10 filem lokal mencari cinta yang perlu anda tahu

Sebuah kompilasi filem tempatan yang merungkai perasaan cinta dan kasih sayang antara keluarga, pasangan dan sesama insan.

Oleh NABILA AZLAN, AZUWAN AHMAD, CHIN JIAN WEI, DANIAL FUAD dan SHAFIQUE DANIAL

Menjadi lumrah bagi seorang individu untuk mencari persamaan antara kita dan individu lain, sama ada mencari persamaan atau keserasian dengan orang yang tersayang, dalam lingkungan kumpulan kecil mahupun masyarakat yang lebih besar. Dalam sebuah persahabatan atau perhubungan, kita sering mencari asbab “mengapa sesuatu perkara itu dilakukan oleh orang yang kita cintai atau sayangi“? Dalam pencarian ini, terdapat juga segelintir dari kita yang menjurus kepada mengkaji maksud disebalik zodiak orang yang kita sayangi, apakah maksud bentuk wajah mereka? bagaimana pula dengan garis di tapak tangan mereka? Lebih-lebih lagi dengan wujudnya laman seperti Google, maklumat dan ilmu itu kini terdapat di hujung jari kita sahaja. Walaupun ada kalanya, pengetahuan seperti itu hanya akan meningkatkan tahap kerisauan dan keresahan dalam diri namun sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari fitrah, sifat ingin tahu. Apatah lagi apabila kita berbicara soal ingin mendalami orang-orang yang kita sayangi. Kata orang yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, jadi setiap pencarian sama ada persahabatan atau percintaan perlu disusuli dengan usaha.

Secara amnya, bulan Februari merupakan sebuah bulan yang diterima sebagai sebuah bulan untuk membuktikan ketulusan cinta kita dan membuatkan ramai yang memberikan perhatian yang lebih terhadap persoalan-persoalan mengenai cinta dan kasih sayang. Di barat, asal usulnya dipercayai datang daripada sambutan Hari Valentines yang wujud selepas syahidnya seorang pejuang dan pendakwah Kristian iaitu Saint Valentine. Dalam kepercayaan agama Kristian pada zaman dahulu, setiap pejuang yang syahid akan diberikan satu hari sambutan yang dinamakan Feast of Said Saint di mana setiap mereka ini akan mempunyai hari masing-masing. Namun begitu, kita tolak ketepi dahulu soal agama dan kepercayaan yang sering menjadi punca terbesar pecah belah dan persengketaan di antara kita dan menyambut persamaan yang wujud antara kita sesama manusia iaitu cinta. Sempena bulan cinta ini juga, kumpulan editorial BASKL kali ini ingin berkongsi antara kompilasi kisah cinta pilihan kami.

  • Gol & Gincu (2005)

Tentang filem ini: Untuk pengetahuan anda, Gol & Gincu terbitan Red Communications ini merupakan filem yang unik pada eranya. Diilhamkan oleh para penulis, Lina Tan dan Rafidah Abdullah, siri TV dengan nama yang sama (Gol & Gincu The Series) turut disiarkan di 8TV dari Jun 2006 hingga 2007. Hasil arahan Bernard Chauly, filem komedi romantik dengan elemen sukan ini membintangi barisan pelakon wanita yang tidak asing lagi dengan industri filem tempatan seperti Fazura, Sazzy Falak dan Melissa Maureen; turut membintangi filem tersebut adalah Allahyarham Ashraf Sinclair dan Pierre Andre. Terdapat juga filem susulannya yang digelar Gol & Gincu Vol. 2 yang diberikan nafas baru seiring tahun keluarannya (2018) mengekalkan Sazzy Falak sebagai pelakon utama, disertai Diana Danielle, Ummi Nazeera dan Sharifah Amani serta Aedy Ashraf dan Shafiq Kyle.

Sedutan memori penulis: “Ikut pendapat saya, Gol & Gincu adalah satu filem yang ikonik – kena pada zaman, mesej dan nilai estetiknya! Penyampaiannya masih relevan jika ditonton pada waktu sekarang, tolaklah tepi aspek-aspek yang kelihatan sedikit ‘lama’ atau ‘lapuk’ seperti tatarias, fesyen dan susunan lokasinya jika anda mahu – tetapi sebenarnya, kalau diteliti, inilah bukti bahawa filem sebegini mendapat tempat di hati peminat pada awal tahun 2000! Walaupun sesetengah orang mungkin merasakan yang ia sekadar sebuah lagi filem genre wanita (chick flick) yang dihasilkan, bibit-bibit romantis yang ditunjukkan dijahit elok dengan persahabatan, kekeluargaan, keberanian dan kewanitaan. Tak hairanlah kenapa ramai remaja pada ketika ia keluar (termasuklah diri saya) suka melihat kepada filem ini dan mengatakan yang ia satu penggerak budaya popular (pop culture)!” – Nabila 

  • Mukhsin (2006)

Tentang filem ini: Diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad, filem cinta Mukhsin terbitan Grand Brilliance yang melalui tempoh 12 hari penggambaran di bandar Sekinchan, Selangor. Kisah ini merupakan instalasi ketiga (selepas filem Sepet dan Gubra) dalam trilogi kisah seorang wanita bernama Orked, pada ketika ini dibintangi oleh Sharifah Aryana. Ia turut memaparkan lakonan Syafie Naswip sebagai Mukhsin, juga Sharifah Aleya sebagai Mak Inom, Irwan Iskandar sebagai Pak Atan dan Allahyarham Adibah Noor sebagai orang gaji keluarga yang mesra digelar Kak Yam. Menerima anugerah Festival Filem Berlin yang ke-57, Mukhsin mengguna pakai lagu Keroncong Hujan oleh Adibah Noor dan Ne Me Quitte Pas (Don’t Leave Me) oleh Nina Simone yang kemudiannya terus sinonim dengan babak-babak istimewa dalam filem ini. 

Sedutan memori penulis: “Selain mengagumi arwah Yasmin Ahmad dalam penghasilan iklan-iklan cuti perayaannya, saya tak lepaskan peluang untuk menonton filem-filemnya kerana dia seorang yang mengambil berat tentang pengetengahan mesej melalui penelitian dialog dan susunan sinematografi yang cantik. Coretan cerita cinta monyet ini terpahat di memori saya kerana lakonan dan skripnya yang menarik, serta secara tak langsung membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak. Menampilkan dialog campuran Bahasa Malaysia, Inggeris dan Mandarin seperti senarai filem Yasmin Ahmad yang terdahulu, Mukhsin juga bermain dengan dinamik kekeluargaan dan pandangan am masyarakat terhadap nilai-nilai kewanitaan dan keremajaan dalam filem yang berteraskan kehidupan di kampung pada zaman 90-an.” – Nabila 

  • Ali Setan (1985)

Tentang filem ini: Filem Ali Setan yang diterbitkan tahun 1985 ini memang diakui menjadi sebuah fenomena suatu ketika dahulu. Malah, filem yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin ini masih ditayangkan sehingga ke hari ini. Kalau anda masih ingat, filem ini mengisahkan tentang kehidupan pelajar di universiti yang penuh dengan momen yang manis. Ali, yang dilakonkan oleh pelakon hebat, Azmil Mustapha dikenali sebagai seorang pelajar yang nakal di kampus. Kedua-dua pelakon utama untuk filem ini berjaya menobatkan diri mereka sebagai pelakon wanita dan lelaki terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) 1986. Walaupun hanya mengutip RM 0.99 juta pada waktu itu, ia juga memenangi beberapa anugerah di FFM 1986 termasuklah Penyunting Terbaik (Johari Ibrahim) dan Penataan Muzik Terbaik (Adnan Abu Hassan).

Sedutan memori penulis: Pertemuannya dengan Asmidar yang dilakonkan pelakon yang cukup diminati ketika itu, Fauziah Ahmad Daud membuah bibit-bibit cinta yang pasti meninggalkan senyuman di hati siapa yang menonton mereka termasuk penulis yang tersengih sendirian ketika menulis catatan ini. Dialog seperti “Ali..Ali! Asmidar! Asmidar!” dan “Yak pur salam!” yang dilontarkan pelakon Shah Rezza (Datuk) masih terngiang-ngiang di telinga.  Sememangnya sesuai ditonton ketika dalam suasana romantik. Filem ini penulis anggap antara filem cinta yang paling baik pernah dihasilkan tempatan selain daripada beberapa filem lain. Penulis masih ingat betapa manisnya Fauziah Ahmad Daud  di dalam filem tersebut yang mampu membuat kita gila bayang ditambah nyanyian ‘Wajah Rahsia Hati’ yang pasti masih menjadi siulan sehingga sekarang. 

“Dalam kehidupan ini yang terindah, melalui usia remaja….” (Hehe) – Azuwan 

  • Cinta (2006)

Tentang filem ini: Filem ini membuatkan penulis mengangkat Khabir Bhatia antara pengarah yang cerdik dan pintar. Kisah cinta dalam 5 buah cerita yang berlainan tetapi dalam latar yang sama membuatkan filem ini mempunyai penceritaan yang sangat menarik sekali. Kalau anda memilih untuk menonton filem ini bersama kekasih atau isteri anda sempena 14 Feb, anda membuat keputusan yang sangat tepat, sementelah filem ini mengangkat tema keajaiban cinta. Filem ini bagi penulis menyatakan hal yang benar mengenai pahit, manis, pedih dan sepinya cinta. 

Sedutan memori penulis: Kalau boleh penulis ambil satu sipnosis ringkas satu daripada 5 buah cerita dalam filem ini, cerita bekas guru dilakonkan Razali Ibrahim yang menghidap penyakit Alzheimer dengan seorang pengusaha kedai makan, Rubiah yang dilakonkan Fatimah Abu Bakar cukup meninggalkan kesan yang mendalam. Bagi penulis, kalau anda tidak menonton filem ini, anda belum mengerti apa ertinya makhluk yang namanya cinta. Filem ini mengutip RM 2.2 juta di panggung ketika di ditayangkan tahun 2006 dan diterbitkan syarikat produksi Grand Brilliance. Lagu tema filem ini yang digubah oleh sahabat penulis yang sangat penulis hormati, Abang Pacai menceritakan betapa bagusnya filem ini sehingga membuatkan ada termenung seketika usai menonton. – Azuwan

  • Sepet (2005)

Tentang filem ini: Filem tahun 2005 ini merupakan sebuah arahan seniman Allahyarham Yasmin Ahmad dan mungkin antara filem romantik paling popular di Malaysia. Nama filem ini iaitu “Sepet” merujuk kepada mata sepet seorang Cina kerana filem ini mengisahkan mengenai kisah cinta yang berputik di antara seorang lelaki Cina dan seorang gadis Melayu. Ah Loong merupakan seorang romantis yang menggemarkan puisi namun mungkin agak terkeliru dengan kerjanya sebagai seorang penjual VCD cetak rompak. Pada suatu hari, Orked berkunjung ke kedai Ah Loong untuk mencari VCD dan sebuah perasaan telah berputik secara tiba-tiba. Hubungan mereka kemudian terus berkembang walaupun tekanan sosial dan perbezaan bangsa sering menjadi penghalang. 

Sedutan memori penulis: Seperti biasa, filem arahan Yasmin Ahmad sering berkisah mengenai hubungan antara manusia dan bagaimana hubungan seperti ini mampu untuk memberikan kedua-dua perasaan sekali; kebahagiaan dan juga kesedihan. Dari apa yang saya lihat, sehingga hari ini, kisah cinta antara dua kaum Melayu dan Cina masih jarang kita dengari dan filem ini menunjukkan kepada kita mengapa perkara ini terjadi. Telatah kedua-dua watak ini cukup indah dan kesederhanaan serta perasaan yang wujud antara mereka itu adalah suatu yang cukup indah. Dialog dalam filem ini sungguh asli dan bersahaja, ia menceritakan kisah hidup seorang insan yang biasa. – Jian Wei

  • The Kid From the Big Apple (2015)

Tentang filem ini: Benar, sayang itu hadir di dalam pelbagai rupa, bentuk dan bukan sahaja cinta yang romantis sahaja. Filem tahun 2015 arahan Jess Teong ini merupakan sebuah kisah mengenai Sarah, seorang anak gadis yang membesar di New York dan terpaksa berpindah ke Malaysia untuk tinggal bersama datuknya. Oleh kerana latar belakang kedua mereka ini amat berbeza, mereka tidak mampu untuk berkomunikasi apatah lagi bermesra. Sarah sering tertawakan makanan yang dimakan oleh datuknya dan juga penguasaan Bahasa Inggerisnya yang lemah. Namun setelah meluangkan masa bersama lebih lama dan mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, sebuah ikatan telah terjalin. Sarah mula mengenali budayanya dan datuknya pula mula mengenali media baharu dan pemodenan. 

Sedutan memori penulis: Filem yang menyentuh hati ini berbicara soal banyak perkara seperti pentingnya komunikasi antara generasi dan kepentingan tradisi yang membentuk sesuatu budaya. Namun fokus utama filem ini adalah soal nilai-nilai kekeluargaan dan bakti kita pada mereka. Menonton filem ini pasti akan menggalakkan anda untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga anda. Pastikan anda menelefon datuk dan nenek anda atau lebih baik lagi, tonton filem ini bersama mereka! – Jian Wei

Klik di sini untuk trailer

  • Pekak (2015)

Tentang filem ini: Filem ini mengisahkan tentang seorang OKU pendengaran, Uda yang berhasrat untuk mendapatkan pendengarannya semula. Akibat daripada kesesakan, dia terpaksa melalui jalan yang salah untuk mengumpul duit bagi membiaya implan kokleanya iaitu dengan mengedar dadah. Tatkala ketika Uda sedang menghantar dadah ke salah seorang pelanggannya, dia telah berkongsi lif bersama Dara, seorang pelajar sekolah yang bermasalah akibat daripada kongkongan bapanya. Uda mula jatuh hati kepada Dara apabila terlihat di MP3 Dara yang dia sedang mendengar lagu kegemarannya. Namun begitu, segalanya tidaklah indah kerana Dara mempunyai teman lelaki yang sering ingin menodainya. Dari situlah bermula kisah percintaan Uda dan Dara melalui pelbagai kancah dan onar yang akhirnya tiada kisah bahagia.

Sedutan memori penulis: Apa yang membuatkan cerita ini menarik adalah bagaimana ia mencerminkan kehidupan sebenar yang tidak sentiasa indah. Kemelut yang dilalui oleh Uda dan juga Dara merupakan suatu yang selalu berlaku dalam kehidupan seharian dan ini membuatkan orang ramai lebih rapat dengan apa yang dilalui mereka. Penggunaan nama Uda dan Dara sebagai watak utama juga boleh dikaitkan dengan cerita Usman Awang dengan tajuk tersebut yang menceritakan tentang perbezaan darjat juga merupakan pilihan yang menarik oleh Mohd Khairul Azri. – Danial Fuad

Klik di sini untuk trailer

  • Puteri Gunung Ledang (2004)

Tentang filem ini: Lagenda Puteri Gunung Ledang semestinya suatu yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu. Adaptasi lagenda arahan Saw Teong Hin ini telah keluar pada tahun 2004. Kisah ini berkisarkan tentang cinta terhalang antara Hang Tuah dan juga Gusti Putri, seorang Puteri Jawa yang telah melarikan diri ke Gunung Ledang. Gusti Putri telah diutuskan untuk berkahwin dengan Sultan Mahmud kerana Raja Demak ingin membentuk sebuah pakatan dengan Melaka. Hang Tuah, yang telah jatuh cinta dengan Gusti Putri telah dihantar oleh Sultan Mahmud ke Gunung Ledang untuk meminangnya. Walaupun cinta terhadap Gusti Putri tidak dapat disangkal lagi, akan tetapi Hang Tuah tetap tidak akan derhaka dengan Sultan dan meneruskan tanggungjawabnya untuk meminang Gusti Putri untuk Sultan Mahmud.

Sedutan memori penulis: Kisah ini telah diadaptasi untuk beberapa kali dan untuk filem 2004 ini, ia telah ditulis oleh Allahyarham Mamat Khalid bersama Saw Teong Hin. Konflik antara tanggungjawab dan hati Hang Tuah dalam cerita ini membuktikan bahawa cinta itu bukanlah suatu yang kita boleh pilih. Cinta Hang Tuah dalam kisah ini berbelah bagi antara Gusti Putri dan Sultan Mahmud membuatkan kisah ini  sangat menarik dan hanya wujud dalam adaptasi ini sahaja. Pelbagai  anugerah telah diterima filem ini dan sebagai seorang peminat kisah lagenda Melayu, tentulah filem ini antara yang menjadi pilihan. – Danial Fuad

Klik di sini untuk trailer

  • Lagenda Budak Setan (2010)

Tentang filem ini:  Lagenda Budak Setan, sebuah adaptasi daripada novel dengan tajuk yang sama merupakan sebuah kisah cinta tiga segi di antara Ayu, Kasyah dan Azmi. Ayu, dilakonkan oleh Lisa Surihani merupakan seorang pelajar baharu di kolej, Kasyah yang dilakonkan oleh Farid Kamil merupakan seorang kepala bagi sekumpulan pelajar-pelajar nakal dan Azmi yang dilakonkan oleh Que Haidar yang merupakan bekas kekasih Ayu yang pernah mengecewakan Ayu suatu ketika dahulu. 

Sedutan memori penulis: Inilah yang menarik mengenai cinta, kasih sayang dan perasaan. Sebagai manusia kita sering melalukan perkara-perkara yang diluar jangkaan dan diluar akal manusia demi cinta. Adakah cinta itu berbaloi dan wajar kita pertahankan? Adakah kita sanggup mencederakan orang yang kita sayang di dalam perjuangan kita demi mempertahankannya? Namun berbalik kepada bibit perasaan yang timbul itu, adakah cinta itu lahir daripada rasa ingin dimiliki atau ingin memiliki atau sekadar ingin dihargai? Adakah cinta kita kepada seseorang itu baik untuk kita, baik untuk dia atau baik untuk kedua-duanya? – Shafique Danial

  • Ombak Rindu (2011)

Tentang filem ini:  Ombak Rindu juga merupakan sebuah adaptasi daripada novel dengan judul yang sama. Dibintangi oleh nama-nama besar seperti Maya Karin sebagai Izzah, Aaron Aziz sebagai Hariz dan Lisa Surihani sebagai Mila. Hariz merupakan seorang buaya darat yang kaya dan telah membeli Izzah untuk menjadi perempuan simpanannya. Dalam masa yang sama, Hariz kemudian telah dipaksa oleh ibunya untuk mengahwini Mila, seorang rakannya semenjak kecil dan kini merupakan seorang peragawati dan pelakon. 

Sedutan memori penulis: “Cinta tak kejam, cuma manusia yang tak pandai menghargai cinta.” “Itu bukan Redha namanya, itu pasrah. Redha itu ikhlas.” Ini antara dua kata-kata yang dipetik daripada filem dan juga novel ini. Jadi apakah sebenarnya cinta? Siapakah watak-watak yang ada di dalam sebuah sarang cinta? Adakah kita ikhlas mencintai seseorang itu atau kita hanya sekadar ingin memperoleh sesuatu daripada seseorang itu? Daripada tajuknya Ombak Rindu, mungkinkah cinta itu sebuah gelombang yang berulang-ulang? Ada kala cinta itu memukul pesisir lubuk hati kita dan ada kala cinta itu surut dibawa arus lalu kembali hanyut di dalam lautan seluas alam? Mungkin kerana itu sering diperkata cinta itu buta, kerana tidak ada satu pun takrifan yang tepat untuk mencerakinkan erti sebenar sebuah cinta yang lahir dari sudut hati ciptaan Yang Maha Mencipta. Maka hanya Dia lah yang benar-benar mengetahui. Sesungguhnya, cinta itu sebuah perkara yang mengatasi batasan antara yang hidup dan yang mati, yang zahir dan yang batin serta yang terang dan yang tersembunyi – Shafique Danial

Gambar Utama dari Unsplash oleh Farrinni.

Ikuti kisah-kisah menarik yang lain di laman BASKL:

 

 / 

Sign in

Send Message

My favorites