Philadelphia, Here I Come! Sebuah pementasan membuka minda

Oleh SHAFIQUE DANIAL JOHARI

Sudah pasti, jauh di sudut minda kita ramai yang sering mempunyai perasaan berbelah bahagi ataupun berada di dalam sebuah situasi yang membuatkan kita berasa berbelah bahagi. Sehingga membuatkan kita berfikir sejenak, adakah kita inginkan pilihan pertama atau yang kedua? adakah kita ingin memilih pilihan yang kiri atau yang kanan? ataupun sebuah pilihan mudah seperti hendak menjamu selera di restoran A mahupun B? 

“Philadelphia, Here I Come!” merupakan sebuah pementasan yang cukup kreatif dalam merungkai situasi dan perasaan berbelah bahagi seperti ini. “Philadelphia, Here I Come!” telah dipentaskan di klpac dan BASKL telah mendapat peluang untuk turut serta menyaksikan pementasan yang cukup istimewa. Versi ini merupakan adaptasi daripada pementasan asal lebih 50 tahun dahulu hasil karyawan daripada Ireland, Brian Friel.

Joe Hasham OAM

Pementasan ini merupakan kali keempat teater ini dipertontonkan di hadapan penggemar seni persembahan di Malaysia. Pementasan sebelum ini adalah pada tahun 1994, 1998, 2013 dan ketiga-tiga pementasan yang sebelum ini menyaksikan sebuah panggung yang penuh! Teater ini telah diadaptasikan oleh pengasas dan veteran kumpulan The Actors Studio iaitu Joe Hasham. 

Dari Kiri: Andre D’Cruz, Patrick Teoh, Jun Teoh dan Nabil Zakaria

“Kita semua impikan kehidupan yang lebih baik,” kata Joe yang juga pernah berlakon sebagai Danny, iaitu watak utama di dalam teater “Philadelphia, Here I Come!” sewaktu pementasan ini dibawa ke Perth, Australia pada tahun 1969. “Namun pementasan ini bukan sekadar itu sahaja, pementasan ini berkisah mengenai perkara yang jauh lebih besar daripada sebuah impian bagi kehidupan yang lebih baik, ia juga berkisah mengenai cinta,” tambah Joe. 

Sewaktu pementasan ini dipertontonkan, kata Joe Hasham itu benar-benar terserlah dan dapat dirasai oleh kesemua penonton. Teater ini memberikan kita sebuah impak yang cukup besar dalam merungkai persoalan-persoalan yang mungkin terbuku dalam jiwa kita. Pementasan ini menunjukkan betapa tingginya cinta seorang suami buat isterinya yang telah meninggal dunia, cinta seorang makcik yang bekerja dengan sebuah keluarga yang berpecah dan yang paling tinggi, cinta seorang anak buat ayahnya. 

Dari Kiri: Dato’ Dr Faridah Merican dan Patrick Teoh

Namun bak kata pepatah Inggeris, “action speaks louder than words” dan sebenarnya itulah kehidupan kita sehari-hari. Jika kita sering inginkan kata-kata untuk memberikan rasa tenteram pada diri sendiri, kadang-kala bukan itu yang akan kita terima. Tetapi jika seseorang itu benar-benar ikhlas, cinta itu akan terserlah dengan sendirinya dan dibuktikan dalam perilaku dan tindakannya kepada anda. Begitulah yang dapat kita lihat di dalam hubungan seorang anak dan ayah dalam pementasan ini melalui SB Tan dan Danny Tan yang dibawakan oleh Patrick Teoh dan Jun Teoh. 

Sepertimana yang diceritakan di permulaan nukilan tadi, ini merupakan pementasan “Philadelphia, Here I Come” adaptasi Malaysia kali yang keempat dan Patrick Teoh merupakan antara barisan pelakon asal yang telah memegang watak yang sama pada pementasan sebelum ini. “Saya amat gembira untuk kembali bersatu di atas pentas bersama dua lagi veteran teater ini,” kongsi Teoh. Selain Teoh, dua lagi veteran asal pementasan ini adalah Andre D’Cruz sebagai Father D’Cruz dan tidak lain dan tidak bukan, maharani dunia teater Malaysia iaitu Dato’ Dr Faridah Merican sendiri sebagai Mak Cik Esah. 

Walaupun pementasan ini telahpun berakhir dengan kejayaan panggung yang penuh hampir setiap sesi, namun apa yang penting adalah sokongan masyarakat buat industri seni dan budaya tanah air. Kita rasa amat bertuah dengan kehadiran veteran seni seperti mereka namun apakah keadaannya sama di masa hadapan? Adakah situasinya sama pada 10 atau 15 tahun yang akan datang? 

Jika anda seorang penyokong dan pembela industri seni yang menggemarkan dan menikmati keindahan kepelbagaian hasil seni, tanyakan soalan-soalan ini pada diri anda. Tanya juga apakah sumbangan anda kepada industri ini yang kini sedang kembali untuk bangkit daripada lumpuh yang cukup lama. Marilah kita sama-sama hulurkan tangan dan meringankan beban mereka di dalam industri ini dengan menyokong program-program yang dianjurkan. 

The Actors Studio dan Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) sentiasa bertungkus lumus dalam menyediakan pelbagai bentuk pementasan dan juga program pembangunan buat anak-anak seni tempatan. Buat anda yang mempunyai walaupun secebis minat, luangkan sedikit daripada masa anda untuk melayari laman-laman web mereka dan juga media sosial mereka di pautan-pautan berikut:

Kuala Lumpur Performing Arts Centre | The Actors Studio Malaysia | Instagram KLPAC | Facebook The Actors Studio Malaysia

Semoga industri kreatif negara terus menjadi aset buat Malaysia tercinta. 

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites