok Wi hanya melakukan produk atas dasar tempahan sahaja. Kebiasaannya beliau banyak melakukan sarung keris, mangkuk tingkat, tepak sireh dan juga dulang hantaran. “Sekarang ini kos sekilo perak boleh mencecah sehingga RM4,000 lebih dan jika mahu membuat produk yang beratnya sekilo, kita memerlukan bahan mentah sehingga dua kilogram,” ujar Pok Wi.

Selain daripada menerima tempahan daripada dalam negara, Pok Wi juga ada mendapat tempahan luar negara di mana beliau menambah “Saya juga pernah pergi ke Brunei sebanyak 15 kali sebelum ini untuk menjual produk saya, namun akibat minat berkurangan di sana, saban tahun saya sudah tidak ke sana lagi.” Selain daripada itu, Pok Wi juga kerap menghasilkan kepala tali pinggang perak dan juga emas.

“Tunku Azizah menempah tiga set barangan perak berbentuk mangkuk tingkat yang telah disiapkan oleh saya sendiri,” tambah Pok Wi di mana kesohoran beliau dalam kepandaian membuat besi ini membuatkan beliau pernah menerima lawatan daripada Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada tahun 2019.

Pok Wi juga merupakan penerima geran Pilihan Industri Seni Kraf Craft kelolaan CENDANA, sebuah unit dibawah Kumpulan MyCreative yang telah membantu seramai 159 penggiat seni kraf dalam usaha Kerajaan melalui Skim PENJANA. “Melalui program ini, saya dapat menambah beberapa alatan yang memudahkan kerja saya seperti alat mengimpal elektrik. Sebelum ini saya menggunakan teknik manual dengan memijak angin masuk ke alat pengimpal untuk memanaskannya,” ujar Pok Wi.

Masih bertahan mengamalkan kraf yang makin ditelan zaman, Pok Wi cekal meneruskan usaha dalam menghasilkan produk berasaskan perak dan besi. “Kini orang ramai lebih senang memilih piuter kerana harganya yang lebih murah,” ujar Pok Wi tentang kebolehpasaran produknya. Namun begitu, masih ada orang yang betul-betul menghargai kesenian perak dan emas ini dan tidak hirau tentang harganya.

Kepada yang berminat terhadap kraf Pok Wi, bolehlah melawat beliau di bengkelnya yang terletak di No 16, Kampung Morak, 17040 Palekbang, Tumpat, Kelantan. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp jika terdapat sebarang tempahan yang ingin dibuat melalui nombor ini.

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites