Adiguru CENDANA: Toh Ai Hwa

Toh ai Hwa, Adiguru CENDANA dalam seni persembahan Patung Boneka Teochew, berkongsi tentang kehidupannya dalam seni persembahan ini.

Oleh CHIN JIAN WEI

Seni persembahan boneka Teochew merupakan antara tradisi yang diwarisi dan diamalkan oleh generasi Teochew yang berasal dari negara Cina sejak dahulu lagi, dan ia telah dibawa ke serata dunia oleh keturunan Cina terdahulu yang merantau dan menetap di luar negara. Malaysia juga tidak terkecuali, terdapat populasi Cina Teochew yang menetap di sini terutamanya di Utara, semenanjung Malaysia.

Boneka Teochew mula wujud di Cina tengah sejak dahulu lagi. Pada asalnya, seni persembahan ini mempunyai dua dimensi sahaja dan boleh dikatakan serupa dengan wayang kulit tempatan. Patungnya diperbuat daripada kulit kering dan digerakkan menggunakan batang besi. Sewaktu zaman pemerintahan Song Selatan di Cina, pelarian dari utara yang berjaya melarikan diri dari orang-orang gasar berteduh di Chaoshan, Guangdong Timur. Kedatangan mereka ke negeri itu secara tidak langsung telah menyebarkan seni tradisi mereka di situ, dan menjadi popular di kalangan penduduk Teochew setempat. Selepas seni itu berkembang, mereka terdetik untuk mencipta patung yang lebih realistik berbentuk tiga demensi, dan seterusnya menggantikan bonek dua dimensi mereka.

Toh Ai Hwa bersama Boneka Teochew.

Toh Ai Hwa, 72 merupakan antara pengamal tertua untuk seni persembahan ini. Memulakan karier seawal usia 12 tahun, dan kini telah mewarisi dan menguasai seni persembahan ini selama lebih enam dekad. “Saya memulakan karier saya di Bukit Mertajam, Butterworth sebagai salah seorang kumpulan penghibur (bermain muzik), dan belajar dengan seorang guru,” Kata Toh, yang bertutur dalam dialek Teochew. Sehingga kini Toh masih aktif mengamalkan seni persembahan ini, walaupun di usia 24 selepas berkahwin beliau berhenti seketika, namun Toh sambung bermain boneka selepas mempunyai anak.

Toh mengenang kembali keadaan di awal penglibatan beliau. “Sewaktu saya muda, tidak banyak peluang yang ada. Saya tidak pergi ke sekolah, jadi saya ambil pelbagai jenis pekerjaan. Saya banyak kerja di tapak pembinaan, angkat bahan dan campurkan simen.” Bayangkan di zaman sekarang, mustahil buat anak remaja perempuan untuk membuat kerja-kerja buruh di tapak pembinaan untuk menyara kehidupan, namun itulah realiti kehidupan sebenar di Malaysia pada zaman dahulu buat mereka yang tidak berkemampuan atau tidak mempunyai keturunan yang berpelajaran tinggi. Toh meneruskan ceritanya, “Ada orang beritahu saya kerja dalam kumpulan penghibur (bermain muzik) lebih mudah untuk buat duit, jadi saya memilih untuk mencuba.”

Boneka Teochew.

Toh mula berjinak dengan bermain drum untuk majlis-majlis seperti upacara kematian. Apabila kerjayanya semakin berkembang dan berjaya menempat nama, Toh mula menceburkan diri dalam persembahan boneka, dan sejak dari itu beliau tidak pernah menoleh ke belakang. “Kini, anak perempuan saya yang sering membuat persembahan,” tambah Toh menceritakan tentang anaknya, Ling Goh, Pengasas dan juga Direktor Teochew Puppet and Opera House, muzium boneka dan ruang persembahan. “Saya jarang melibatkan diri dalam persembahan dah, saya hanya membantu sedikit sebanyak apabila ada waktu lapang.”

“Dulu, nak belajar dengan guru, susah,” Kata Toh. “Guru pada zaman dahulu tidak akan mengajar secara terus pada mulanya, mereka mahu kami perlu perhatikan sendiri dan tangkap skill yang perlu dari situ. Dulu, nak belajar skill susah kerana tiada cara mudah untuk belajar seperti panduan pembelajaran. Kita kena perhatikan dengan teliti!” Anak lelaki beliau, Elvis Goh turut menyambung, “Guru zaman dahulu tidak akan mengajar pelajar segalanya. Mereka takut anak murid mereka akan jadi lebih mahir dari mereka dan ambil alih atau bersaing dengan mereka.”

Antara peralatan muzik yang digunakan untuk persembahan Boneka Teochew dan Opera.

Menjadi seorang pemain patung boneka Teochew di Penang pada ketika itu, juga bermaksud beliau harus melawat ke kuil yang berbeza di serata negeri. “Kami akan persembahkan cerita yang berbeza di setiap kuil,” tambah Toh. “Kami selalunnya ada lebih tiga persembahan dalam masa sehari, yang mana setiap darinya membawakan cerita yang berbeza.” Kadang-kadang kuil ini akan mengupah perkhidmatan atau pertunjukan mereka selama beberapa hari berturut-turut, terutamanya pada hari-hari penting/ istimewa atau perayaan seperti Pesta Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival). Sewaktu perayaan ini, masyarakat Cina percaya bahawa hantu merupakan antara penonton persembahan mereka.

Setelah lebih sedekad, kumpulan patung boneka Toh masih berpegang pada tradisi mereka, menyampaikan wayang kulit yang asli sehingga ke hari ini. “Kami menggunakan peralatan tradisional. Kaedah yang digunakan masih sama, dan jalan cerita pun masih sama,” tegas Toh. “Kami hanya membuat penambahbaikan dari segi peralatan muzik bagi mempertingkatkan kualiti bunyi. Patung juga lebih cantik sekarang dan dalam reka bentuk yang lebih baharu. Dulu patung ini lebih berat, sekarang kami dah tukar kepada kayu yang lebih ringan dan kurang penat untuk kami mengendalikannya.”

Antara koleksi kepala boneka.

Tradisi adalah amat penting buat Toh dan anaknya. Inilah bukti bahawa mereka begitu menjaga adat tradisi mereka. Tambah Toh, “Ini merupakan seni persembahan yang mana orang ramai boleh mempelajari sesuatu yang baharu sambil mencari rezeki.” Beliau juga berkata, “Memandangkan ini merupakan seni tradisional masyarakat Cina, kita perlu jaga dan wariskan kepada generasi akan datang. Lagu Teochew dan cerita-cerita ini akan mengajar mereka untuk membuat perkara yang betul. Orang jahat dalam cerita ini sentiasa akan dapat hukuman.”

Menurut Toh dan Goh, sesiapa pun boleh belajar dan mempraktikkan Patung Boneka Teochew jika mereka mempunyai minat yang tinggi. “Jika kamu ingin praktikkan seni ini, adalah lebih bagus jika kamu dari keturunan Teochew, tetapi ia bukanlah syarat utama, asalkan anda boleh bercakap dalam dialek ini. Sesiapa sahaja boleh mempelajarinya.” Goh menjelaskan perkara ini dengan berkata, “Jika anda berketurunan Teochew, anda akan lebih memahami kesenian ini dengan lebih baik, tetapi pastinya jika anda bukan seorang Teochew, anda masih boleh mempelajarinya, apa yang penting adalah anda meminatinya.”

Toh sangat optimistik tentang masa hadapan seni persembahan ini. “Memang agak sukar sewaktu pandemik, apabila kita tidak boleh berkarya, tetapi asalkan ada generasi baharu yang boleh membawa tradisi ini, persembahan ini tidak akan pupus.” Semoga ada generasi muda yang akan lebih peka untuk menerima dan mempelajari tradisi ini agar seni persembahan yang indah ini akan terus hidup dan dapat dipersembahkan untuk generasi akan datang.

Toh Ai Hwa merupakan penerima dana Adiguru fasa ke-2 dalam seni persembahan boneka Teochew. Program Adiguru CENDANA dijalankan dengan kerjasama PUSAKA.

Anda juga boleh membaca artikel lain di sini:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites