BASKL berbual bersama Farah Rani merangkap aktor, produser dan pengasas bersama Perempuan Productions dalam menggarap jalan cerita ‘Mixtape For Maz’, sebuah karya berdasarkan ingatan Adiwijaya Iskandar. Pementasan yang sarat dengan nostalgia ini dipentaskan di KongsiKL pada 27 Mei hingga 3 Jun 2023.
Oleh NABILA AZLAN
Pastinya menggamit rasa rindu, benci, keliru dan seronok zaman remaja, Mixtape for Maz tulisan Adiwijaya Iskandar ini digubah menjadi sebuah pementasan yang menampilkan Faiq Syazwan Kuhiri, Farah Rani, Mia Sabrina Mahadir dan Nabil Zakaria sebagai barisan pelakon. Hasil arahan Tung Jit Yang, pementasan yang merujuk pengalaman penulis pada tahun 1999 di Kepala Batas ini dibentuk oleh babak-babak yang diselitkan lagu-lagu hit sesuai dengan garis masanya.
Karya ini menceritakan pengalaman Mahdi (Edi) dan Maznah, dua orang adik beradik yang berpindah ke Pulau Pinang sekitar tahun 90-an setelah bertahun-tahun dibesarkan di luar negara. Perjalanan emosi dalam fasa sekolah menengah yang kompleks ini menyentuh keraguan identiti pasca pengaruh media Barat.
Aktor dan produser, Farah Rani mengambil watak Maznah (Maz). Dia juga merupakan orang kuat Perempuan Productions, sebuah kumpulan produksi berkisarkan karya kewanitaan dan suara-suara terabai yang berjaya membawakan persembahan ini di KongsiKL.
Tak sah kalau tengok poster Mixtape for Maz tapi tak terbayang langsung kulit album Definitely Maybe oleh Oasis! Semestinya ia pilihan yang sengaja. Boleh kongsikan sikit gubahan konsep dan arahan persembahan ini?
Farah Rani: Latar bunyi (soundscape) persembahan ini betul-betul memainkan peranan. Ia mengetengahkan muzik rock alternatif tahun 90-an iaitu genre yang membentuk zaman remaja penulis, Adiwijaya. Pada era itu, bila beberapa stesen radio yang memainkan bukan sahaja muzik pop malah rock dan alternatif mula disiarkan di Pulau Pinang, dia ditemukan dengan artis dan lagu yang menyanyikan semula pengalamannya sebagai seseorang yang berada di luar peredaran sosial (social misfit). Lagu-lagu inilah yang menjadi ‘jalan keluar’ daripada tekanan perasaan yang diberikan oleh masyarakat sekeliling.
Banyak sentimen yang dicerminkan melalui watak Maz. Dia bergantung kepada lagu, lirik dan cerita untuk mendapatkan ketenangan daripada tekanan dan keterasingan kerana merasakan dirinya berbeza daripada orang lain. Konsep dan hala tuju ini berhasrat untuk merakam kuasa transformatif muzik dan bagaimana ia boleh memberikan bukan sahaja keselesaan, tapi juga pemahaman untuk orang yang tak semestinya dekat dengan dengan arus perdana (mainstream).
(Dengarkan lagu-lagu di dalam playlist ini – enam lagu terawal digunakan di dalam pementasan, selebihnya adalah senarai lagu punk pilihan Rokiah, iaitu watak yang dibawa oleh Mia Sabrina Mahadir!)
Cerita ini ditulis untuk siapa?
Untuk sesiapa saja yang rasa macam mereka berbeza dan tak sesuai dengan tempat mereka. Mereka yang telah menghadapi tekanan masyarakat dan jangkaan untuk akur, rasa payah untuk menyesuaikan diri dan mahukan lebih daripada apa yang mereka ada sekarang. Tak dilupakan juga, semua yang faham betapa ‘melekit’nya zaman sekolah menengah yang tak sudah-sudah.
Apa yang anda dapat dalam menjiwai watak Maznah (atau Maz)? Huraikan sikit dinamika hubungan dia dengan watak-watak lain dalam pementasan ini.
Maz seorang yang degil, keras kepala. Dia tak nak akur dengan tekanan masyarakat walaupun wujud ketegangan sosial. Tapi, dia sayangkan adiknya Edi (lakonan Faiq Syazwan Kuhiri) dan harap supaya dia jadi diri sendiri sambal tolak tepi apa yang mungkin dilihat oleh orang lain. Tak tahan dengan perangai pembuli yang bernama Hisham (lakonan sukacita Nabil Zakaria), dia selalu menghiraukannya tanpa fikir panjang. Kawan baiknya Rokiahlah (lakonan Mia Sabrina Mahadir) yang kerap menjadi punca selesanya dalam babak-babak penting pementasan ini.
Apakah antara babak yang anda suka dalam pementasan ini?
Pada saya, Adiwijaya berjaya untuk letakkan nilai nuansa dalam hubungan itu. Saya suka semua adegan adik-beradik yang ada tapi selain itu, babak kegemaran saya adalah bila Maz dan Rokiah berborak tentang impian dan masa depan yang penuh dengan harapan dan potensi sesuai dengan hidup zaman remaja.
Ceritakan sikit pengalaman bekerja dengan kru dan barisan pelakon untuk pementasan ini.
Seronok saya dapat bekerja dengan Jit (Tung Jit Yang). Kami berdua ada dalam AIIA Improv 15 tahun lepas dan dia pernah menjadi pengarah saya sebelum ini, cuma bekerja dengan dia dalam karya ini rasa lebih istimewa. Dia ada dalam pementasan ini dari awal lagi, sebagai peneraju New Play Project, sampailah terbitnya Mixtape for Maz. Saya suka arahan dia yang agak inventif dan menarik, pendekatan dia terhadap lakonan pun luar biasa.
Untung saya dapat bekerja dengan Faiq, Nabil dan Mia yang berbakat besar. Saya suka datang sesi latihan berhari-hari untuk menghabiskan masa dengan mereka. Pasukan reka bentuk set yang menampilkan Yusman (pereka senario dan pakaian) dan Bryan (pereka bunyi dan pencahayaan) dengan ajaibnya menghidupkan Kepala Batas pada tahun 1999.
Mixtape for Maz – A Memory Play by Adiwijaya Iskandar dipentaskan di KongsiKL dari 27 Mei hingga 3 Jun 2023. Tekan sini untuk nota lanjut dan pembelian tiket.
Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah: