Siri Seni Langkawi: Ash Majid hasilkan aksesori untuk permaisuri harian

Oleh NABILA AZLAN

Bertapak di Langkawi, jenama Ash Majid atau nama asalnya Nor Ashikin Nor Majid telah berjaya menawan hati bukan sahaja penggemar aksesori diri tempatan tetapi juga luar negara! Menggunakan cogan kata ‘Let them stare’ atau ‘Biar mereka tenung’, Ashikin yang mesra digelar Ash menawarkan karya seni buatan tangan yang sedia dipakai antaranya dalam bentuk rantai choker, gelang tangan lembut, pengikat rambut, kardigan dan banyak lagi – setiap satunya terinspirasi dari kecantikan batik.

Anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang ini memang seorang yang meminati corak kraf tempatan sejak kecil lagi, terutamanya batik. “Pakaian harian saya mesti diselitkan unsur batik. Bukan itu sahaja, kanopi yang ada di kereta sorong bayi (stroller) anak saya pun saya hiaskan dengan batik!” Seorang penggemar fesyen, Ash membesar dengan seorang bapa yang ‘berseni’ – ceritanya, “Ayah saya seorang yang serba boleh – memasak, menjahit, menghasilkan cross stitching dan kraftangan, semuanya boleh. Nampaknya, saya yang memerhatikan caranya melakukan kesemuanya sebagai hobi lambat laun mengikut jejak langkahnya.”

“Saya dan keluarga berpindah ke Langkawi kira-kira enam tahun lalu untuk mencari ketenangan jauh dari kesesakan lalu lintas di bandar raya Kuala Lumpur!” kata Ash sambil ketawa.

Selaku pereka kreatif merangkap direktor jenamanya, dia mengendalikan perusahaan ini di Pulau Langkawi bersama-sama suaminya Ezammer, serta dibantu oleh dua orang pereka kraf. “Kami melihat pulau ini sebagai lokasi yang baik dalam membentuk sebuah jenama yang terkemuka. Ash Majid mungkin bertapak di Malaysia, tetapi perniagaan kami berstatus global,” ulasnya.

Ash memulakan jenama fesyennya ini pada sekitar tahun 2013 selepas kelahiran anak sulungnya. Mengenali potensi rantai statement yang kian membentuk stail peribadi, dia yang yakin dengan populariti aksesori tersebut mula mencipta rantai batiknya yang pertama pada tahun itu dan memuat naik gambar itu ke laman Facebook. “Suami saya, Ezammer, tahu betapa gemarnya saya terhadap seni batik. Dialah yang mencadangkan kepada saya untuk keluar dengan reka bentuk rantai batik sendiri. Setelah seminggu tempoh rekaan saya di studio, rantai gabungan empat utas bersama loket bulat itu saya letakkan di Facebook,” katanya. “Niat saya adalah hanya untuk berkongsi idea seni saya, tapi tak sangka, ada peminat yang betul-betul membeli rantai saya itu!”

Dari situ, dia mula meneroka dan mencuba teknik dan corak rekaan baru. Tahun demi tahun, dia semakin kreatif dengan pengeluaran bentuk aksesori baharu.

‘Batiq choker’ ciptaannya merupakan produk utama keluaran jenama ini. Versatil dan anggun dalam versi tersendiri, ia sehingga kini turut digayakan oleh figura diraja serta selebriti tempatan seperti Ning Baizura, Mona Allen dan Tiz Zaqyah baik untuk penampilan mereka di televisyen mahupun sebahagian daripada stail peribadi sebagai pelengkap busana majlis. Berbeza-beza bentuk, bilangan dan corak gelung yang membentuk untaian rantainya, Ash turut memberikan nafas segar kepada setiap satu ciptaan dengan reka bentuk dokoh unik yang mengikuti setiap rekaan istimewa.

“Saya selalu mendapat inspirasi untaian (strand) rantai choker saya terus dari kecantikan alam di sekeliling saya, semuanya sebab saya tinggal di pulau ini. Pada waktu petang, saya akan menghabiskan masa saya di tepi pantai, menyerap ilham dari terumbu karang, ombak dan terbenamnya matahari – semuanya tidak mustahil, dengan syarat minda saya sentiasa berasa tenang,” kata Ash.

Setiap choker direka khas tanpa ada produk yang serupa dari segi reka bentuknya.  Proses penetapan rekaan ini boleh mengambil masa selama satu minggu bergantung kepada perbincangan Ash dengan pelanggan yang mahu menggayakan aksesori mengikut citarasa peribadi. Selain produk rekaan khas (custom made), Ash juga menawarkan aksesori siap-untuk-dipakai (ready to wear) yang mampu disiapkan secepat tiga ke empat hari.

Proses rekaan choker ini bergantung kepada kepakaran tenaga kraf untuk ‘membaca’ corak batik. Kata Ash tentang proses yang diajar kepada pereka kraf di bawah naungannya, “Bukan semua jenis batik berpotensi untuk ditukar menjadi choker. Ada jenis batik yang coraknya nampak sedikit ‘jauh’ – motifnya terputus selepas dililit atau disambung. Kalau tersilap teknik memotong, mungkin kecantikan corak batik itu tidak akan jelas selepas dijadikan choker. Sebab inilah saya pentingkan cara ‘pembacaan’ batik in dan pemilihan motif bunga yang sesuai untuk digunakan dalam rekaan”.

Ash Majid kini sudah mencipta dan menjual kira-kira 30 siri choker batik di pasaran.

Sebenarnya, jenama Ash ini menarik perhatian golongan khusus sewaktu peringkat awal COVID-19. “Ramai pelanggan saya, terutamanya wanita berkerjaya yang inginkan sesuatu yang menawan untuk dipakai sewaktu mesyuarat Zoom mereka, membeli aksesori dari kami. Dalam keadaan kami risau tiada siapa yang mampu membeli barangan kami sewaktu pandemik melanda, rupanya sebaliknya”.

Aksesori Ash Majid sering dipakai oleh penggemar fesyen matang, namun Ash berpendapat bahawa inilah masanya untuk menjemput golongan muda untuk melakukan perkara yang sama.

Pesanan Ash buat pereka aksesori mahupun lepasan jurusan fesyen? “Jangan takut untuk jadi diri sendiri. Ambil inspirasi dari sekeliling anda, tetapi jangan lupa untuk suntik ‘nafas peribadi’ dalam rekaan anda!”

Sebagai artis dan peminat kraf tempatan, Ash menekankan kepentingan mengenali dan menghargai kecantikan batik Malaysia. “Selalu kalau kita bercakap tentang batik, orang kita akan menggayakannya untuk majlis istimewa sahaja. Saya betul-betul berharap agar batik mampu menjadi sebahagian daripada stail harian lebih ramai orang, serta tidak terhad kepada pelengkap busana tradisional sahaja. Juga, bukan sekadar pilihan ibu-ibu yang bekerja di rumah, kerana batik kita amat ceria dengan campuran pelbagai warna dan corak. Ke tempat kerja atau sebagai pelengkap baju kasual pun apa salahnya,” katanya.

Tatap ciptaan unik Ash Majid di laman Instagramnya.

Jangan lupa untuk ikuti artikel Siri Seni Langkawi yang lain bersama artis seramik, Radzi Ismail dari Ilham Ceramic dan artisan produk kayu dan kristal, Uda Saad dan Kamarul Faizy Roslan!

Baca kisah-kisah lain seperti ini di BASKL melalui pautan di bawah:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites