Rancakkan semula sambutan genre blues di Malaysia!

Mengimbau zaman kegemilangan blues dan khabar semasanya, BASKL berbual dengan Pengarah Kreatif festival Back to the Blues, Sashmar Omar di belakang tabir.

Oleh NABILA AZLAN

Festival muzik satu-hari Back To The Blues yang berlangsung di Kuala Lumpur Performing Arts Center (klpac) pada 24 Februari 2024 mempamerkan kekuatan dan keunikan genre tersebut. Dianjurkan oleh Parallax Dimension Studios dan Senisana dengan kolaborasi Lucian Perera, seramai 17 pemuzik ‘otai’ dan baharu dari rantau ini berhimpun untuk memberikan persembahan blues yang mengagumkan pada 24 Februari 2024.

Antara barisan artis yang menghiburkan pengunjung dan penonton adalah Blues Gang, Azmyl Yunor & The Truly Asia, Dani Komari, Bourbon Lassi, Billie Blue & The Nowhere Man dan Big Blues Jam. Selain mengetengahkan permata blues tempatan, festival ini turut menjemput Dom Turner dan Al Terry dari Australia serta Gugun Blues Shelter dari Indonesia dalam memberikan pengalaman blues yang lebih menyeluruh.

Dimuatkan bukan sahaja dengan persembahan muzik daripada ‘otai’ dan orang baharu genre blues, festival ini juga ada bengkel istimewa dan acara komuniti percuma (oleh IBU dan Lighthouse Preschool) yang mesra kanak-kanak. Buat pengetahuan pembaca, Back To The Blues sebenarnya adalah edisi kedua Parallax Dimension Studios. Menurut Pengarah Kreatif festival ini, merangkap jurucakap Parallax Dimension Studios, edisi pertama yang diadakan di Titus Blues Avenue, Jalan Petaling berlangsung selama tiga minggu pada tahun 2004.

Sashmar Omar

“Dahulunya, kami langsung tidak ada artis utama (headliner), hanya sesi open mic dan beberapa artis jemputan. Kami tidak ada duit [untuk menganjurkan konsert penuh] namun pemain blues seperti [Ito Mohd dan Julian Mokhtar] Blues Gang tetap hadir,” kata Sashmar. “Masa itu, Nabil Nazmi [dari Nabil Nazmi Trio] pun baru nak belajar bermain gitar. Ramai [artis blues baharu] masih malu-malu [untuk keluar melalui persembahan]. Nak bercerita tentang kepuasan, sebagai seorang pemain industri, saya rasa kita masih kurang dari segi itu. Pada pendapat saya, bila pelajar seni dan kreatif mahu belajar lebih, tidak kira apa jurusan atau pengkhususan sekalipun, mereka tidak didedahkan dengan [suasana sebenar] industri. Jangkaan mereka jauh dari realiti. Bila mereka melangkah keluar dari zaman belajar, mereka akan faham betapa sukarnya untuk kekal [relevan dan terus bermain muzik].”

Ulas Sashmar, “Sebab itu, saya rasa, Blues Gang merupakan sebuah kumpulan legenda kerana mereka berjaya bertahan sehingga ke hari ini.”

Selain acara muzik dan komuniti, Back To The Blues turut memuatkan pelancaran filem dokumentari Blues Gang di dalam aturcaranya. Dihoskan oleh platform penstriman SIAR, dokufilem terbitan Zarul Al-Bakri dan arahan Johari Hamid yang digelar Empat Dekad, Tiga Kord, Satu Cerita bakal menemui para peminat tidak lama lagi.

Dari kiri, Sashmar Omar (Pengarah Kreatif Festival) dan Johari Hamid (Pengarah Dokufilem) bersama Julian Mokhtar, Ito Mohd dan Ghani Dato’ Abu Talib sebagai anggota semasa kumpulan Blues Gang, serta Zarul Al-Bakri (Penerbit Dokufilem) dan Ali Agung (Pengarah SIAR.my)

Selain menceritakan perjalanan Blues Gang sebagai kumpulan yang teguh berkarya selama lebih 50 tahun, dokufilem itu merupakan elemen penting yang mempamerkan panorama muzik blues tempatan. Blues Gang yang ditubuhkan pada lewat tahun 1970-an kini dianggotai oleh Ito Mohd (Vokal/Harmonika), Julian Mokhtar (Gitar) dan Ghani Dato’ Abu Talib (Keyboard/Gitar Kedua) terus melayari bahtera selepas pemergian ahli-ahli terdahulu seperti Shaik Karim (Dram/Vokal), Jim Madasamy (Bass/Vokal) dan Mohd Hazizi Ithnin (Gitar Kedua). Dokufilem yang memakan masa lapan tahun untuk disiapkan ini membawakan kisah jatuh bangun Blues Gang – juga kepentingan pendokumentasian bagi rujukan dan pengetahuan ramai.

Poi pokan naik basika (poi pokan naik basika)

Tongah haghi tongah paneh (tongah haghi)

Apo dayo motong gotah

Apo nak dikato

Kalau boleh nak jadi cikgu sekolah

Kek Kolo Pilah

Lagu popular Blues Gang, Apo Nak Dikato

Sashmar yang mempunyai latar belakang perfileman mengaku, “Saya sudah berkali-kali melihat benda yang sama terjadi berulang kali. Bakat-bakat muda berputus asa selepas baru berjinak-jinak dengan dunia luar [seni], contohnya selepas menamatkan latihan industri mereka. Apabila hal ini berlaku, sukarlah industri seni ini untuk berkembang.”

“Kami nak tunjukkan bahawa jika anda ada inisiatif sendiri sebagai pemuzik – ada alat muzik seperti gitar atau harmonika dan sekeping kertas – tulislah lagu anda sendiri. Sekali anda tidak tampil dengan bahan asli, anda akan terus terperangkap di dalam ‘ruang’ yang sama,” katanya lagi.

“Bukan itu sahaja, akan ada kelompok atau pihak yang memilih untuk bekerja secara bersendirian (in silo),” tambahnya. Dengan festival seperti Back To The Blues, jawab Sashmar, para penganjur cuba untuk memecahkan gelombang yang sama. “Kami berharap kami mampu menukarkan fikiran orang ramai dan meningkatkan usaha pendidikan semula (re-education). Misalnya ada seorang artis yang mempunyai empat buah lagu original yang belum diterbitkan, kami berikan beliau pentas [untuk beraksi].”

Bagaimanakah caranya untuk mengesan dan mengenal pasti individu atau kumpulan sebegini?

“Kerja keras – rangkaian hubungan (networking), berkenalan melalui rakan-rakan,” kata Sashmar. “Barulah kita tahu ada darah muda [blues] di Malaysia. Jika mereka hanya ada bahan solo, saya harap mereka usahakan untuk mencipta lagu mereka sendiri. Kami sanggup bawa mereka dan lagu asli mereka untuk dikenali oleh lebih ramai pemain industri.”

Dia mengulas edisi Back To The Blues kali ini yang menampilkan nama-nama ‘underground’ seperti Khaimano dan Ananth Kumar & The Tone Conspirators. “Ananth Kumar adalah seorang produser muzik yang banyak mengeluarkan rakaman bunyi (jingle) dan iklan TV. Hanya sekumpulan kecil yang tahu tentang personanya sebagai pemuzik. Di pentas kami, kami tidak pilih kasih, kami berminat untuk melihat lebih ramai orang sepertinya yang mungkin tidak selalu keluar ke pentas ataupun jarang-jarang sekali memainkan lagu sendiri.”

Klinik muzik Blues Guitar oleh Dom Turner

“Pendidikan muzik sangat penting; asas dan teori perlu dipelajari, tetapi pendidikan semula sama pentingnya. Ia merujuk kepada apa yang akan berlaku lima, mungkin sepuluh tahun kemudian – mampukah industri kita bertahan?”

Sashmar Omar

Niat Sashmar, juga para penganjur dan rakan-rakan usaha sama festival Back To The Blues, adalah untuk menghargai impak muzik blues kepada seni dan budaya tempatan. Tidak dapat dinafikan lagi aura nama-nama besar seperti Robert Johnson, B.B. King, Stevie Ray Vaughan dan Ma Rainey, antara lainnya, dalam mewujudkan arena blues di Malaysia.

Lebih-lebih lagi melalui perkongsian dan persembahan muzik bergenre ini, kejayaan dan pembentukan bunyi blues dapat dipeta dan dirai untuk menghidupkan lagi genre ini pada masa yang akan datang.

Festival Back To The Blues disokong oleh Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Digital (DKD) yang diuruskan oleh MyCreative Ventures.

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites