Muzium di Negeri Sembilan yang wajib anda lawati!

Sempena Hari Muzium Antarabangsa pada tanggal 18 Mei, BASKL ingin mengambil peluang untuk mengesyorkan kepada anda beberapa muzium yang anda boleh lawati di Negeri Sembilan.

Oleh AZUWAN AHMAD

Hari Muzium Antarabangsa (HMA) diraikan oleh muzium-muzium di seluruh dunia pada tanggal 18 Mei setiap tahun hasil daripada resolusi Persidangan Majlis Muzium Antarabangsa (ICOM) pada tahun 1977. Objektif sambutan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali muzium secara lebih dekat selain memahami fungsi dan peranan institusi muzium.

Oleh yang demikian, seperti tahun yang sebelumnya BASKL ingin mengajak dan menyeru kepada anda, rakyat Malaysia untuk menyambut semangat menghargai khazanah-khazanah dan tinggalan-tinggalan serta warisan kita. Pada tahun ini, kami mengesyorkan kepada anda untuk beralih angin menuju sedikit ke selatan tanah air bagi meneroka muzium-muzium yang terdapat di negeri yang kaya dengan adat perpatih, Negeri Sembilan. 

MUZIUM NEGERI

Alamat: Jalan Sungai Ujong, Lebuhraya Seremban – Bukit Nenas, 70200 Seremban, Negeri Sembilan

Muzium Negeri sempat berlokasi di Taman Bunga Seremban sebelum dipindahkan ke lokasi baru pada tahun 1984.

Muzium Negeri Sembilan telah ditubuhkan pada tahun 1953 apabila Yam Tuan ke-8 Tuanku Abdul Rahman memberikan kebenaran supaya istana Ampang Tinggi Kuala Pilah dipindahkan ke Taman Bunga di Jalan Dato’ Hamzah, Seremban dan dijadikan sebagai Muzium Negeri. Pada tahun 1984, ia dipindahkan ke Kompleks Taman Seni Budaya di Jalan Sungai Ujong.

Jika anda mahu mengetahui secara umum mengenai sejarah dan adat perpatih di Negeri Sembilan, muzium ini sesuai dikunjungi kerana ia menceritakan segala-galanya sesuai dengan reka bentuknya yang diinspirasikan oleh Rumah Gadang Minangkabau. Muzium ini dibahagikan kepada 3 komponen iaitu Teratak Perpatih, Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan. Teratak Perpatih adalah ruang yang memberikankan anda garis masa dari bermulanya kewujudan Negeri Sembilan itu sendiri yang diletakkan di bawah naungan kerjaan Melayu Melaka sehingga ke zaman moden sekarang. Segala peralatan adat dan busana tradisional Minangkabau juga terdapat di sini. 

Di pinggir bangunan utama muzium ini terletaknya dua binaan iaitu Istana Ampang Tinggi dan Rumah Contoh Negeri Sembilan. Menurut catatan, Rumah Negeri Sembilan ini adalah kepunyaan seseorang yang bernama Tengku Saiyed Ismail bin Tengku Saiyed Abdul Rahman, Dato’ Kelana Sungai Ujong. Rumah ini asalnya terletak di Kg. Anak Air Gram, Mambau sebelum dipindahkan ke Seremban. 

Rumah Contoh Negeri Sembilan.

Tidak jauh daripada muzium ada beberapa lokasi yang menawarkan juadah enak yang boleh dinikmati sambil anda mengunjungi muzium negeri ini. Peminat cendol boleh mengunjungi dua lokasi iaitu Cendol Haji Sharif dan juga Maideen Cendol di Pasar Besar Seremban.  Kalau anda mahu merasai makanan Negeri Sembilan, anda boleh berkunjung ke Warung Selera Kampung

Cendol Haji Shariff memang sesuai dinikmati ketika cuaca panas. Kredit foto: TripAdvisor

MUZIUM DIRAJA ISTANA SERI MENANTI

Alamat: Kampung Batu Tempurong, 71550 Seri Menanti, Negeri Sembilan

Muzium Diraja Istana Seri Menanti adalah adalah sebuah muzium yang wajib untuk anda kunjungi jika ingin merasai sendiri pengalaman berada di dalam sebuah istana lama. Istana lama ini dibina pada tahun 1902 dan siap sepenuhnya pada tahun 1908.

Istana yang berusia lebih dari 100 tahun ini telah diilhamkan reka bentuknya oleh Tuanku Muhammad Ibni Almarhum Tuanku Antah dimana baginda bersemayam di istana ini sehingga tahun 1930. Apa yang menarik mengenai istana lama ini adalah ia setinggi 4 tingkat dan telah dibuat oleh dua tukang tempatan iaitu Tukang Taib dan Tukang Kahar. Tukang Kahar merupakan seorang tukang yang terkenal di sekitar istana sehingga dianugerahkan gelaran ‘Penghulu Sultan” iaitu gelaran 6 orang besar istana. 

Fungsi Istana Lama Seri Menanti berubah-ubah menurut garis masa. Selepas menjadi tempat semayam Tuanku Muhammad, ia pernah digunakan sebagai kawasan militari, depoh senjata polis, jabatan penerangan dan juga pernah menjadi Madrasah Sekolah Menengah Agama Tinggi oleh Majlis Agama Islam Seremban. 

Daerah Seri Menanti itu sendiri mempunyai pelbagai versi asal usul. Sebagai catatan, Seri Menanti telah dibuka oleh Dato Panglima Sultan Karu dari Pagar Ruyong dan beliau ketika itu memang bertujuan mencari tanah untuk dijadikan negeri. Kawasan Seri Menanti telah menjadi pilihannya apabila dia dan pengikutnya menemui satu kawasan lembah yang luas. 

Penulis mencadangkan kepada anda yang mahu berkunjung ke muzium ini untuk melewati jalan lama kerana di situ anda akan melalui Taman Rekreasi Ulu Bendul sebelum sampai ke Seri Menanti. Anda juga boleh menikmati masakan tradisional negeri Sembilan di Zaini Salai House, Ulu Bendul betul-betul berhadapan dengan jalan masuk ke air terjun Ulu Bendul. Di samping itu, anda boleh menikmati suasana kampung dalam perjalanan hendak sampai ke muzium Istana Lama Seri Menanti.

TERATAK ZA’BA

Alamat: Kampong Bukit Kerdas, 72100 Batu Kikir, Negeri Sembilan

Peminat sastera dan bahasa wajib datang ke Teratak Zaa’ba ini sebagai tanda penghargaan dan apresiasi kepada sosok yang sangat berjasa kepada pembinaan Bahasa Melayu di negara kita. Zaa’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin bin Ahmad dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir Negeri Sembilan. Sosok yang diberi gelaran Pendeta ini adalah seorang tokoh ilmuan yang dikenali rakyat yang berjuang mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa ulung negara. Karya-karya Zaaba selain menyentuh soal bahasa juga menekankan aspek ekonomi, sosial dan politik.

Teratak Zaa’ba memberi peluang kepada tetamunya untuk melihat sendiri beberapa koleksi tinggalan Zaaba seperti pakaian dan peralatan menulis. Terdapat juga salinan-salinan surat -surat tulisannya kepada ahli keluarga dan pihak-pihak lain. Susun atur di teratak ini mengikut fungsi ruang rumah Melayu tradisional. Ruang serambi, rumah ibu dan ruangan dapur yang sarat dengan pameran koleksi menjadi bahagian-bahagian dalam rumah untuk diteroka oleh para pengunjung. 

Bangunan ini dibina di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar dan diperbuat daripada kayu cengal. Ia dirasmikan pada tahun 2001 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu, Tan Sri Isa Samad dan sehingga kini menjadi salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di negeri Sembilan. 

Di sekitar kawasan ini, ditanam pokok-pokok bunga dan ditandai puluhan kata-kata mutiara oleh Sang Pendeta. Pengunjung yang datang ke sini semestinya akan merasa lebih dekat dengan tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada bangsa dan tanah air ini. 

MUZIUM REMBAU

Alamat: Jln Kota – Lubok China, 71350 Kota, Negeri Sembilan

Muzium Rembau juga dikenali sebagai Muzium Replika Raja Melewar.

Muzium Rembau dibina sempena mengingati kembali akan reka bentuk asal Istana Raja Melewar yang pernah didirikan di Tapak asal ini. Ia mula dibina pada tahun 2000 dan selesai pembinaannya pada tahun 2002. Pembinaan muzium ini mengambil konsep senibina Rumah Tradisional Negeri Sembilan.

Mengingati sejarah, Raja Melewar adalah putera dari Pagar Ruyong yang dijemput menjadi Yamtuan Besar yang pertama di Negeri Sembilan sekitar tahun 1773 selepas mendapat pekenan Sultan Johor yang menaungi daerah-daerah di Negeri Sembilan ketika itu. Daerah pertama yang diduduki oleh Raja Melewar adalah Rembau dan baginda ditabalkan secara rasmi di situ. Tidak jauh dari replika Istana Raja Melewar, pengunjung dapat melihat makam yang dikatakan kepunyaan Raja Melewar sendiri. Selepas anda ke muzium, bolehlah singgah untuk melihat makam bağında yang terletak beberapa puluh meter dari tapak muzium.

Selain daripada mengingati sejarah kedatangan Raja Melewar, Muzium Rembau mempamerkan Institusi Undang dan Pengamalan Sistem Adat Pepatih dalam kehidupan masyarakat Rembau. Kita dapat melihat segala koleksi peralatan pertukangan, pertanian, permainan tradisional dan koleksi cenderamata kepunyaan Undang Rembau sehingga kini. Ruang di dalam muzium juga sangat menarik kerana ruang yang terhad, memaksimakan susunan peralatan dan artifak di samping sistem pencahayaan yang mampu mewujudkan suasana eksklusif.

Anda boleh mengunjungi semua muzium ini dalam satu hari. Saran penulis, mulakan perjalanan anda seawal pagi yang boleh dan mulakan dengan muzium yang paling jauh dahulu jika anda dari Lembah Klang kemudian akhiri dengan Muzium Negeri di Seremban. Selamat meneroka!

Muzium-muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dari jam 9 pg sehingga 5 ptg serta tutup pada hari Isnin. Jika anda mahu mengetahui info lebih lanjut mengenai muzium-muzium ini, anda boleh mendapatkan maklumat daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan di talian 06-43849921 atau boleh sahaja melayari laman web LMNS

Ikuti cerita-cerita lain yang menarik di BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites